Penulis membahagikan
perbincangan tajuk ini kepada 2 siri untuk mempermudahkan para pembaca
mengikuti huraian lanjut. Mohon maaf sekiranya perbincangan ini agak berat
disebabkan kondisi wacananya bersifat akademik. Ini kerana terdapat sesetengah pembaca
tidak dapat menerima jika ianya tidak disertakan dalil yang kukuh. Sebab itu
mereka akan menolak walaupun penulisan tertentu sangat baik dan hujahnya
bermutu.
Penulisan ini
pada asalnya merupakan bidang kajian penulis semasa menyiapkan disertasi
sarjana syariah di Jabatan Siasah Syar’iyyah, Bahagian Pengajian Syariah,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya antara tahun 1998-2000. Kajian ini
diselia oleh Ustaz Shukeri Mohamad (sekarang Prof. Madya Dr), bekas Ketua
Jabatan dan sekarang bertugas di API Nilaipuri, Kelantan.
Penulis
memilih kajian ini untuk menganalisa tsunami politik pada tahun 1999 yang
melahirkan Barisan Alternatif atau lebih dikenali dengan akronim BA (sekarang
Pakatan Rakyat-PR). Gabungan BA terdiri daripada PAS, PKN (sekarang PKR) dan
DAP diwujudkan untuk menghadapi Barisan Nasional dalam PRU10 pada tahun 1999. Timbul
persoalan, bolehkah mengundi calon bukan Islam daripada DAP, MCA, MCI atau PPP
jika lawannya nanti calon Islam daripada UMNO (BN) dan PAS?...Apa makna gabungan
politik jika tidak boleh mengundi calon yang mewakilinya walaupun dia bukan Islam!!...Itulah
antara persoalan yang ingin diselesaikan oleh kajian ini.
Perbincangan
ini agak komplikated disebabkan isu pengundian merupakan perkara baharu dan
penulis perlu mengaitkannya dengan pelbagai sub perbincangan politik Islam bagi
membuat satu rumusan hukum yang lebih jelas.
PENDAHULUAN
Kerajaan Islam merupakan yang pertama
membuka ruang kepada orang bukan Islam untuk menjadi menteri, pegawai atasan
dan juga kakitangan awam kerajaan. Perkara
ini telah dibahas secara ditil oleh beberapa sarjana hukum Islam seperti
Imam al-Mawardi di dalam bukunya al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah. Selain membincangkan
konsep kepimpinan Islam, Al-Mawardi turut membahaskan isu perlantikan orang
bukan Islam (ahl al-dhimmah) sebagai wazir al-tanfiz dan pada pandangan
beliau, polisi ini dibolehkan. Namun terdapat beberapa pandangan yang tidak
membenarkan orang bukan Islam dilantik menjadi pemimpin seperti Imam al-Haramayn di dalam kitabnya
Giyath al-Umam Fi Iltiyath al-Zolam.
Sememangnya isu orang bukan Islam
menjadi pemimpin merupakan perkara khilaf di kalangan para fuqaha’. Khilaf
tersebut disebabkan :
1. kepemimpinan ataupun al-Imamah merupakan mekanisme Islam
terpenting dalam sesebuah negara yang bertindak sebagai badan pentadbiran,
perancangan dasar dan polisi, penguatkuasaan undang-undang, dan kawalan
keselamatan.
2. Selain itu, terdapat nas-nas al-Quran jelas melarang umat Islam
untuk berada di bawah kepemimpinan (wilayah) orang kafir.
Justeru itu,
penglibatan orang bukan Islam dalam sesebuah potfolio kerajaan mengundangkan
persoalan adakah dasar ini akan menjejaskan autoriti kepemimpinan umat Islam
dan meletakkan mereka di bawah telunjuk orang kafir. Adakah benar polisi membenarkan atau melarang orang bukan Islam menjadi pemimpin telah dijelaskan kedudukannya oleh nas syarak yang qat'iy ataupun ianya tertakluk kepada penilaian maslahah kepada negara yang ditentukan oleh pihak pemerintah?
FOKUS PERBINCANGAN
Masih ramai di kalangan masyarakat Islam terkeliru dengan masalah di atas. Ada
pandangan yang membolehkan orang bukan Islam dilantik menjadi menteri dan ada
yang tidak bersetuju. Berdasarkan perbezaan premis tersebut, pada setiap kali
pilihanraya diadakan, ada yang akan mengundi calon wakil rakyat yang bukan
Islam daripada parti atau gabungan parti tertentu dan ada sebahagian lagi yang
tidak membuang undi untuknya.
Beberapa perkara perlu kita perhatikan di sini. Pertama, keadaan dan
realiti politik hari ini sudah banyak berbeza daripada masa dahulu yang telah
merubah keadaan geopolitik negara-negara dunia sekarang. Terutama pada era
pasca kolonialisme, kelahiran sesebuah negara termasuk Malaysia adalah
berasaskan konsep nation-state (negara bangsa) yang membawa bersamanya unsur
Demokrasi, Liberalisasi, Kapitalisasi dan sebagainya. Justeru itu, perjalanan
sistem politik di Malaysia perlukan difahami dan diambilkira dalam penentuan
hukum pada isu yang kita bahaskan ini.
Kedua, dalam konteks Demokrasi di Malaysia, untuk menjadi menteri, seseorang
itu (sesiapa sahaja termasuk bukan Islam) mesti terlebih dahulu dilantik sebagai
anggota Dewan Rakyat (Member of Parliament). Kebiasaannya, mereka adalah
calon yang mewakili parti atau gabungan parti tertentu yang memenangi pilihanraya
umum berdasarkan sokongan majoriti para pengundi. Di Malaysia, antara parti-parti bukan Islam ialah
seperti MCA, MIC dan DAP (sekadar contoh). Ini bermakna untuk melantik orang
bukan Islam, para pengundi Islam mestilah memberikan undi kepada calon-calon
tersebut.
Ketiga, kajian ini tidak akan menyentuh tentang status parti atau gabungan
parti yang bertanding untuk membentuk kerajaan adakah ianya Islamik ataupun
sebaliknya. Satu persoalan yang berkaitan ialah apakah hukum mengundi calon
pakatan yang bukan Islam terutama sewaktu berhadapan dengan calon Islam dari
pakatan parti lawan. Untuk itu, terserah kepada pengundi untuk membuat
keputusan berdasarkan ijtihad politik masing-masing
Keempat, penulisan ini akan menghuraikan segala pendapat ulamak dan hujah
mereka serta mencari suatu pendekatan yang menemu-jalinkan pertikaian pendapat
tersebut dengan meletakkannya pada posisi masing-masing. Pendekatan ini amat penting sekali kerana hujah kedua-dua pihak
berdasarkan hadith-hadith Rasulullah s.a.w, kerana tidak mungkin Baginda
mempunyai dua sikap yang bertentangan di dalam suatu tindakan.
Seterusnya
pemaknaan terkini terhadap beberapa istilah Fiqh klasik seperti ahl
al-dhimmah atau rakyat bukan Islam merujuk masyarakat bukan Islam yang
menjadi rakyat negara Islam manakala lawannya ahl al-harb, penduduk
negara yang memusuhi Islam.
Di dalam
penulisan ini, Siyasah Sharciyyah akan dimaksudkan sebagai suatu kaedah
pemerintahan yang digunakan oleh pihak berautoriti bagi mengendalikan hal ehwal
masyarakat dan mentadbir urusan kerajaan.
Untuk mengetahui huraian lanjut tentang konsep Siasah Sharciyyah, pembaca boleh
merujuk kepada beberapa rujukan berikut :
i.
cAbd.
al-Wahhāb Khallāf, al-Siyāsah al-Sharciyyah, Dār al-Qalam, Kuwayt, 1988 M./1408 H.,
hlm. 6
ii. cAbd. Al-Rahman Tāj, al-Siyāsah al-Sharciyyah
wa al-Fiqh al-Islamī, cAlī Ahmad al-Khatīb edit., al-Azhar, 1995
M/1415 H, hlm. 12
iii. Muhammad Nacim Yāsīn, Muzakirah Fi al-Siyāsah al-Sharciyyah, dalam
Shukeri Mohammad (1994), al-Siyāsah al-Sharciyyah wa
Qawāciduhā Fil cIqāb al-Taczirī,
Tesis M.A, Universiti of Jordan, hlm. 13
iv. Fathī al-Duraynī, Khasāis al-Tashrīc al-Islāmī Fi
al-Hukm wa al-Siyāsah, Mu’assasah al-Risālah : Bayrut, 1986 M/1402.H, hlm. 189-190
v. Ibn al-Qayyim, al-Turuq al-Hukmiyyah, Bashīr Muhammad cUyūn thq., Maktabah Dār
al-Bayān, t.tp, 1989 M/1410 H, hlm. 16.
vi. Lihat juga Iclām
al-Muwaqqicīn cAn Rabb al- cAlamīn,
Muhammad Muhy al-Dīn Abd. Al-Hamīd t.hq., Dār al-Fikr : Bayrūt,
t.t,., jil. III, hlm. 373.
KONSEP KEPEMIMPINAN
ISLAM
Kepimpinan berasal dari kalimah Pimpin. Kamus Dewan (2011) memberikan
makna istilah “Pimpin” sebagai mengepalai atau
mengetuai serta mengendalikan (badan, pertubuhan, pergerakan, negara, dll) dan
kepimpinan ialah keupayaan memimpin. Di dalam bahasa Inggeris disebut Leadership dan di dalam bahasa Arab pula,
terdapat banyak istilah seperti al-Imāmah, al-Khilāfah, al-Ri’āsah, al-Zicāmah dan al-Imārah. Kalimah al-Imāmah dan al-Khilāfah lebih popular digunakan oleh ulama
(seperti al-Mawardi, Ibn Khaldun dan al-Tafzani) bagi makna kepimpinan
Islam.
Ibn Khaldūn (1993)
mentakrifkan
kepimpinan sebagai menundukkan manusia kepada kehendak Syarak di dalam
kepentingan yang berkaitan dengan soal akhirat dan keduaniaan mereka, kerana
keadaan dunia pada pandangan Syarak berasaskan kepada kepentingan akhirat. Ia
merupakan pengganti Nabi s.a.w. untuk melindungi agama dan politik dunia.
Takrif-takrif tersebut menjelaskan bahawa
kepimpinan Islam merupakan institusi politik tertinggi dalam negara yang
menjadikan Islam sebagai ideologi politiknya dan setiap tindakannya mengikut
landasan yang ditetapkan oleh Islam. Dengan tugas-tugas yang disebutkan tadi
ternyata adanya hubungan erat antara Islam dengan kepimpinan kerajaan dan
sekaligus membuktikan pelaksanaan Islam tidak akan tercapai tanpanya.
Pada dasarnya, kepemimpinan Islam diperlukan untuk mempastikan
Seorang sarjana Islam, Muhammad Yūsof
Mūsā (t.th) menegaskan antara objektif utama kepimpinan ialah untuk menyatukan umat
Islam di atas satu wawasan di samping menyediakan infrastruktur kehidupan yang
sempurna kepada mereka. Ini termasuk menjaga keselamatan negara dari setiap
ancaman pihak musuh, dan segala anasir kejahatan seterusnya memberi jaminan
persamaan hak dan tanggungjawab di kalangan rakyat. Selain itu, tegas beliau,
melalui kerajaan akan adanya penerangan yang jelas tentang Islam kepada rakyat
dan syariat Islam akan dipertahankan bagi mengekang gejala-gejala yang
merosakkan kestabilan Islam serta menghalang pengaruh golongan sesat (mulhid) dan ekstrimis.
Syarat-syarat Kepimpinan Kerajaan
Imām al-Māwardī (t.th) di dalam al-Ahkām al-Sultāniyyah
telah
membincangkan syarat-syarat kepimpinan kerajaan Islam. Syarat-syarat tersebut
adalah berdasarkan struktur kepimpinan kerajaan yang wujud pada zamannya. Muhammad al-Sādiq cAfīfī
(1980) menyatakan di dalam sistem pemerintahan Islam, al-Khilāfah merupakan jawatan tertinggi kerajaan dan
disusuli dengan al-Wizārah dan jawatan-jawatan lain.
Syarat-syarat khalifah menurut al-Māwardī ialah adil,
mempunyai kemampuan berijtihad, sempurna pencaindera dan anggota dari
kecacatan, bijak dalam pengurusan rakyat dan pentadbiran, memiliki keberanian
dan kekuatan untuk melindungi negara dan berjihad, dan yang terakhirnya
berketurunan Quraysh. Selain beliau, terdapat beberapa orang ulama lain seperti
al-Baghdādī, Imām al-Haramayn (1950), Ibn Hazm (t.th) dan Qādī Abū Yāclā (1924) turut mengemukakan sejumlah syarat
yang hampir sama.
Wazir al-Tafwid menurut al-Māwardī (t.th) ialah menteri yang diserahkan kepadanya
tugas menjalankan segala urusan pentadbiran kerajaan oleh khalifah, mengikut
budi bicara dan ijtihad sendiri. Seperti yang dijelaskan di atas, khalifah
tidak mampu menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat dengan seorang diri
dan terpaksa melantik pembantu beliau. Al-Māwardī menegaskan wazir ini
diperlukan bagi melicinkan pentadbiran kerajaan.
Seperti yang
dinyatakan, Wazir al-Tafwīd adalah
orang yang dilantik untuk menjalankan segala pentadbiran hal ehwal negara Islam
bersama dengan khalifah. Dari segi kuasa politik, wazir ini bebas (مستقل) menjalankan pemerintahan di
mana dengan kuasa tersebut beliau layak membentuk jamaah menteri eksekutifnya
sendiri dan melucutkan jawatan mereka tanpa perlu merujuk terlebih dahulu
kepada khalifah. Dalam konteks hari ini ia boleh samakan dengan jawatan Perdana
Menteri (Al-Rays, 1997). Oleh itu al-Māwardī meletakkan syarat-syarat wazir ini
seperti khalifah kecuali syarat berbangsa Quraysh. Wazir ini dimestikan pula memiliki
pengalaman, kemampuan dan mempunyai kemahiran dalam jawatan yang disandang
olehnya (Al-Mawardi, t.th ; Abu Ya’la, 1924).
Berdasarkan ikhtisas dan syarat-syaratnya, Wazir al-Tafwid dianggap pemimpin yang berkuasa penuh (Wilāyah cAmmah) dalam kerajaan yang menjalankan
pentadbirannya mengikut budi bicara dan ijtihad serta memiliki segala kuasa
yang dimiliki oleh khalifah kecuali di dalam beberapa perkara. Seterusnya Wazir al-Tafwid bertanggungjawab sepenuhnya di hadapan khalifah di atas setiap
tindakannya. Meskipun begitu, khalifah masih berkuasa penuh ke atas kerajaan
kerana pada asalnya rakyat menyerahkan kuasa tersebut kepada khalifah.
Pemantauan khalifah ke atas setiap tindakan Wazir al-Tafwid adalah untuk mengelakkan polarisasi kuasa.
Kedudukan wazir ini lebih rendah berbanding dengan Wazir al-Tafwid. Mengenai kuasa dan tugasnya menurut
al-Māwardī (t.th), wazir ini hanyalah melaksanakan segala arahan khalifah dan
kerajaan sahaja. Beliau tidak memiliki sebarang kuasa
pentadbiran yang boleh mentadbir berdasarkan budi bicara sendiri seperti Wazir al-Tafwid. Jika dilihat dari sudut ini,
wazir ini hanya berperanan sebagai orang
perantaraan di antara khalifah dan rakyat yang mewartakan perintah kerajaan
kepada rakyat dan menyampaikan pula kehendak rakyat kepada kerajaan.
Berdasarkan kedudukan seperti ini, maka syarat-syarat Wazir al-Tanfiz
tidak terlalu ketat.
Wazir al-Tanfiz mestilah
memiliki syarat-syarat seperti amanah, bercakap benar, tidak tamak haloba,
peribadi yang baik dengan masyarakat, ingatan yang kuat, pintar, tidak
mempunyai kepentingan peribadi. Jika ia diminta oleh khalifah untuk memberikan
pandangan maka disyaratkan pula mesti mempunyai pengalaman dan kepakaran.
Menurut al-Māwardī (t.th) dan Abū Yaclā
(1924) terdapat kelonggaran dari segi syarat Wazir al-Tanfiz di antaranya ialah jawatan ini
boleh dijawat oleh individu bukan beragama Islam, golongan hamba dan tidak juga
disyaratkan sebagai mempunyai tahap keilmuan yang tinggi seperti Wazīr al-Tafwīd.
Daripada
perbincangan di atas dapat ditegaskan bahawa jika dilihat dari segi kedudukan
politiknya, kedua-dua jawatan tersebut merupakan jentera pembantu kepada
khalifah bagi menguruskan pentadbiran kerajaan. Namun begitu jika ditinjau pula
dari segi ikhtisas dan bidangkuasa pula, Wazir al-Tafwid
merupakan menteri berkuasa penuh sementara Wazir al-Tanfiz tidak memiliki sebarang kuasa untuk
mengeluarkan perintah apatah lagi terlibat dalam pembuatan keputusan dan
penggubalan polisi kerajaan bersama dengan khalifah. Kuasa yang beliau miliki
hanya Wilāyah Khassah..Wilayah Khassah ialah kuasa yang terhad kepada sesuah
bidang tugas sahaja dan kuasa tersebut tidak membolehkannya bertindak di luar
bidang tugasnya seperti Wilayah cAmmah. Berdasarkan huraian al-Mawardi dan Abu Yacla,
Ahmad al-Mubārak (t.th) berkata pengertian sebenar wazir atau menteri mengikut ertikata yang
sebenar tidak terdapat pada Wazir al-Tanfiz.
Berdasarkan syarat-syarat kepimpinan di
atas, dapatlah dinyatakan bahawa syarat Islam merupakan pra syarat utama bagi
setiap jawatan kerajaan. Ulama bersepakat bahawa pemegang jawatan Wilāyah cAmmah seperti
khalīfah dan wazir al-tafwīd mestilah beragama Islam begitu
juga dengan wazir al-tanfīz. Namun
begitu al-Mawardi dan Abu Yacla memberikan kelonggaran kepada syarat wazir al-tanfīz dengan membolehkan orang bukan
Islam menjawat jawatan tersebut. Sebagai kesimpulannya ruang penglibatan bukan
Islam hanya berlaku di dalam jawatan Wazīr al-Tanfīz bukannya khalīfah dan Wazir al-Tafwīd.
Bersambung Siri 2 ..........
No comments:
Post a Comment