Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Friday, April 19, 2013

Teknologi 'Kuffar' Dimanfaatkan Untuk Kemenangan Orang Islam

Apabila saya merenung kembali zaman pra pru13 dahulu, betapa media maklumat sangat terhad. Para pengundi seluruh Malaysia hanya bergantung kepada sumber info konvensional yg memang tidak neutral sama sekali. Serangan tektikal parti pemerintah terhadap calon parti lawan pada saat akhir cukup berjaya mempengaruhi pengundi seperti isu Tengku Razaliegh pakai tengkolok salib pada pru 1990. Akibat paparan media, seluruh jentera Angkatan Perpaduan Ummah pada waktu itu lumpuh. Hanya Kelantan berjaya ditawan. 

Namun keadaan pada hari ini menyaksikan sumber maklumat alternatif muncul memberikan info daripada perspektif berbeza. Itulah manfaat terbesar teknologi maklumat yg dibangunkan oleh dunia Barat bukan Islam samada bagi tujuan perniagaan, penjajahan, atau permusuhan terhadap tamadun Islam (seperti asumsi Sameul Huttington). Akan tetapi, ia ternyata bermanfaat untuk penyaluran maklumat tentang Islam dan boleh menjadi medium dakwah dan politik Islam. Hasilnya, para pengundi era pru13 ini boleh akses kepada maklumat yg lebih tepat dan cepat daripada sumbernya secara langsung bukan lagi drpd sumber meragukan. Inilah yg dituntut oleh Islam, agar umatnya mendapatkan berita drpd sumber yg siqah atau dipercayai. Bukan drpd sumber yg fasik dan korup kerana hanya memaparkan fitnah, penipuan dan pendedahan aib pihak lawan.

Saya teringat sebuah hadith yg menceritakan seorang musyrik bernama Qazman yg membantu tentera Islam dlm sebuah peperangan di mana dia sendiri berjaya membunuh pemimpin Bani Abdil Dar, pihak yg memegang panji tentera musuh. Nabi Muhammad saw bersabda Innallaha layu'zira haazad din bir rajulil fajir (sesungguhnya Allah memperkuatkan agama ini dgn seorang lelaki yg fajir yakni bukan Islam ). Selain itu, banyak lagi hadith2 yg menceritakan Islam menerima bantuan dan manfaat drpd org bukan Islam. 

Maka sebab itu, bukan semua yg datang bari Barat itu tidak bermanfaat langsung untuk kebangkitan Islam. Contohnya demokrasi, walaupun bukanlah sistem Islam pada falsafahnya tetapi kerangka demokrasi menyediakan peluang kepada Islam untuk berkuasa. Banyak lagi sistem2 dan produk bukan Islam yg bermanfaat untuk kelestarian Islam walaupun ia juga pada kebanyakkan keadaan digunakan untuk menyusahkan umat Islam dan juga orang lain. 

Pru13 kali ini mencatatkan sejarah yang akan diingati oleh generasi akan datang disebabkan :

1.   Banyak video lucah dihasilkan untuk bahan kempen untuk menjatuhkan pihak lawan.

2.     Calon DAP berkemungkinan akan menggunakan logo PAS dan PKR disebabkan pendaftaran parti tersebut dipertikaikan oleh ROS atas masalah teknikal.

3.      Ramai pemimpin yg tidak dicalonkan semula, tidak berpuas hati sehingga mengambil keputusan bertanding calon bebas dan menentang calon parti sendiri.

4.          Pengundi akan memperhatikan kualiti calon, siapakah yg lebih beramanah dan berintegriti. Mereka akan jumpa ada calon Islam yg berwibawa dan ada juga calon bukan Islam yg berintegriti. Pada masa sama, ramai juga calon Islam yg terpalit masalah rasuah, korup, haprak dll.

5.     Pengundi juga terus dikelirukan dgn status calon bukan Islam, adakah boleh mengundi mereka. Ada aliran ilmuan tertentu yg mengharamkan beri undi kepada calon 'kafir' dan calon parti yg berkerjasama dgn 'kafir' itu...tidak kurang pula yg berusaha menyelamatkan undi Melayu Islam dgn mengenengahkan calon2 kononnya 'Berwibawa' di beberapa kawasan parlimen dan dun. 

6.     Kedua2 belah pihak BN dan PR berjaya mengurangkan jumlah calon dalam pertandingan satu lawan satu. Cara ini dapat mengurangkan kerja SPR untuk mengira undi banyak calon dalam satu2 kawasan pilihanraya. Maka tiada sebab lagi SPR lambat umum keputusan nanti.

Saya juga turut melihat demokrasi yg kita amalkan di Malaysia ini membuka ruang kepada rakyat untuk memilih kerajaan pilihan mereka dalam tempoh satu2 penggal. Ini menandakan sesebuah kerajaan tidak akan berakhir kerana yg akan kalah atau menang hanyalah parti2 politik sahaja. Kerajaan tetap ada apabila parti tertentu menang.

Sebelum melabuhkan tirai, saya suka membawa pandangan beberapa orang kawan yang tegar kemelayuannya. Kata mereka, lebih baik kita biarkan orang Islam berkuasa walaupun terdapat salah laku kerana kekurangan itu boleh diperbaiki. Ia lebih baik daripada kehilangan kuasa kepada orang bukan Islam....

Pada dasarnya saya bersetuju dgn pandangan tersebut..tetapi saya fikir balik adakah ini  yang disuruh dalam Islam, kita wajib membiarkan ahli politik yg korup berkuasa kerana yg penting dia Islam...walaupun dia ahli maksiat.? Saya mencari rasional kenapa saya tidak boleh menerima pandangan tersebut walaupun saya bersetuju ada sikit logiknya. Ada beberapa alasan :

a.    Saya lihat majoriti kerusi parlimen dan dun yg bertanding dalam pru13 kali ini ialah orang Islam samada daripada umno, pas atau pkr. Pada saya, semua calon Islam tidak kira sapa yg menang, sudah tentu akan ada favour kepada orang seIslam dengannya. Malah ikatan keIslaman lebih kuat drpd ikatan bangsa apatah lagi terdapat calon yg bertanding kali ini bukan berbangsa Melayu tetapi beragama Islam. Ada mamak, cina muslim, india muslim, jawa dll. Perjuangan berasaskan Islam dapat mengurangkan risiko ketaksuban kaum di samping peratusan undi org Islam mencapai 65% berbanding undi solid melayu sekitar 56% (berdasarkan peratusan penduduk malaysia drpd kaum melayu). Kedudukan Islam dlm perlembagaan konfem akan menjadi lebih kukuh malah jauh drpd dapat dipinda dengan sokongan org Islam drpd kaum2 lain.

b.  Tujuan utama kedatangan Islam ialah untuk menjaga kemaslahatan manusia atau mempastikan 5 perkara daruriyyat itu terpelihara. Maka sebab itu, keadilan, kesaksamaan, amar makruf nahi mungkar, kebebasan, pelaksanaan hudud, qisas dan   ketetapan syariat lain merupakan perkara fundamental dlm agama dan politik. Tidak cukup pemimpin kena Islam sahaja..mereka perlu adil...sistem kena saksama kerana efek polisi dan dasar2 kerajaan itu melibatkan semua rakyat, Islam dan bukan Islam. Adapun manfaat Islam itu hanya berguna kepada diri org itu sendiri. Sebab itu Shaykhul Islam Ibnu Taymiyyah memberikan satu pandangan tepat KERAJAAN KAFIR YG ADIL LEBIH BAIK DARIPADA KERAJAAN ISLAM YG ZALIM. Memang ada kewajarannya kata2 tokoh ini berbanding dgn pendekatan kebanyakan ulamak yg mempertahankan status qou politik pemerintah pada zaman beliau. Walaupun kerajaan itu kafir, polisi dan dasar yg adilnya menyenangkan rakyat manakala kerajaan yg zalim akan sentiasa menyusahkan rakyat walaupun menganut agama Islam. Sebagai manusia, sudah tentu mereka memerlukan jaminan keadilan dan kesenangan hidup kerana jaminan Islam pemimpin belum tentu akan terbukti membahagiakan mereka. Soalnya di Malaysia, adakah benar kuasa politik akan berpindah kepada orang kafir????...suatu yg 'mungkin' akan berlaku tetapi realitinya tidak memungkinkan ianya berlaku!!! Andaian itu sama seperti budak sekolah tak sempat nak baca buku sebab esok nak exam, kerana asyik bermain..Oleh kerana tidak bersedia, dia menganggap exam itu payah..Akhirnya budak itu menyalahkan exam susah sebagai punca kegagalannya tapi sedangkan dia malas baca buku!!!

Apa pun keputusan PRU13 selepas 5 Mei nanti, Islam tetap akan terus kukuh dan bangsa Melayu akan terus berkuasa kerana sejarah membukti sejak kejatuhan empayar Islam Melaka pada 1511, orang Melayu masih kekal sampai ke hari ini. Mereka tidak menjadi Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun atau convert agama para penjajah tadi. Tahu kenapa orang Melayu tidak berubah??? Kata al-marhum Dato' Hassan Ahmad, mantan Pengarah DBP, dalam bukunya Melayu Glokal, kerana orang Melayu berpegang teguh kepada agama dan budayanya....mereka kuat bukan dgn kuasa politik semata2 tetapi dgn kekuatan dalaman. Walaupun memiliki kuasa politik, Melayu mungkin akan hilang jika pudar pegangan agamanya dan hilang identiti dirinya. Tak payah tunggu lepas PRU13....sekarang ini pun Melayu dah mula nak hilang ...kalau tidak dikawal dengan baik...Wallahu a'lam...


Jumaat
Perda Timur

BERKHIDMAT KEPADA MASYARAKAT TIDAK SEMESTINYA MENJADI CALON PRU

Apabila terlalu lama memegang kuasa atau berada dalam istana kuasa, gelaran kebesaran atau jawatan keagungan, menyebabkan golongan ini menyangka kuasa adalah hak mereka. Ramai bekas2 calon demam, termasuk kena histeria apabila nama mereka atau calon proksi mereka tiada dlm senarai sebut calon..maka mulalah gerakan protes dgn pelbagai manifestasinya seperti menentang calon drpd pihak parti sendiri, menutup bilik gerakan, sabotaj bakal calon, paling koman tiba2 berubah menyokong parti lawan...Masha Allah...inilah yg berlaku apabila orang itu terlalu lama berkuasa sehingga menimbulkan fitnah (kesan buruk la, bukan fitnah liwat atau seks bebas) kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling..

Satu persoalan yg kita tanya,kepada mereka..siapa yg serah kuasa politik kepada hampa sampai kiamat?..Dlm sistem demokrasi yg dipakai di Malaysia, kita tak pernah guna term pemilik kuasa tp kita guna wakil rakyat...kamu semua cuma wakil yg rakyat pilih samada dengan kesedaran ilmu atau di bawah pengaruh 'pembodohan pemikiran' akibat berita2 bohong yg memualkan. Hatta dlm politik Islam (jika layak digunakan), kuasa milik Allah yg dijadikan amanah kepada wakil2 terpilih untuk menjalankan tanggungjawab hirasat al-din wa siyasat al-dunya bihi..

Barangkali mereka terlupa, bagaimana kuasa dan kemenangan yg diperolehi secara adil pun jika terlalu lama mungkin menimbulkan fitnah. Khalifah Umat al-Khattab pernah memecat Khalid ibn al-walid jrpd jawatan panglima perang dan menggantikan tempatnya dengan Abu Ubaydah al-Jarrah. Umar bagitau Khalid, sebab pemecatannya bukan kerana dia lemah atau korup tetapi untuk memperbetulkan persepsi umat Islam bahawa selama ini mereka menang dlm setiap peperangan kerana ia dipimpin oleh Khalid. Jika org lain yg pimpin belum tentu, mereka menang. Keyakinan mereka kepada Khalid mengatasi kebergantungan kepada Allah...Khalid menerima pelucutan jawatannya dan menjadi tentera yg berjuang di bawah komander baharu. Akhirnya tentera Islam menang dlm peperangan al-Qadisiyyah (kalau tidak silap saya)..

Pengajaran menarik di sini :

1.   Sebagai khalifah, Umar bukan hanya memikirkan kemenangan tetapi keteguhan iman rakyatnya. Apa makna menang kalau rakyat keimanan mereka rosak, akhlak mereka tempang, tiada integriti dan dipenuhi korupsi.

2.   Khalid tidak membantah apatah lagi isytihar keluar drpd saf tentera atau pandai2 survey pandangan akar umbi tentera Islam sapa yg setuju kekalkan Khalid..Tidak ada kerana perbuatan sebegitu hanya menjatuhkan maruah beliau sebagai seorang yg banyak berjasamkepada Islam.

3.   Tentera Islam menerima calon komander baharu tanpa ada beberapa pihak cuba sabotaj Abu Ubaydah. (zaman itu belum ada lagi video lucah mcm la ni, kalau ada pun depa takkan buat mcm org zaman la ni)

4.   Ini menunjukkan kuasa bukan hak tok nenek moyang kita. Ia hak rakyat yg bersetuju untuk menyerahkannya secara contract social kepada wakil mereka.

Saya ingin menyeru kepada semua ahli politik memahami beberapa hakikat berikut :

1.  Semua pekerjaan ada tempoh expirednya seperti usia pencen. Pencenlah drpd perebutan kuasa dan sekarang cuba la berebut pahala dengan menghadiri kuliah2 agama, memperbanyak amal soleh dll yg tidak sempat dibuat masa bergelumang dgn kuasa dahulu.

2.  Kebaktian kepada masyarakat bukan melalui kuasa atau sewaktu kita jadi pemimpin sahaja. Banyak saluran kebaikan lain lagi yg boleh menjadi sunnah hasanah untuk kita lakukan kepada agama, ummah dan negara. Malah amal kebaikan sewaktu menjadimorg biasa lebih diberkatimdan konfem lebih ikhlas berbanding semasa kita berkuasa dahulu...mana ada ikhlasnya kerana asyik tabur duit untuk dapatkan support drpd pengikut.

3.  Turunkan kemahiran kepemimpinan, skill good governance, komunikasi hampa kepada orang2 muda, tunjukkan contoh kepada mereka nanti mereka juga akan jadi seperti hampa. Bila hampa pun tak mau turun, nanti mereka pun jadi seperti itu juga bila berkuasa.

4.   Jadikanlah umur 63 tahun sebagai had persaraan kita drpd politik. Ni umur dah lebih 80 tahun pun dok sibuk lagi..sepatutnya umur lepas 63 tahun itu dijadikan reserve kepada kematian pulak. Kenapa 63? Kerana Nabi saw, Abu Bakar dan Umar mangkat pada usia tersebut. Walaupun penetapan 63 tahun ini tidak berasaskan nas Quran dan sunnah, ia menunjukkan had usia libat politik ada akhirannya. Yang tidak berakhir hanya pencarian ilmu sahaja. Maka sebab itu, sesetengah mufti yg lama sangat berada di atas tahta fatwa, patut pergi sambung belajar, mendalami kajian, walaupun tidak buat phd. Mengikut pandangan mazhab Hanafi, seseorang hakim hendaklah meletakkan jawatan untuk menuntut ilmu bagi suatu tempoh tertentu. Jika tidak, mufti pun akan mengalami sindrom 'payah nk turun' tahta fatwa sebab dok rasa orang lain jahil belaka..

Sekian, pandangan saya kepada sesiapa yang masih degil untuk berkarier dlm bidang politik sampai dijemput malaikat maut...

Jumaat,
Perda Timur

Monday, April 15, 2013

KUASA ADALAH AMANAH, BUKAN HAK MILIK PERIBADI


Demokrasi sebagai sistem politik di kebanyakan negara hari ini diterima atas matlamatnya untuk menjamin hak-hak asasi rakyat. Ia ditakrifkan “daripada rakyat kepada rakyat untuk rakyat”. Lahirnya sistem Demokrasi di Barat sebagai manifestasi penentangan terhadap budaya kezaliman, penindasan dan kebejadan pemerintah yang berselindung di sebalik sistem monarki, tirani dan teokrasi. Kuasa politik dikembalikan pada pemilik sebenar iaitu rakyat yang berhak menentukan sebarang sistem, kaedah dan bentuk kerajaan iaitu autoriti tertinggi yang menjaga dan melindungi segala hak mereka. Pemimpin yang dilantik mesti menyedari mereka merupakan wakil rakyat paling dipercayai untuk memikul amanah umum bagi menyuarakan aspirasi rakyat. Secara umumnya itulah kehendak Demokrasi.

Pada hakikatnya, pengamalan sistem tersebut tidak menggambarkan realiti sebenar di mana penyalahgunaan kuasa, kezaliman, dan penindasan ke atas rakyat masih berlaku atas nama kepentingan awam, keselamatan negara dan sebagainya. Malah keadaan rakyat di beberapa buah negara lebih dahsyat daripada keadaan sebelum Demokrasi wujud yang turut meletakkan jurang antara pemimpin dan rakyat.

Amalan politik dalam Islam bukan sekadar idea kefalsafahan tetapi merupakan perintah agama yang menyamai tuntutan Islam lain. Politik atau juga disebut Siasah Syar’iyyah mempunyai makna dan peranan tersendiri dalam menyempurnakan keseluruhan komponen syariat Islam. Kuasa dan pemerintahan hanyalah alat dan mekanisme untuk melindungi kesucian akidah, melaksanakan tuntutan syariat dan mengawal unsur-unsur al-fasad (corruption) dalam masyarakat. Sebenarnya para ulama’ Islam terdahulu telah pun menekankan tentang peranan, tanggungjawab, objektif dan bidangkuasa seseorang ahli politik Islam melalui definisi-definisi mereka tentang politik.

Sarjana Islam silam Ibnu Uqayl mendefinisikan politik sebagai :

“Sebarang tindakan pemerintah yang membawa rakyat hampir kepada al-Islah (kebaikan) dan menjauhkan mereka daripada kefasadan, walaupun tidak pernah dilaksanakan Rasulullah dan tidak terdapat dalam wahyu”.

Ibnu Uqayl meletakkan politik Islam sebagai tindakan-tindakan pemimpin kerajaan bagi tujuan menjaminkan kebaikan kepada rakyat dan menjauhkan mereka daripada elemen-elemen negatif, dengan berpandukan kaedah-kaedah syarak tanpa bergantung kepada keterangan nas secara langsung. Dalam menggubal beberapa polisi berkaitan kemaslahatan awam, kerajaan boleh menguatkuasakannya berdasarkan ijtihad asalkan dapat menjamin kebaikannya. Penegasan ini disebabkan banyak perkara baru tidak ada pnejelasannya al-Quran dan sunnah secara langsung.

Walaupun Ibnu Uqayl tidak menyebut para pemimpin dalam takrifnya, pembaca akan faham tindakan-tindakan tersebut sebenarnya merujuk kepada para pemimpin kerajaan. Ia dapat difahami dengan mudah kerana Ibnu Uqayl menyebut perkataan orang ramai iaitu “boleh mendekatkan orang ramai kepada kebaikan dan menjauhi keburukan”. Justeru jelas hanya tindakan para pemimpin sahaja mempunyai kaitan langsung dengan orang ramai, malah pemimpin bertanggungjawab sepenuhnya dalam memelihara kepentingan awam.

Ibnu Abidin, tokoh mazhab Hanafi menyebut politik Islam tindakan islah terhadap rakyat dengan memimpin mereka ke jalan selamat di dunia dan akhirat.

Takrif tersebut menerangkan gagasan umum bagi pemimpin atau pihak kerajaan menjalankan pemerintahan yang dapat mambawa masyarakat kepada kesejahteraan di dunia dan akhirat. Walaupun takrif di atas tidak menyebut perkataan pemimpin, namun segala usaha pembangunan manusia yang disebut dalam takrif itu adalah datangnya daripada para pemimpin atau pihak berkuasa dalam negara Islam.  Sebab itu memadai bagi beliau hanya menyebut ungkapan memperelokkan (istislah) orang ramai. Beliau juga tidak menyebut kaedah khusus yang digunakan dalam pentadbiran kerajaan, sebaliknya menekankan objektif program pembangunan manusia adalah bagi menjamin kesejahteraan dunia dan kebahagian akhirat. Sudah pasti tidak ada kaedah lain yang menjamin matlamat tersebut pada perspektif Islam kecuali berpandukan kaedah syarak yang muktabar.

Menurut al-Bujayrimi, politik adalah “(usaha) memperelokkan urusan rakyat dan mentadbir urusan mereka”.

Al-Bujayrimi menekankan pengertian politik Islam sebagai langkah dan usaha kerajaan memperbaiki kondisi masyarakat dan taraf hidup mereka menjadi lebih baik dan sempurna. Walaupun beliau tidak menyebut perkataan pemimpin dalam takrifnya, tetapi dapat difahami bahawa segala usaha pemulihan dan pembaikan itu adalah datangnya daripada pemimpin atau pihak berkuasa kerana beliau menyebut sasaran pembangunan ialah rakyat atau orang ramai.

Dalam takrifnya, al-Bujyrimi tidak pula menyebut secara langsung perkataan maslahah sebagai matlamat pelaksanaan politik Islam sebagaimana yang ditakrifkan Ibnu Uqayl dan Ibnu Nujaym. Mungkin sudah mencukupi dengan beliau menggunakan perkataan “(usaha) memperelokkan” yang dengan sendirinya menggambarkan bahawa segala program pembangunan dan pembaharuan itu mengandungi unsur maslahah atau memenuhi kehendak umum.

Ibnu Qayyim turut menghuraikan politik Islam dalam bukunya al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siasah al-Syar’iyyah. Dalam buku itu, beliau telah mengemukakan pelbagai kaedah perbicaraan dan metode pembuktian di mahkamah yang disifatkannya kebijaksanaan politik Islam dalam memenuhi tuntutan keadilan dan kesejahteraan. Walaupun tidak mengemukakan pengertian politik secara khusus, namun kita dapat merumuskan politik Islam bermaksud sebarang tindakan yang diambil oleh pemimpin untuk merealisasikan keadilan Allah dan rasul-Nya.

Penumpuan Ibnu Qayyim dalam bidang kehakiman sebagai tema pembicaraan politiknya tidak bermakna beliau membataskan politik dalam skop sempit, sebaliknya banyak kenyataan beliau menunjukkan bahawa politik Islam meliputi semua perkara berkaitan dengan negara, masyarakat dan pemimpin. Perkara ini terbukti melalui sokongan beliau terhadap definisi Ibnu Uqayl yang memperluaskan skop politik mencakup hal ehwal kenegaraan. Selain itu contoh-contoh politik Islam yang dikemukakan Ibnu Uqayl bersifat komprehensif, meliputi semua sektor pemerintahan negara pada zaman Nabi Muhammad dan khulafak al-rasyidin. Beliau tidaklah membataskan politik hanya kepada bidang kehakiman semata-mata.

Hakikat Sebenar Kekuasaan Politik
Islam melihat politik merupakan kewajipan kolektif di mana hak melantik pemimpin dilaksanakan dengan berhati-hati manakala pemimpin yang dilantik bukanlah suatu kemuliaan (tashrif) untuk mereka menambah koleksi kekayaan, pangkat dan pengaruh. Kekuasaan adalah amanah dan taklif yang setiap sudut darinya, akan dipersoalkan Allah kelak. Pemimpin adalah ketua, bapa dan guru yang sentiasa mempamerkan teladan baik kepada pengikutnya. Hubungan antara pemimpin dengan rakyat sama seperti hubungan bapa dengan anak. Khalifah Umar bin al-Khattab meletakkan dirinya sebagai penjaga anak-anak yatim (kafil al-yatim) yang sangat berhati-hati semasa mengurus dan mengendalikan urusan masyarakat (Al-Tabari 1980, jil. 4 : 201-202).

Para ulama’ menetapkan para pemimpin secara prinsipalnya tertakluk kepada peraturan syariat dan nilai-nilai akhlak Islam bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa untuk tujuan yang tercela. Dalam dwi-hubungan pemimpin-rakyat, pemimpin adalah penentu sebenar yang menstrukturkan halatuju dan citra masyarakat secara keseluruhannya. Para ulama’ memandang serius isu salahlaku pemimpin yang telah menyimpang daripada norma akhlak mulia, sehingga boleh dijadikan asas kepada pemecatannya.

Terdapat banyak hadith Rasululah yang menyentuh secara khusus mengenai sifat, perilaku dan gaya kepemimpinan yang harus diteladani oleh sesiapa yang berkuasa. Ini termasuk kecaman keras Rasulullah terhadap pemimpin yang dibenci oleh rakyat dengan pelbagai manifestasinya seperti al-ja’ir [zalim, jahat], al-ghash [penipu], al-kha’in [pengkhianat], al-fasiq [korup], yang berkesudahan dengan azab Allah yang dahsyat di akhirat kelak.

Dominasi pemimpin ke atas masyarakat dalam pelbagai aspek hidup seperti sosial, pendidikan, ekonomi, budaya, pembangunan, keagamaan dan sebagainya berjalan menerusi dua perkara iaitu sama ada polisi, dasar dan undang-undang yang diluluskan ataupun akhlak yang mewarnai gaya kepimpinannya. Justeru itu dasar dan polisi yang adil selalunya datang daripada pemimpin yang adil dan berakhlak mulia. Kerana itu, Islam amat mementingkan akhlak pada saf kepemimpinan masyarakat.

Melahirkan pemimpin yang bertaqwa dan bermoral seharusnya menjadi agenda utama dalam arus politik masakini. Islam melihat politik dan kuasa merupakan wasilah paling murni untuk memartabatkan syiar-syiar Islam dan bukan tiket untuk memanipulasi rakyat jelata atau membina kekayaan. Imam Izzuddin Abdul Salam menegaskan berpolitik merupakan amalan paling afdhal (afdhal al-ta’at) kerana para pemimpin adil mendapat pahala paling besar berbanding orang biasa kerana dengan kuasa, mereka dapat menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Dalam satu arahan sahaja, ia dapat menolak seribu kezaliman atau menganjurkan seribu kebaikan. Ahli politik memperolehi pahala dengan hanya sedikit bercakap. Hakikatnya politik tidak pernah kotor sebaliknya dikotori ahli politik sendiri.

Kesimpulan Mudah

Kepada pemimpin, kenapa susah sangat kamu hendak menjadi pemimpin yang baik, bertaqwa, warak, berpegang kepada cara hidup Islami, menjiwai keperitan rakyat dan sentiasa mengajak rakyat mentaati Allah dengan menjadikan diri kamu sebagai teladan??

Kepada rakyat, tidak pandai sangatkah kamu untuk melantik pemimpin yang boleh menjadi teladan kepada kamu di dunia dan memimpin kamu ke akhirat??