Akhlak dan moral sememangnya tidak dapat
dipisahkan daripada kepimpinan Islam. Hubungan antara keduanya diibaratkan
seperti isi dengan kulit. Imej luaran dan kredibiliti kepimpinan Islam
dicernakan oleh intisari dalamannya iaitu husn al-khuluq. Jatuh bangun
survival umat Islam daripada segi penghayatan ajarannya, kekuatan politik,
kesatuan pemikiran, wawasan dan pembangunan tamadun jelas dipengaruhi oleh
faktor kepemimpinan.
Terdapat banyak hadith Rasululah yang menyentuh
secara khusus mengenai sifat, perilaku dan gaya kepemimpinan yang harus
diteladani oleh sesiapa yang berkuasa. Ini termasuk kecaman keras Rasulullah
terhadap pemimpin yang dibenci oleh rakyat dengan pelbagai manifestasinya
seperti al-ja’ir [zalim, jahat], al-ghash [penipu], al-kha’in
[pengkhianat], al-fasiq [korup], yang berkesudahan dengan azab Allah
yang dahsyat di akhirat kelak.
Nabi Muhammad memberikan tumpuan khusus kepada
personaliti kepimpinan kerana mereka adalah perisai [junnah] kepada
seluruh umat Islam. Mafhum daripada sabda Baginda bermaksud :
“Sesungguhnya
imam [ketua kerajaan] itu tidak lain melainkan perisai di mana orang-orang
berperang di belakangnya dan berlindung dengannya, maka jika ia menyuruh
bertaqwa kepada Allah dan ia berlaku adil, maka ia akan mendapat pahala dengan
demikian itu, dan jika dia menyuruh selainnya, maka ia mendapat dosa”
(H.R
Bukhari dan Muslim)
Justeru itu kepemimpinan hendaklah diterajui oleh
para pemimpin yang baik. Para ulama’ seperti al-Mawardi, Imam Malik,
al-Haramayn, Abu Ya’la al-Farra’, al-Ghazzali, al-Bahgdadi, Ibn Hazm, Ibn
Khaldun, menekankan perbincangan tentang kriteria calon pemimpin sebagai fokus
utama dalam proses pemerkasaan umat Islam. Antaranya bersifat adil dan
berakhlak mulia dijadikan syarat asas bagi jawatan khalifah mahupun menteri [al-wazir].
Jelas, syarat adil mempunyai kaitan secara langsung dengan kredibiliti
seseorang pemimpin.
Selain adil, pemimpin
juga seharusnya memiliki tahap akademik sehingga mampu berijtihad, sempurna
pencaindera dan anggota daripada kecacatan, bijak dalam pengurusan rakyat dan
pentadbiran, berani, mempunyai kekuatan untuk melindungi negara, kemampuan
melaksanakan misi jihad, dan berketurunan Quraysh.
Dalam konteks administratif dan eksekutif, adil
ataupun al-‘Adalah merupakan antara pra-syarat penting bagi setiap
perjawatan terutama yang berkaitan dengan agama [wilayah diniyyah]
seperti hakim, qadi. wali nikah, saksi nikah dan saksi di mahkamah. Tafsiran
adil merujuk kepada sikap seseorang yang tidak melakukan dosa-dosa besar,
bergelumang dengan dosa-dosa kecil dan terjebak ke dalam kegiatan yang
menjejaskan kredibiliti diri. Orang yang adil ialah yang tidak fasik (Al-Bakri
1993 jld 3 : 350)
Tidak
dinafikan sifat adil adalah sesuatu yang agak subjektif dan sukar untuk diukur
apatah lagi dibuktikan. Seorang sarjana Islam, Abdul Aziz Sa’id telah
mengobjektifkan definisi keadilan iaitu ; “sentiasa mengamalkan sifat taqwa dan
menjauhkan diri daripada melakukan dosa” (Abdul Aziz Sa’id 1980 : 60).
Lukman Thaib menyatakan dalam konteks moden, definisi di atas menjustifikasikan
seseorang yang akan dilantik sebagai anggota Majlis al-Syura (Parlimen)
hendaklah tidak disabitkan oleh mahkamah pernah melakukan kesalahan jenayah
berat (Lukman Thaib 1998 : 155). Individu yang disabitkan dengan kesalahan
jenayah berat tidak boleh dilantik kerana calon pemimpin yang dipersoalkan
kejujurannya tidak layak menjadi pemimpin kepada orang lain.
Suatu persoalan yang dibangkitkan, sekiranya
syarat adil satu kemestian kenapakah perlantikan kebanyakan khalifah selepas
era khulafak al-Rashidin tidak mencerminkan hakikat tersebut?. Menjawab
persoalan tersebut, Abdul Razak al-Sanhuri mensifatkan fenomena di atas sebagai
realiti politik yang terpaksa dihadapi atas alasan darurat dan keadaan tersebut
hendaklah difahami mengikut neraca hukum darurat [exceptional case].
Maknanya, walaupun calon khalifah tidak memenuhi beberapa syarat yang
ditetapkan seperti adil, ia boleh diterima jika jemaah menterinya terdiri dari
kalangan mereka yang adil. Kerana yang penting ialah mempastikan wujudnya
sebuah kepemimpinan yang adil. Maka dalam keadaan biasa seperti pada hari ini
di mana setiap rakyat mempunyai kebebasan untuk melantik pemimpin melalui sistem
pilihanraya umum, mereka hendaklah memilih calon yang memenuhi segala syarat
kepemimpinan Islam.
Khalifah Umar Ibn Abd al-Aziz Sebagai
Khalifah Contoh
Hubungan antara pemimpin dengan rakyat sama
seperti hubungan bapa dengan anak-anaknya. Khalifah Umar Ibn al-Khattab meletakkan dirinya sebagai penjaga anak-anak
yatim (kafil al-yatim) yang sangat berhati-hati semasa mengurus dan
mengendalikan hal ehwal masyarakat (Al-Tabari 1980, jil. 4 : 201-202). Seperti
yang ditegaskan sebelum ini, dominasi pemimpin ke atas masyarakat dalam
pelbagai aspek hidup seperti sosial, pendidikan, ekonomi, budaya, pembangunan,
keagamaan dan sebagainya berjalan menerusi dua perkara iaitu sama ada polisi,
dasar dan undang-undang yang diluluskan ataupun akhlak yang mewarnai gaya
kepimpinannya. Justeru itu dasar dan polisi yang adil selalunya datang daripada
pemimpin yang adil dan berakhlak mulia.
Kaitan antara kesan akhlak dan moral pemimpin
dengan masyarakat telah dihuraikan oleh Imam al-Tabari di dalamTarikh
al-Umam wa al-Muluk. Beliau memberikan contoh tiga orang khalifah di zaman
Umayyah iaitu al-Walid Ibn Abd al-Malik, Sulayman Ibn Abd al-Malik dan Umar Ibn
Abd al-Aziz. Khalifah al-Walid merupakan pemimpin yang suka kepada pembangunan
dan perindustrian, maka masyarakatnya juga bersaing membina mahligai dan
bangunan yang mencakar langit. Rakyat pada zaman Sulayman Ibn Abd al-Malik
merupakan golongan yang paling suka makan dan berkahwin kerana khalifah suka
makan dan mempunyai ramai isteri. Apabila kerusi khalifah diganti oleh Umar Ibn
Abd al-Aziz, watak dan budaya masyarakat pada zamannya berbeza sama sekali
daripada sebelumnya. Keadaan masyarakat pada zaman Baginda digambarkan iaitu
apabila dua orang sahabat bertemu di jalanan akan saling bertanyakan tentang
puasa, qiyamullail, hafazan dan khatam bacaan al-Quran?. Pencetus fenomena unik
sebegitu, Umar Ibn Abd al-Aziz, secara peribadinya gemar melakukan qiyamullail,
menghafaz al-Quran dan banyak berpuasa (Al-Tabari, jil. 3 : 98. dlm. al-Nadawi
:50).
Sikap zuhud
dan kewaspadaan Umar Abd al-Aziz terhadap harta rakyat meninggalkan kesan besar
kepada peningkatan pendapatan negara. Yahya Ibn Sa’id menceritakan beliau telah
dihantar oleh Umar Ibn Abd al-Aziz untuk mengumpulkan hasil zakat di
negara-negara Afrika Utara dan yang menariknya tidak ditemui di sana seorang
pun yang datang untuk meminta zakat. Akhirnya beliau pun membeli seberapa banyak hamba dengan wang tersebut untuk
dimerdekakan. Katanya khalifah Umar telah berjaya memenuhi semua kemaslahatan
manusia. Baginda juga mengubah dasar berbelanja mewah di kalangan kerabat
pemerintah dan membatalkan cukai jizyah ke atas rakyat bukan Islam jika mereka
memeluk Islam. Meskipun jizyah menjadi penyumbang utama kewangan negara, Umar
tetap optimis bahawa Allah s.w.t. akan menggantikannya dengan sumber lain (Ibn
Abd al-Hakam: 69).
Sebagai
seorang khalifah yang bertakwa kepada Allah, Umar sering menitiskan air mata
memuhasabah dirinya. Yazid bin Husyab mengatakan beliau tidak pernah melihat
orang yang sangat takut kepada Allah selain daripada al-Hasan al-Basri dan Umar
Ibn Abd al-Aziz seolah-oleh neraka hanya diciptakan untuk mereka berdua (Ibn
al-Jauzi : 156 dlm. al-Nadawi : 51).
Dalam usaha memperbaiki akhlak para kakitangan kerajaan dan masyarakat,
Umar telah menghantar surat kepada pemimpin tentera supaya menjaga solat pada
waktunya, memberikan perhatian kepada madrasah dan penyebaran ilmu serta
melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya. Beliau juga
bersikap tegas terhadap para pegawai kerajaan tidak mengabaikan amar makruf dan
nahi mungkar dengan menegur mereka bahawa budaya hidup seperti ini bukanlah
tradisi para golongan salaf dan bukan cara mensyukuri nikmat yang Allah
berikan. Para khalifah sebelum Umar Ibn Badul Aziz hanya mengutip cukai,
menjaga negara daripada serangan pemberontak, musuh luar di samping tidak peka
terhadap perilaku manusia di dalam premis masing-masing, mempertahankan status
quo sehingga mengabaikan aspek pembangunan minda, pemikiran, akidah,
kebahagian ukhrawi dan kerohanian dalam masyarakat. (Ibn Abd al-Hakam : 41)
Dalam tempoh dua tahun lima bulan memerintah
negara, Umar Abd al-Aziz berjaya mengubah budaya hidup masyarakat secara
keseluruhan kepada cara hidup Islami, setelah sekian lama melencong daripada
landasan sunnah khulafa’ al-rashidin.
KESIMPULAN MUDAH
Payah sangatkah kita hendak melahirkan 10 orang seperti beliau daripada 222 ahli parlimen yang akan bertanding dalam PRU13 nanti? ... Teruk sangatkah sampai seorang pun tidak boleh menjadi seperti Umar Abdul Aziz? ... jika para menteri tidak memiliki kualiti kepemimpinan ala Umar, cukuplah jika PM (tidak kira daripada parti mana yang menang) memenuhi kriteria khalifah Umar nanti ... Jika tidak ada langsung, nyatalah kepemimpinan kita memang langsung tidak berkualiti...
No comments:
Post a Comment