Monday, April 15, 2013

KEBEBASAN BERSUARA ADALAH UNTUK TUJUAN ISLAH


Kebebasan bersuara (freedom of speech) boleh dimaksudkan kebebasan untuk menyuarakan sesuatu pandangan secara verbal termasuk juga tindakan mencari, menerima dan menyebarkan maklumat tanpa sekatan. Ia berkait rapat dengan kebebasan berfikir (freedom of thought) dan kebebasan menilai (freedom of conscience). Pada dasarnya, kebebasan bersuara merupakan hak individu yang dijamin agama Islam. Malah kerajaan tidak boleh menghalangnya dan individu juga tidak boleh bertolak ansur di dalam mendapatkan hak tersebut. Rasulullah SAW bersabda ‘Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka hendaklah ia mengucapkan perkara baik atau hendaklah ia diam” (HR Bukhari & Muslim). Mafhum hadith ini menunjukkan menyuarakan kebaikan mempunyai kaitan yang integral dengan kesempurnaan iman. Walaupun kebenaran adakalanya sukar dinyatakan, Rasulullah SAW tetap menyuruh umat Islam menyampaikannya walaupun pahit (HR Ibnu Hibban).

Jaminan kebebasan bersuara telah termaktub dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UNHR) yang diterima pakai PBB pada 10 Disember 1948. Ianya berasaskan empat tunggak iaitu kebebasan daripada ketakutan dan kemahuan, dan kebebasan bersuara dan kepercayaan. Ia menyenaraikan pelbagai hak asasi manusia, daripada hak sivil dan politik sehinggalah hak ekonomi, sosial dan kebudayaan. Semua peruntukan dalam UNHR diakui di Malaysia selagi tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan (PP). Kebebasan bersuara diakui dalam Artikel 10 PP dan dinyatakan juga dalam Seksyen 4(4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Akta 597).

Kebebasan bersuara merupakan manifestasi pengiktirafan Islam terhadap kreativiti akal manusia dan pemaksimuman daya berfikir untuk merenung ayat-ayat (tanda) kebesaran Allah SWT dan mencari kebenaran. Proses berfikir yang menemukan kebenaran, mendorong manusia menunaikan tanggungjawab kepada Islam. Antaranya kewajipan pelaksanaan makruf dan pencegahan kemungkaran tidak dapat dilaksanakan jika tidak ada kebebasan memberikan pendapat. Ummu Habibah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda, “Pengucapan anak Adam yang wajib ke atasnya ialah mengucap La Ilaha IllaLlah dan menyuruh kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran”.

Begitu juga sifat membencikan kemungkaran dalam diri seseorang mukmin wajib dizahirkan dengan pelbagai saluran mampu dilakukannya samada secara fizikal, verbal mahupun intrinsik. Abu Said al-Khudri meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda : “ Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia mencegahnya dengan tangan. Jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisan. Jika tidak mampu juga maka cegahlah dengan hati di mana demikian itu (tanda) selemah-lemah iman” (HR Muslim)

Jika diperhatikan perintah al-Quran mengenai anjuran bermusyawarah juga mengaitkan aplikasi kebebasan bersuara dan memberikan pendapat ke atas individu. Percambahan pemikiran tidak menyubur dalam konteks masyarakat dan negara yang menyekat kebebasan bersuara dan juga berfikir. Suatu yang sia-sia sekiranya sebuah negara mengisytiharkan mengamal Demokrasi ataupun syura, tetapi ia mengekang kebebasan berfikir dan merampas hak bersuara rakyatnya. Antara kesan kebebasan bersuara, berfikir dan mengkritik dalam tamadun Islam terlihat pada percambahan mazhab Fiqh seperti mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali di serata dunia Islam. Mazhab-mazhab itu diamalkan para pengikutnya dalam persekitaran kondusif, harmoni dan tidak bermusuhan walaupun berbeza pandangan dalam banyak aspek.

Akan tetapi, kebebasan bersuara dalam Islam tidak bersifat mutlak seperti diamalkan negara-negara Barat. Ia masih terikat kepada prinsip syariat di mana ia tidak terkeluar daripada skop menjamin kemaslahatan (jalbul maslahah) dan menolak kemudaratan (daf’ul mafsadah) terhadap 5 perkara asasi iaitu kesucian agama, kehormatan nyawa, akal, keturunan dan harta. Umat Islam di negara ini tidak wajar meniru bulat-bulat amalan kebebasan seperti di sana.

Khalifah Umar bin al-Khattab pernah menarik semula pandangan untuk menetapkan kadar mas kawin apabila dikritik oleh seorang wanita. Ia menghujahkan cadangan penetapan tersebut bercanggah dengan dasar kebebasan penentuan mahar yang Allah SWT berikan kepada kaum wanita. Walaupun niat khalifah Umar baik supaya tidak berlakunya kadar mas kawin terlalu tinggi tetapi akhirnya terpaksa akur kepada hujah wanita itu yang lebih kuat. Dalam kes lain, pernah seorang sahabat mempertikaikan sumber perbelanjaan Umar bagi jubah di badannya di hadapan khalyak. Umar menjelaskan jubah itu dihadiahkan anaknya, Abdullah yang baru pulang dari Yaman.

Kebebasan berfikir dan bersuara dalam Islam tertakluk kepada beberapa peraturan iaitu pertama, sesuatu idea yang disuarakan hendaklah mempunyai tujuan baik dan niat ikhlas. Hak kebebasan ini sepatutnya digunakan dalam kerangka nasihat demi kebenaran dan kesabaran (al-tawasaw bil haq wa al-sabr) . Hakikat ini hanya akan tercapai seandainya kebebasan bersuara yang diterjemahkan pada hari ini ke dalam bentuk karya perfileman, program hiburan, penulisan novel, media cetak elektronik, blog, diskusi ilmiah, seminar dan seumpamanya, dijadikan alat untuk mempromosi kebenaran, melahirkan rasa keinsafan umum, mencetuskan kesedaran umat Islam terhadap ancaman musuh mereka dan lain-lain tujuan yang berorentasikan makruf.

Kedua, tidak menggunakan idea dan pemikiran tersebut ke arah kemaksiatan, fitnah, gossip, dusta, tahyul, seks bebas, imaginasi, khurafat atau bid’ah yang mendatangkan kekeliruan kepada akidah, syariah dan nilai-nilai akhlak Islam. Hasil kebebasan bersuara yang negatif seperti ini ditentang Islam dengan menganggap ia bukan lagi kebaikan sebaliknya kerosakan (mafsadah) yang mesti bendung.

Masalah hari ini, kebebasan bersuara digunakan untuk mempromosi idea dan fahaman mengelirukan masyarakat Islam seperti anjuran persamaan lelaki dan wanita, pluralisme dan liberalisme Islam, ajaran sesat, penolakan hadith, mengkritik tradisi ilmu Islam dan para ulama, dan lain-lain perbuatan fasad. Memang kita tidak berupaya mengubah pendapat peribadi seseorang atau memaksanya mengikut pendapat berbeza. Akan tetapi kita semua tidak boleh membiarkan pandangan, idea atau fikrah tertentu yang boleh merosakkan masyarakat awam, bermaharajalela tanpa sebarang kawalan.



Justeru itu, Islam memberikan autoriti kepada pemerintah untuk mewujudkan sekatan terhadap beberapa aspek kebebasan ‘meluahkan suara’ sehingga memangsakan masyarakat. Sesiapa sahaja bebas bersuara kerana itu hak peribadinya tetapi tidak bebas untuk meluahkan suaranya kerana menjaga maslahah Islam adalah hak semua. Antara kebebasan bersuara dan kebebasan meluahkan suara, dua perkara sangat berbeza. Sesungguhnya Islam menganjurkan kebebasan bersuara hanya sebagai mekanisme terpenting dalam agenda pengislahan masyarakat dan negara.

Kesimpulan Mudah

Mana ada konsep kebebasan sepenuhnya. Kerana itulah datangnya syariat Islam untuk mengatur agar kebebasan itu tidak menzalimi orang lain. Hasil kebebasan bersuara yang dipromoted oleh Barat selalunya membawa kepada fitnah, video lucah, tuduhan palsu dan pelbagai kefasadan yang menjatuhkan maruah orang tidak berdosa.

No comments:

Post a Comment