Tuesday, April 16, 2013

SIRI 2 : MASALAH MENGUNDI CALON PRU BUKAN ISLAM : SUATU ANALISIS HUKUM

ISU KEPEMIMPINAN ORANG BUKAN ISLAM MENURUT PERBINCANGAN FUQAHA



Sekurang-kurangnya terdapat dua pendapat di kalangan fuqaha tentang hukum melantik orang bukan Islam menjadi pemimpin. Sebelum itu, bagi memahami isu ini dengan lebih jelas, amat wajar dikenalpasti terlebih dahulu latarbelakang sebenar pertikaian fuqaha’ yang akan mendedahkan perkara yang mereka sepakati bersama termasuk punca sebenar yang mereka khilafkan.

Kita perlu menentukan skop perbincangan
Imāmah, khilāfah, wizārah dan cImārah merupakan institusi politik terpenting di dalam struktur kepimpinan Islam berdasarkan bidang kuasa dan peranannya yang besar dalam menjaga kedudukan agama dan maslahah politik umat Islam. Autoriti institusi di atas bersifat al-Wilāyah al-cAmmah yang meliputi seluruh hal ehwal masyarakat. Adapun jawatan-jawatan selain daripada itu dianggap sebagai Wilāyah Khassah atau mempunyai bidang kuasa terhad.

Bagi jawatan-jawatan yang bersifat Wilāyah cAmmah, Islam menjadi syarat utama kepada calon yang menjawat portfolio berkenaan. Justeru itu, ahl al-dhimmah tidak boleh dilantik ke jawatan-jawatan seperti al-Imāmah, al-Khilāfah, wizārah al-Tafwīd, perundangan, kehakiman, ketenteraan dan beberapa jawatan-jawatan yang dikategorikan sebagai al-manāsib al-dīniyyah (Al-Juwaynī, 1950 ; Ibn Hazm, t.th.; Al-Baghdādī, 1981; Al-Māwardī, t,th. ; Al-Farrā’, 1924).

Seterusnya jawatan Wazīr al-Tanfīz, iaitu satu-satunya jawatan yang tinggal adakah boleh diduduki oleh orang bukan Islam ataupun sebaliknya. Para fuqaha’ sebenarnya tidak begitu jelas tentang status jawatan tersebut dan juga apakah rasional melantik bukan Islam sebagai pemimpin. Mereka berbeza pendapat mengenai kedudukan wazīr al-Tanfīz sama ada dikategorikan sebagai Wilāyah cAmmah ataupun Wilāyah Khassah.

Ramai di kalangan fuqaha’ menganalogikan hukum orang bukan Islam menjadi pemimpin kepada hukum meminta bantuan daripada orang bukan Islam di dalam Bāb al-Isticānah bi al-Mushrikīn kerana dalam konteks ini, ia sama seperti meminta bantuan daripada mereka.

Selain itu, apakah jawatan-jawatan lain seperti pegawai pengurus cukai (cāmil kharāj), juru tulis/setiausaha kerajaan (kātib) sama kedudukannya dengan jawatan Wazīr al-Tanfīz.


PANDANGAN PERTAMA
Mengikut pendapat ini orang bukan Islam boleh dilantik ke dalam kerajaan sebagai Wazir al-Tanfiz atau sebarang jawatan selain daripada jawatan Wilayah cAmmah. Aliran ini terdiri daripada Imam al-Māwardī (t.th),  Qādī Abū Yaclā (1924), al-Kharqī, dan beberapa tokoh pemikir Islam semasa seperti Yusof al-Qaradāwi (1983),  Diyā al-Dīn al-Rays (1997),  Muhammad Salām Madkūr (1983), Muhammad Farūq al-Nubhānī (1988). Antara ulama yang membenarkan pihak kerajaan menerima bantuan rakyat bukan Islam ialah Imam Ahmad bin Hanbal, al-Kharqī, al-Shāficī, al-Awzacī, Abū Hanīfah dan para sahabatnya serta golongan  cItrah (Al-Nawawi, t.th : Al-Shawkani, 1993). 

Hujah daripada al-Quran dan Sunnah
i-         Firman Allah yang berbunyi ;

يأيها الذين أمنوا لا تتخذوا بطانة من دونكم لا يألونكم خبالا ودوا ما عنتم قد بدت البغضاء من أفواههم و ما تخفي صدورهم أكبر قد بينا لكم الأيات لعلكم تعقلون

Bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang bukan di kalangan kamu sebagai orang yang dipercayai. Mereka tidak akan berhenti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka suka apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian mereka kepada pertuturan mulutnya dan apa yang disembunyikan dalam hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu mahu memahaminya.”
(Al Imran : 118)

Dalam menghuraikan ayat di atas, Rashīd Ridā (1993) menegaskan larangan yang terdapat di dalam ayat ini tidak bersifat mutlak sebaliknya ia ditaqyidkan dengan beberapa ciri yang menjadi sebab kenapa ia dilarang. Al-Quran menggariskan empat ciri sebagai alasan pengharamannya iaitu kerana orang bukan Islam mempunyai hasrat untuk menghancurkan Islam, mereka suka melihat umat Islam derita, di samping sikap benci dan hasad dengki yang mendalam terhadap umat Islam di jiwa mereka. Oleh itu, katanya, jika dipastikan ciri-ciri tersebut tidak ada pada orang bukan Islam yang terbabit, mereka akan dikecualikan dari skop larangan tersebut.

Berdasarkan penjelasan di atas, ternyata bahawa kedudukan Wazīr al-Tanfīz yang dihuraikan oleh al-Mawardi dan Abu Yacla tidak boleh didefinisikan sebagai “bitanah” seperti yang dilarang oleh al-Quran. Orang seperti ini bukanlah pemegang rahsia kerajaan yang mutlak sebaliknya menjadi pelaksana bagi plan tindakan yang tidak dirahsiakan lagi seperti yang dimaksudkan di dalam ayat di atas.

ii-         Imam Bukhārī (1987) meriwayatkan dari Aishah r.a. berkata ;

و استأجر النبي صلى الله عليه و سلم و ابو بكر رجلا من بني الديل وهو على دين كفار قريش هاديا

Bermaksud, “Nabi s.a.w dan Abū Bakr pernah mengupah seorang lelaki dari Banī al-Dayl sebagai juru pandu jalan walhal dia beragama orang kafir Quraysh

Hadith ini merakamkan bahawa kepakaran yang ada di kalangan orang bukan Islam telah diekploitasikan oleh Rasulullah s.a.w. dengan penuh bijaksana sehingga ia menguntungkan pihak Islam.

iii-        Ibn Ishāq pula meriwayatkan dengan sanad yang sahih dan diikuti oleh Ibn Jarīr dan Ibn Sayyid al-Dunyā hadith yang mengisahkan bantuan material yang diterima oleh Rasulullah s.a.w. dari seorang kafir yang bernama Safwān bin Umaiyyah.

 

وقد كان ذكر لرسول الله أن عند صفوان بن أمية ادراعا و أسلحة فأرسل اليه وهو يومئذ مشرك فطلب منه تلك الدروع و الأسلحة فقال أغصب يا محمد ؟ قال بل عارية مضمونة حتى نؤديها اليك فأعطاه مائة درع بما يكفيه من السلاح


Bermaksud, “Rasulullah s.a.w mendapat berita bahawa Safwān bin Umaiyyah mempunyai perisai dan senjata lalu Baginda .s.a.w. menghantar utusannya dan sewaktu itu beliau masih musyrik. Baginda s.a.w. meminta perisai dan senjata yang dimilikinya. Safwān bertanya : Apakah ini rampasan ?. Nabi s.a.w. menjawab : Ia hanyalah pinjaman yang dijamin. Safwān meminjamkan kepada Baginda seratus buah perisai di samping  keperluan senjata yang mencukupi.”
(H.R al-Bayhaqi dan Abu Dawud)

iv-        Al-Kharqī  (dalam al-Farra, 1924) mengemukakan sebuah hadith di mana   Nabi s.a.w. bersabda ;

لا يعطى من الصدقة لكافر و لا عبد الا أن يكونوا من العاملين فيعطوا بحق ما عملوا

Bermaksud ; “Tidak diberikan sedekah kepada orang kafir dan hamba melainkan jika mereka menjadi pekerja, maka mereka akan dibayar mengikut kadar kerja mereka.”

Hadith ini menjelaskan tentang keizinan daripada Rasulullah s.a.w. berhubung dengan perkhidmatan orang bukan Islam dan mereka mempunyai hak mendapatkan gaji atau bayaran di atas kerja yang dilakukan sebagai balasan. Ini bermakna pihak pemerintah boleh melantik mereka menjalankan tugas untuk negara seperti wazīr al-Tanfīz dan mereka juga berhak mendapat gaji di atas kerja yang mereka lakukan.

v-         Sebuah riwayat yang menceritakan seorang mushrik bernama Qazman yang keluar berperang dengan pasukan tentera Islam. Beliau dikatakan berjaya membunuh seramai tiga orang pemimpin tentera musyrikin (Al-Shawkani, 1993). Rasulullah s.a.w. yang menyaksikan kesungguhan beliau telah bersabda ;

ان الله ليؤزر هذا الدين بالرجل الفاجر

Maksudnya, “Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini (Islam) dengan seorang lelaki yang jahat (fājir)

vi         Sebuah hadith mursal yang diriwayatkan oleh Imam al-Zuhrī yang menceritakan Nabi s.a.w. meminta pertolongan orang Yahudi Khaybar dalam suatu peperangan dan Baginda s.a.w. telah memberikan saham kepada mereka (al-Shawkani, 1993).

Kedua-dua hadith ini menjelaskan terdapat bukti yang menyatakan Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menerima dan meminta bantuan orang bukan Islam. Apa yang pastinya penglibatan mereka bersama-sama dengan pasukan Islam dilihat sebagai suatu tindakan yang positif oleh pemimpin umat Islam sewaktu itu iaitu Rasulullah s.a.w. sendiri kerana dapat menjaga maslahah agama, keselamatan nyawa dan harta umat Islam serta masyarakat Madinah daripada ancaman musuh.


PANDANGAN KEDUA
Pandangan ini menegaskan orang bukan Islam tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam kepimpinan kerajaan Islam. Antara ulama yang menolak pandangan pertama ialah Imam al-Haramayn (1979), Imam Ahmad bin Hanbal menurut satu riwayat dan Ibn al-Qayyim. Di antara sarjana Islam semasa yang menyokong aliran ini ialah Dr. cAbd. Al-Qādir Abū Fāris (1986). Mereka menganggap tindakan ini sebagai suatu usaha mendapatkan bantuan orang bukan Islam dan membiarkan umat Islam dikuasai oleh mereka. Kalangan ulama lain ialah Ibn al-Munzīr, al-Jūjazānī termasuk beberapa orang ulama lagi (Ibn Qudamah, 1972), Imam Mālik dalam satu riwayat dan satu pendapat daripada al-Shāficī (Al-Shawkani, 1993).

Hujah daripada al-Quran dan Hadith

i-          Firman Allah dalam al-Quran ;

يأيها الذين أمنوا لا تتخذوا بطانة من دونكم لا يألونكم خبالا ودوا ما عنتم قد بدت البغضاء من أفواههم و ما تخفي صدورهم أكبر قد بينا لكم الأيات لعلكم تعقلون

Bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang bukan di kalangan kamu sebagai orang yang dipercayai. Mereka tidak akan berhenti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka suka apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian mereka kepada pertuturan mulutnya dan apa yang disembunyikan dalam hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu mahu memahaminya.” (Al Imran : 118)                                                                                                                           

ii-         Firman Allah yang berbunyi ;
لا يتخذ المؤمنون الكافرين أولياء من دون المؤمنين

Bermaksud, “Janganlah orang mukmin menjadikan orang kafir sebagai pemimpin selain dari kalangan mereka (orang Islam)” (Al Imran : 28).

iii-        Hadith-hadith yang meriwayatkan Rasulullah s.a.w. enggan menerima bantuan dan kerjasama orang musyrikin terutamanya di dalam peperangan. Antaranya ialah riwayat Ibn Mājah daripada cAishah r.a. berkata :

قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : انا لا نستعين بمشرك
Bermaksud, “Rasulullah s.a.w. bersabda sesungguhnya kami tidak akan meminta bantuan orang Mushrik

Ibn Kathīr (1996) menegaskan hadith dan ayat al-Quran tersebut sebagai bukti pengharaman perlantikan ahl al-dhimmah ke jabatan kitābah kerana jawatan tersebut mempunyai makna al-Istitālah (memegang rahsia) orang Islam. Ini akan menyebabkan segala urusan rahsia mereka (umat Islam) diperolehi oleh ahl al-dhimmah kerana kemungkinan rahsia-rahsia tersebut akan terlepas ke tangan musuh melalui mereka.

iv-        Sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi :

لا تأمنوهم اذ خونهم الله

Bermaksud, “Janganlah kamu mempercayai mereka kerana Allah menyifatkan mereka sebagai pengkhianat.”
(dinukilkan dalam al-Farra’, 1924)

Jika orang kafir tidak diterima oleh Baginda s.a.w. menjadi tentera yang berjuang di bawah pimpinan orang Islam, sudah tentu mereka tidak boleh dilantik sebagai menteri yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran dan mengetahui segala rahsia umat Islam (Abu Faris, 1986).

v-         Abū Hayyān al-Taymī meriwayatkan sebuah athar dari Farqad bin Sālih dari Abū al-Dahqānah, berkata : diceritakan kepada cUmar bin al-Khattāb terdapat seorang lelaki dari kaum al-Hīrah mempunyai ingatan yang kuat dan memiliki kemahiran sebagai penulis (kātib), kenapakah kamu tidak melantiknya menjadi juru tulis?. Beliau menjawab : Jika demikian (kalau aku melantiknya), bermakna aku telah melantik seorang bitānah (orang dalam) yang bukan kalangan orang Islam (Al-Jassas, t.th).

vi-        Imam Ahmad (al-Farra’, 1924) meriwayatkan cAli bin Abi Tālib ketika beliau disoal adakah boleh dilantik orang-orang Yahudi dan Kristian menjalankan tugas umat Islam seperti mengutip kharāj ?. Beliau menegaskan :

لا يستعان بهم في شيئ

Maksudnya, “Bantuan mereka tidak diperlukan dalam setiap apa juga urusan

Beberapa riwayat seperti di atas ternyata menjelaskan para sahabat r.a. telah menolak untuk berkerjasama dengan orang-orang Yahudi dan Kristian di dalam mengendalikan urusan pemerintahan kerajaan.

PENDAPAT MANAKAH YANG RAJIH??? ...

Sambungan Siri 3

3 comments:

  1. Manakah pendapat yang paling kuat untuk kita amalkan? Sila nyatakan pandangan Ustaz ..

    ReplyDelete
  2. Pandangan pertama lebih rajih. Pandangan kedua dlm situasi org kafir mengkhianat dan zalim.

    ReplyDelete
  3. InsyaAllah, akan dijelaskan dlm siri 3 tentang pendapat yg rajih berserta analisis maksud haram melantik org kafir sebagai awliyak...

    ReplyDelete