Pendapat Yang Rājih
Pada padangan penulis pendapat golongan
pertama lebih releven untuk dipraktikkan di Malaysia berbanding dengan
pendapat kedua kerana beberapa faktor seperti berikut;
Pertama
Huraian nas-nas Al-Quran dan Sunnah
membezakan Antara Kafir Dhimmī dan Harbī
Syariat Islam membahagikan orang bukan Islam kepada dua kategori iaitu kafir harbī
dan dhimmī. Jika kafir harbī yang dimaksudkan di dalam beberapa
nas yang dihujahkan oleh pendapat kedua, maka ia bukanlah suatu hujah yang
kukuh kerana ijmak ulama telah mengharamkan sebarang
perhubungan politik dengan orang-orang yang memusuhi Islam. Jika mereka ini
dilantik juga menjadi pemimpin sudah tentu perlantikan tersebut menyalahi ijmak
ulama. Namun di sebalik itu, jika nas-nas di atas mengharamkan penglibatan
golongan dhimmī secara mutlak, andaian ini dengan sendirinya telah
dinafikan oleh beberapa nas lain yang menggambarkan keadaan sebaliknya
berdasarkan sebab penurunan ayat (asbāb al-nuzūl).
Catatan :Sebab
turunnya ayat 38 surah Al Imrān seperti yang dinyatakan oleh al-Tabarī, mengisahkan tentang hubungan yang terjalin antara umat Islam
dengan kaum Yahudi telah melebihi batasan yang sewajarnya sehingga orang Yahudi
mengambil kesempatan untuk menaburkan fitnah di dalam masyarakat Islam sendiri.
Pada pandangan penulis, asas
sebenar larangan tersebut ialah wujudnya permusuhan (al-cAdāwah)
terhadap umat Islam.Sikap ini membentuk suatu imej kepada orang bukan Islam
yang menyebabkan sifat amanah dan kejujuran yang boleh dipercayai ada pada
mereka, dengan sendirinya hilang.Apabila kepercayaan kepada mereka sudah tiada,
keadaan ini menimbulkan keraguan yang boleh menjejaskan kedudukan mereka
sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dalam negara Islam.
Catatan :Al-Quran melarang umat Islam melakukan tahaluf dengan golongan yang menentang
Islam secara jelas. Selain merugikan agama Islam, tindakan ini menyalahi
tuntutan Islam supaya memerangi golongan yang memusuhi Islam.Kesimpulannya,
ayat-ayat ini ingin menggariskan suatu prinsip dalam undang-undang perhubungan
antarabangsa Islam.Perlu diingatkan bahawa hanya kafir harbi sahaja bermusuh
dengan umat Islam bukannya kafir dhimmī.Dalam
negara Islam, kafir dhimmī adalah sebahagian daripada rakyat negara
Islam. Beberapa ayat Al-Quran seperti ayat 141 surah al-Nisā’, ayat 1 dan 9
surah al-Mumtahanah, ayat 118 surah Al Imrān, dan ayat 37 surah al-Mujādilah telah
menggariskan beberapa sifat orang kafir yang menjadi ciri-ciri kepada larangan
melantik mereka sebagai pemimpin. Melantik golongan harbi yang bermusuhan
dengan umat Islam bertentangan dengan objektif syariat Islam. Jika diperhatikan
kepada kafir dhimmī , mereka berbeza daripada kafir harbi.
Justeru itu golongan ini dikecualikan dari konteks larangan tersebut.Maka
bolehlah difahami daripada nas-nas tersebut, bahawa walīy atau kuasa wilāyah
yang difokuskan ialah wilāyah nusrah iaitu mengadakan ikatan dengan golongan
anti Islam (harbī) di luar
masyarakat Islam.
Al-Quran sendiri menegaskan tidak
semua orang bukan Islam sentiasa memusuhi Islam. Malah di kalangan mereka ada
yang mempunyai sifat amanah dan boleh dipercayai oleh umat Islam. Misalnya
Firman Allah dalam ayat 75 surah Al cImran yang berbunyi ;
ومن أهل الكتاب من ان تأمنه بقنطار يؤده
اليك و منهم من ان تأمنه بدينار لا يؤده اليك الا ما دمت عليه قائما
Bermaksud,“Dan
di antara Ahli Kitab ada orang yang jika kamu amanahkan kepadanya harta yang
banyak, akan dikembalikan kepadamu; dan ada di antara mereka orang yang jika
kamu amanahkan kepadanya satu dinar, tidak akan dikembalikannya kepadamu
kecuali kamu selalu menagihnya …”
Jika diperhatikan, terdapat
ikatan saling kait mengait antara keseluruhan ayat yang menyentuh tema
perhubungan dengan orang bukan Islam.Terdapat juga ayat-ayat yang menditilkan
lagi konsep jalinan itu seperti perlunya pihak kerajaan berlaku adil, bersikap
toleransi dalam memberikan layan kepada semua rakyat, dan mengambil kira
tentang kejujuran dan nilai-nilai baik yang dimiliki oleh mereka.
Aspek ini ingin menyimpulkan
bahawa Allah menghendaki seluruh pemimpin umat Islam berwaspada dalam berhubung
dengan golongan bukan Islam supaya umat Islam sentiasa di dalam keadaan yang
terjamin dan selamat daripada ansir-anasir yang mengancam mereka.
Kedua
Tindakan Rasulullah s.a.w. Mempunyai Kaitan Dengan Maslahah
Umat Islam
Sungguh pun terdapat beberapa hadith
yang memberikan dua bentuk amalan yang bercanggah daripada Rasulullah s.a.w.
namun percanggahan tersebut bukanlah berlaku secara hakiki jika kedua-duanya
disesuaikan ke dalam posisi masing-masing mengikut situasi dan keperluan
sewaktu itu.Di dalam menemukan perselisihan antara kehendak hadith-hadith itu,
pemakaian maslahah merupakan asas yang kuat dalam mentafsirkan tindakan
Rasulullah s.a.w. yang pernah menerima atau menolak khidmat orang bukan Islam.
Bagi mempastikan sebarang bantuan
itu merupakan suatu maslahah kepada kerajaan, sebahagian fuqaha seperti
Al-Ramlī (1984) dan al-Shīrāzī (1995) telah menggariskan beberapa syarat kepada
khalifah untuk membuat keputusan berhubung dengan keadaan ini. Pertama , Ia hendaklah menjadi maslahah yang sangat
diperlukan oleh kerajaan. Keduanya, sikap positif yang ditunjukkan oleh mereka
dan yang ketiga, dapat dijamin bahawa penyertaan mereka tidak mengancam
kekuatan pasukan Islam. Ibn Qudāmah juga meletakkan syarat yang sama malah
khalifah juga boleh memberikan ganjaran kepada dhimmi yang berperang
dengan peruntukan 1/5 daripada khumus rampasan perang. Kesimpulannya
menurut pendapat ini, tawaran bantuan tidak diterima jika kerajaan tidak
memerlukannya ataupun penyertaan itu boleh menyebabkan kelemahan pada kekuatan kerajaan
Islam.
Berdasarkan kemaslahatan juga
kita melihat Rasulullah s.a.w. menolak tawaran orang kafir kerana Baginda
s.a.w. berpendapat tawaran tersebut bukan suatu maslahah bagi tentera
Islam sedangkan dalam beberapa hadith lain yang meriwayatkan Baginda s.a.w.
pernah memohon bantuan daripada Yahudi sewaktu perang Khaibar sehingga turut
menerima saham ghanimah dan Safwān bin Umayyah juga keluar berperang dengan
Baginda s.a.w. sewaktu perang tersebut. Ini bermakna tindakan Baginda s.a.w.
merujuk kepada kepentingan yang wujud sewaktu itu.
Ketiga
Analisis Terhadap Pengertian Awliya’
Awliya’ ialah kata jamak
bagi perkataan walīy yang membawa kepada makna wilāyah dan
beberapa pengertian yang lain. Al-Bāqilānī menyebut terdapat lima belas makna
bagi perkataan al-Wilāyah. Namun penulis melihat adalah memadai kita
mengikut Imam al-Rāzī (t.th) memberikan tiga bentuk tafsiran al-wilayah;
i- Bermaksud meredai
kekufuran mereka dan menerimanya sebagai asas perlantikan mereka. Tindakan ini jelas
ditegah oleh syarak.
ii- Bermaksud mewujudkan hubungan
atau komunikasi yang baik secara zahir sahaja. Amalan ini dibenarkan oleh
Syarak.
iii- Bermaksud cenderung ke arah mereka untuk meminta
bantuan dan menjadikannya sebagai pemangkin kemenangan samada ianya terbina
atas ikatan kekeluargaan ataupun kasih sayang.Pada masa sama, kita tetap
beriktikad agama mereka itu salah. Pendekatan ini tidaklah menjadikan seseorang
itu murtad daripada Islam tetapi dilarang kerana faktor muwālah dalam
pengertian ini menjadikan kita bagaikan menyokong cara mereka dan meredai agama
mereka.
Sementara itu Rashīd Ridā
membahagikan kepada dua jenis wilayah iaitu wilāyah yang bertujuan mencapai
kemenangan (nusrah) dan wilāyah kasih sayang (mawaddah). Wilayah
yang dilarang oleh al-Quran ialah yang pertama di mana mereka yang terlibat
tergamak meminggirkan kepentingan umat Islam sama sekali demi mencapai tujuan
jahat musuh-musuh Islam (jil. III, hlm. 278).
Kesimpulannya jelas sekali bahawa
perlantikan kafir dhimmi sebagai Wazīr al-Tanfīz tidak
memenuhi ciri-ciri yang dilarang oleh ulamak. Bahkan apabila semua kepentingan
umat Islam terjamin dan maslahah Islam dipelihara dengan baik maka sudah
tentu perlantikan tersebut dibolehkan.
Keempat
Hakikat Kuasa dan Bidang Tugas Wazīr
al-Tanfīz
Penulis mendapati perbezaan hukum
lantik orang bukan Islam ini didorong oleh perbezaan faham tentang konsep wazīr
al-Tanfīz.Golongan pertama berpendapat wazīr al-Tanfīz tidak
memiliki kuasa Wilāyah cAmmah seperti khalifah
dan Wazīr al-Tafwīd.Hal ini merujuk pada bidang tugasnya yang hanya
mengikut ijtihad dan arahan khalifah seperti mewartakan perintah.Wazīr ini
tidak mempunyai kuasa bertindak (sultah mustaqillah) sebab
perlantikannya tidak berlaku secara rasmi (al-niyābah). Imam al-Mawardi juga telah menggariskan empat
perbezaan asas (sila rujuk siri 1) antara Wazīr al-Tanfīz dan
Wazīr al-Tafwīd bagi menyatakan tidak akan ada kemungkinan
bagi orang bukan Islam peluang untuk menguasai umat Islam jika sekiranya mereka
dilantik.
Sementara itu golongan kedua
menganggap bidang tugas dan jawatan wazīr ini sebagai satu bentuk wilāyah
yang menyamai kedudukan Wilāyah cAmmah.Penulis melihat
variasi kefahaman ulamak aliran kedua ini banyak dipengaruhi oleh tafsiran nas secara
literal dan hanya tertumpu pada zahir kenyataan hadith yang melarang memohon
bantuan orang bukan Islam.
Oleh itu pada pandangan penulis, kefahaman
golongan pertama telah disalahertikan oleh golongan kedua kerana mereka
(pendapat kedua) menganggap Wazīr al-Tanfīz adalah jawatan
yang bersifat Wilāyah cAmmah seperti khilāfah,
imāmah sedangkan di dalam jawatan-jawatan tersebut para ulamak telah
berijmak orang bukan Islam tidak boleh menjawat post-post tersebut.
Dua persoalan yang ingin saya ajukan kepada pihak tertentu yang masih melarang umat Islam mengundi calon bukan Islam ialah :
i. Adakah calon bukan Islam daripada parti DAP itu kafir harbi? Apa kriteria yang mengharbikan mereka berbanding kafir dalam MCA, Gerakan, MIC dll? Adakah penglibatan mereka dalam PRU ini sama seperti memerangi umat Islam dalam perang bersenjata?
ii. Adakah mereka menyertai PRU sebagai calon bebas seperti ISMA@Berjasa atau mereka berkerjasama dengan parti umat Islam lain untuk menegakkan sebuah kerajaan yang baik dan adil?
Jawapan : Tepuk dada tanyalah suara hati ....
https://www.facebook.com/notes/engku-ahmad-fadzil/cubit-cubit-sayang-tahaaluf-siyasi-seterbuka-manakah-keterbukaan-kita/636272089720955
ReplyDelete