Suatu hal menarik perhatian,
walaupun berbeza pendapat, mereka masih mengamalkan sikap terbuka serta
menghormati pendapat fuqaha’ lain. Kewibawaan mereka tidak pernah menutup pintu
perbincangan dan hubungan persaudaraan antara satu sama lain. Malah mereka juga
tidak pernah malu untuk mengaku tidak tahu serta menyuruh orang ramai (مستفتون) bertanyakan
kepada pihak lawan masing-masing.
Para sahabat berikhtilaf
mengenai status pewarisan saudara kandung (أخوة أشقاء) bersama datuk
(جد). Menurut Zayd
Ibn Thabit, Ali dan Ibnu Mas’ud, ikhwah layak menerima pusaka bersama
datuk. Adapun Ibnu Abbas, Abu Bakar dan kebanyakan sahabat berpendapat
sebaliknya. Kata beliau :”Adakah Zayd tidak takut kepada Allah kerana
menyamakan kedudukan cucu (إبن الإبن) seperti anak tetapi tidak menyamakan datuk (أب الأب) seperti
bapa?”.”Aku sangat berharap dapat berhimpun bersama mereka yang menyalahi
pandanganku, sama-sama sanggup meletakkan tangan di Rukn al-Bayt untuk
bermubahalah lalu berserah kepada Allah agar menurunkan laknatnya ke atas siapa
yang berdusta”.Walaupun berikhtilaf, pada suatu hari beliau menyambut
kedatangan Zayd dengan memegang tali untanya (kenderaan) bagi memuliakan
keilmuannya. Selepas Zayd turun lalu mengucup tangan Ibnu Abbas sebagai
penghormatan kepada kerabat Nabi SAW. Apabila Zayd Ibn Thabit wafat, Ibnu Abbas
dengan penuh kesedihan mengucapkan :”Demikianlah hilangnya ilmu. Sesungguhnya
hari ini telah terkubur ilmu yang banyak” (Al-Bayhaqi dan al-Hakim dalam http://www.shehr.net/vb/f5-955.html)
Imam al-Shafi’iy mengingatkan
kemulian Imam Abu Hanifah melalu kata-katanya :”Semua manusia seumpama
budak-budak kepada Abu Hanifah dalam ilmu Fiqh” (Al-Dhahabi, t.th. 6/403).
Beliau pernah bersolat Subuh di masjid imam tersebut tanpa membaca Qunut dan
melakukan jahar semasa membaca Basmalah kerana menghormati Abu
Hanifah. Al-Qurtubi menyatakan Abu Hanifah dan para ashabnya, Shafi’iy dan
fuqaha’ lain bersolat di belakang fuqaha’ Maliki di Madinah sekalipun mereka
langsung tidak membaca Basmalah. Abu Yusuf pernah bersolat di belakang Harun
al-Rashid yang lepas berbekam di mana Imam Malik berfatwa tidak perlu berwuduk.
Abu Yusuf tidak pun mengulangi solatnya selepas itu (Al-Qurtubi t.th.).
Abdul Karim Zaydan (1993)
menyimpulkan sekiranya ikhtilaf berlaku di kalangan para sahabat, sudah tentu kesannya
lebih besar lagi kepada orang lain. Ikhtilaf para mujtahid tidak sewajarnya
dilihat memecah-belahkan agama Islam. Sebaliknya merupakan sumbangan para
fuqaha’ kepada masyarakat walaupun berlaku di sana fanatisme atau pemujaan (تقديس) terhadap
individu sehingga kata-kata mereka mengatasi al-Quran dan Sunnah. Begitu juga
terdapat ajakan sesetengah pihak menolak taklid dan menyeru kepada ijtihad
sedangkan jahil tentang ayat al-Quran. Mereka ini tergamak menjatuhkan maruah
para fuqaha’ mujtahidin atas alasan kononnya mereka menuruti al-Quran dan
Sunnah.
Bersambung Siri
5
(Diskusi ini pada asalnya merupakan kertas kerja yang penulis
bentangkan dalam Seminar Talfiq Mazhab, 22 November 2012, anjuran CITU UiTM
PPinang dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang. Sasaran penulisan
ini ialah masyarakat awam yang terkeliru dengan persoalan di atas. Justeru gaya
penulisan ini tidak terlalu akademik seperti penulisan ilmiah lain yang sarat
dengan rujukan/nota kaki/catatan bawah yang ditil).
No comments:
Post a Comment