Menarik jika menelaah kisah kezaliman regim Firaun dalam al-Quran. Nabi Musa dan Nabi Harun diperintahkan oleh Allah SWT untuk menegur pelbagai kefasadan yang dilakukan Firaun di bumi Mesir. Beliau mengamalkan corak pemerintahan tirani, menghambakan Bani Israel, pembunuhan etnik Yahudi (anak2 lelaki), persundalan kaum wanita (anak2 perempuan), dan paling klimaks mengakui dirinya superior (rabbukumul a'laa) yang merasakan diri dan kerajaannya sahaja sahaja dapat menjamin keharmonian negara Mesir dan melaksanakan agenda pembangunan nasional bagi umat Qibti pada waktu itu. Maka kedua-dua utusan Allah itu diutus untuk membuat perubahan pada dasar dan polisi gila Firaun.
Seperti kebiasaan mana-mana pemerintah yang angkuh, merasakan dirinya terlalu agung, dihormati semua lawan dan kawan, Firaun menolak mentah-mentah seruan dan tawaran Musa dan Harun. Dia mencabar bukan setakat kredibiliti Musa yang dituduhnya tidak bersyukur sama sekali kerana dahulu pernah dibesarkan di istana Firaun, diberikan pendidikan, dibentangkan pelbagai kemewahan dan disogok kekayaan tidak terhingga.. Malah Firaun mencabar Allah, Tuhan Musa dan juga Tuhannya. Dalam hati, memang Firaun mengaku ia bukanlah tuhan tetapi kerana lama dia berkuasa dan tiada siapa yang berani mencabarnya, menyebabkan dia berasa dirinya seperti tuhan.
Firaun meminta Musa membawakan bukti kebenaran seruannya. Semua bukti ditunjukkan dan Firaun tidak mampu menghadapinya secara rasional. Apa yang berlaku?... Firaun terpaksa menggunakan segala sokongan daripada pelbagai pihak yang berautoriti dalam masyarakat. Sokongan mereka diperlukan untuk menjayakan proses pembodohan intelektual rakyat bagi menolak seruan Musa dan Harun. Firaun menggunakan 3 (TIGA) golongan berpengaruh dalam usahanya itu, sebagaimana dicatatkan dalam al-Quran :
i. Haman mewakili pihak birokrasi dan kuasa politik
ii. Qarun mewakili pihak korporat dan para borjouis perniagaan
iii. Saharah yakni ahli sihir yang mewakili golongan agama dan ilmuan
Pengaruh Haman termasuk kakitangan pentadbiran dan kuasa politik diekploitasi sepenuhnya oleh Firaun untuk menekan pengaruh Musa dan menyulitkan keadaan rakyat marhaen (Bani Israel) yang bersimpati serta menunjukkan sokongan kepada beliau. Bani Israel yang sekian laman menderita akibat dasar sosial dan tekanan politik Firaun hilang sabar, walaupun lama diperbodohkan tanpa henti tetap berjanji setia untuk berhijrah secara besar-besaran dengan Musa. Hanya Musa yang disokong oleh Allah sahaja dapat menyelamatkan mereka daripada ditindas Firaun. Al-Quran melaknat Haman kerana bersekongkol dengan Firaun menentang kebenaran dakwah Musa.
Firaun berjaya menggunakan Qarun, manusia kaya yang sedarah daging dengan Musa tetapi matanya digelapkan projek kekayaan yang dilambakkan Firaun kepadanya. Qarun menggunakan kekayaan melimpah ruahnya menyekat seruan Musa di setiap tempat yang beliau jejaki. Si laknat itu merancang sesuatu yang lebih dahsyat tidak terfikir oleh Firaun yang mana ia menjadi sunnah sayyi'ah kepada orang politik hari ini. Dia mengupah seorang pelacur yang diarah pergi ke pusat Nabi Musa mengajar lalu mengaku Musa telah berzina dengannya dan kini dia sedang mengandung. Pengakuan tersebut menyebabkan Musa sendiri terkejut dan para pengikut yang selama ini mengagumi Musa hampir hilang kepercayaan. Antara mereka ada yang mencerca Musa, menghina dan mempertikaikan keteguhan moral Musa. Utusan Allah apa ini yang mengajak kita meninggalkan kejahatan tetapi rupa-rupanya manusia bertopengkan syaitan. Beratnya ujian ini kerana Musa sendiri tidak berupaya menjawabnya lalu memohon Allah menurunkan penghakimanNya yg maha adil. Wanita itu mengaku dia diupah oleh Qarun untuk menjatuhkan Musa. Nah, strategi pembunuhan karekter melalui skandal seks sememangnya teknik berkesan untuk menjatuhkan kredibiliti seseorang pemimpin. Usaha Qarun merupakan pemula kepada kelahiran video seks dan gambar lucah untuk menyerang seseorang musuh politik Firaun. Bukan Firaun yang rancang semua itu tetapi Firaun bersetuju dengan taktik begitu.
Terakhir, Firaun menggunakan para ahli sihir untuk melawan mukjizat Musa. Mereka dijanjikan pelbagai jawatan tinggi, pelbagai gelaran kebesaran (minal muqarrabin). Namun selepas beradu kekuatan sihir dengan tongkat mukjizat Musa, mereka tersedar bahawa ini bukan lagi tahap keupayaan ilmu sihir manusia. Tidak mungkin Musa berguru dengan ahli sihir negara asing sehingga menjadi begitu hebat. Hanya mereka sahaja pada waktu itu yang menguasai ilmu sihir peringkat tertinggi. Mesir merupakan pusat pengajian sihir terhebat waktu itu. Orang lain menjadi ahli sihir kerana berguru dengan mereka. Siapa yang mengajar Musa??. Ini bukan lagi sihir.Ini suatu yang lebih hebat daripada sihir. Apa yang berlaku selepas itu? ... Berbeza dengan Haman dan Qarun yang tidak berprinsip, para ahli sihir Firaun terpaksa mengakui kebenaran dakwaan Musa. Tewas di tangan mukjizat, mereka semua sujud menyembah bumi lalu mengaku beriman kepada Allah dan ajaran Musa. Kenapa mereka berpaling sedangkan mereka boleh berbohong dan mencipta seribu alasan untuk menolak mukjizat Musa demi mendapat dokongan Fir'aun?... Ini kerana ahli ilmu (baca ahli sihir pada waktu itu) merupakan golongan yang berpegang kepada prinsip kebenaran, Kerana prinsip ilmu, walaupun ilmu mereka itu sihir, mereka bersatu dengan Musa. Ini menunjukkan kebenaran ajaran Nabi Allah Musa berjaya mendapat 1/3 sokongan masyarakat Mesir yang diwakili oleh ahli sihir. Begitulah sunnah Ilahi, kebenaran hanya akan disokong oleh mereka yang berprinsip sahaja. Mereka yang berprinsip akan sanggup menghadapi ujian dan penderitaan kerana itulah harga untuk mendapat syurga di sisi Allah. Itulah yang dihadapi ahli sihir Firaun yang mati dibunuh secara kejam kerana menyokong dakwah Musa!!!! Watak ahli sihir Firaun ini tidak akan terpadam dalam siri penentangan terhadap kefasadan pemerintah dulu..kini...dan selama-lamanya..Amin!!
Justeru itu, jika ada mana-mana ahli ilmu, ulama' dan para cendikiawan yang masih mendokongi dasar dan polisi kejahatan kerana takutkan pemerintah, hendakkan pangkat, gelaran, dan sebagainya sudah tentu LEBIH TERUK daripada ahli sihir pada zaman Firaun dahulu.
Sekian bacaan kali ini .....