Hidup manusia secara tabiinya, sangat dipengaruhi oleh keadaan
sekeliling dan juga lingkungan sosialnya. Ia termasuklah beberapa faktor
seperti budaya, adat, tradisi, nilai-nilai setempat yang menjadi warisan sejak
turun temurun, yang sangat mempengaruhi corak hidup mereka. Walaupun masa dan
keadaan bersilih ganti, terdapat sebahagian besar daripada nilai-nilai di atas
masih kekal dalam bentuk doktrin dan kepercayaan di samping terus menjadi
pegangan. Apabila Islam datang, ia juga memberikan perhatian khusus terhadap realiti
hidup masyarakat Arab Jahiliyyah supaya Nabi Muhammad dapat menggunakan medium terbaik
untuk menyampaikan risalah Tuhannya kepada mereka. Sejak daripada permulaan
dakwahnya, Baginda sangat arif tentang segala lingkungan sosial dan komposisi
masyarakat Qurasyh di Mekah dan kabilah Arab lain yang beraneka ragam
budayanya. Lihat saja bagaimana iklim dakwah berbeza semasa berinteraksi dengan
kabilah Arab Aus dan Khazraj daripada Madinah. Bentuk dakwah Islam di Madinah berbeza
daripada keadaan di Mekah dahulu.
Sesuatu yang menarik perhatian di sini bagaimanakah Rasulullah begitu concern
terhadap realiti tempatan masyarakat Arab Jahiliyyah semasa menggerakkan misi
dakwahnya. Secara makronya, semua strategi dan usaha dakwah Baginda untuk
menyampaikan Islam kepada masyarakat telah mempamerkan bagaimana gerakan Islam
zaman awal berjaya menyusun strateginya serta membuahkan hasil yang
memberangsangkan dalam ruang lingkup yang dilaluinya. Jika diteliti secara
mikro, strategi gerakan Islam telah melalui suatu peringkat yang berliku-liku
iaitu pada zaman Mekah sebelum mencapai kegemilangan pada zaman Madinah. Kedua-dua
zaman tersebut ternyata berbeza daripada segi :
i-
Strategi dan pendekatan
ii-
Pelaksanaan dan penguatkuasaan
Dengan meneliti faktor keadaan dan nilai-nilai tempatan di Mekah dan
Madinah pada waktu itu, terbukti ianya telah memberikan impak yang besar ke
atas aturan strategi, modus operandi, dan pendekatan serta pelaksanaan gerakan dakwah
Rasulullah.
Dengan menghalusi gerakan dakwah era Mekah, terdapat beberapa asas yang
perlu difahami dengan teliti agar dapat dibezakan nanti dengan kejayaan besar
gerakan Islam pada era madani. Secara keseluruhannya, kita dapat menggaris
bawahi beberapa asas penting tentang suasana era Mekah seperti berikut :
i- Teraju kepimpinan dan kuasa politik dipegang oleh pihak kerajaan bukan
Islam, jahiliyyah dan zalim,
ii- Manghadapi tekanan dan pelbagai sekatan yang turut melibatkan hak-hak
asasi manusia,
iii- Pergerakan Nabi Muhammad lebih berbentuk organisasi sosial yang tidak
memiliki kuasa,
iv- Terdapat beberapa peraturan dan undang-undang tempatan yang boleh
dimanfaatkan bagi tujuan keselamatan dakwah dan umat Islam.
v- Mengatur strategi untuk memperolehi kekuasaan sebagai asas untuk
melaksanakan Islam (wahyu) dalam segenap aspek kehidupan.
Dalam konteks gerakan di bawah pengaruh sistem bukan Islam yang tidak
mesra, Rasulullah sedar ia bukanlah penghalang kepada kerja-kerja Islami. Tapi
di dalam sistem tersebut terdapat kelemahan yang memberikan kredit kepada
gerakan Islam untuk bergerak menerusi ruang yang ada. Sekurang-kurangnya
terdapat 4 peluang yang berjaya diekploitasi oleh Baginda iaitu :
1) Sokongan kaum keluarga dan kabilah
(bukan Islam)
Semasa orang-orang Qurasyh memberikan tekanan kepada dakwah Islam dan
mengancam keselamatan Nabi Muhammad, Baginda mendapat sokongan padu daripada
bapa saudaranya, Abu Talib dan kabilah Bani Hashim dan Bani Muttalib yang bukan
beragama Islam. Abu Talib bersedia memberikan perlindungan kepada Nabi Muhammad
di samping kedua-dua kabilah itu juga sanggup bersusah payah menderita bersama
Baginda.
2) Setia perjanjian dan jaminan keselamatan
terhad (al-Ijar)
Baginda keluar dari Mekah menuju ke Taif bersama Zayd Bin Harithah
dengan harapan akan mendapat pembelaan daripada masyarakat di sana. Sebaliknya,
Nabi telah diusir oleh mereka dan semasa hendaklah kembali semula ke Mekah,
adalah sukar buat Baginda untuk memasukinya
berseorangan kerana pihak kerajaan Qurasyh telah mengiystiharkan Baginda
sebagai seorang pengkhianat Negara. Baginda mendapatkan perlindungan sementara
daripada Mut’im bin ‘Idiy sebagai penjamin kemasukan semula Baginda ke sana.
Dengan jaminan Mut’im, ia menghalang Abu Jahal dan konco-konconya daripada
mengapa-apakan Rasulullah kerana al-Ijar
merupakan suatu amalan yang diiktiraf oleh undang-undang.
3) Perlindungan politik (hijrah)
Pada peringkat awal dakwah, umat Islam mendapat tekanan dan penindasan
daripada orang-orang kafir Qurasyh. Sebagai ketua, Nabi Muhammad sentiasa
memikirkan cara bagaimana dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mereka.
Dengan batas kuasa yang sangat limited, Baginda menyuruh para sahabatnya
seramai 80 orang agar berhijrah ke Habshah bagi memdapatkan perlindungan
sementara daripada Raja Najasyi. Raja tersebut terkenal dengan keadilan
pemerintahannya. Oleh kerana tiada peraturan daripada pihak kerajaan Mekah yang
menghalang rakyatnya daripada memperolehi suaka politik daripada kerajaan luar,
Baginda berjaya memperolehi perlindungan sementara daripada Najasyi. Dengan
ini, umat Islam telah memperolehi keamanan dan kesenangan sekurang-kurangnya
buat sementara waktu.
4) Hak-hak asasi terhad (era jahiliyyah)
Walaupun mendapat tentangan kuat daripada pihak Abu Lahab dan Abu
Jahal, Rasulullah dan umat Islam masih dapat bersembahyang di Masjidil Haram,
membaca al-Quran di premis-premis persendirian dengan suara yang lantang,
memperkenalkan Islam kepada para pengunjung Baitullah pada musim haji yang tiba
dari seluruh pelusuk dunia. Di samping Nabi juga berusaha untuk memperolehi
sokongan dan dokongan daripada kabilah-kabilah Arab seperti Bani Hanifah, Bani
Kalb, Bani ‘Amir, Bani tha’labah dan sebagainya.
Pengajaran Kepada Gerakan Islam Hari Ini
Beralih kepada gerakerja Islam masakini, mana-mana gerakan Islam
hendaklah bersifat realistik, pragmatik dan bercirikan nilai-nilai tempatan.
Bersifat realistik dan pragmatik bermaksud gerakan Islam hendaklah memahami
keadaan sebenar yang dihadapinya, peluang-peluang yang ada, dan juga bentuk cabaran oleh gerakan sekular.
Dengan itu, gerakan Islam mampu menonjolkan kepada masyarakat bahawa perjuangan
mereka bukan retorik dan terlalu idealis. Dalam konteks Malaysia, gerakan Islam
haruslah menyedari beberapa fakta dan hakikat yang terpaksa diterima dalam
strategi mereka untuk menegakkan Islam seperti berikut :
i- bentuk dan sifat sistem politik Malaysia
ii- jumlah populasi rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum
iii-
budaya dan karekter masyarakat Islam tempatan
Sebagai signifikannya, gerakan Islam haruslah menyedari dan menerima sistem
politik yang berdasarkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,
pilihanraya sebagai cara pemilihan kerajaan, sebagai infrastruktur politik
tempatan. Gerakan Islam juga perlu mengambilkira peratusan masyarakat
Melayu-Islam dan kedudukan masyarakat bukan Islam seperti Cina, India,
Bumiputera Sabah-Sarawak sebagai kelompok penentu dalam pilihanraya,
kawasan-kawasan berpotensi untuk bertanding. Dalam memimpin orang-orang
Melayu-Islam, tentulah pendekatan revolusioner, radikal-militer tidak sesuai
diterapkan kerana adat resam dan budaya Melayu sangat bertentangan dengan watak
keras, ganas dan menderhaka.
Dalam merealisasikan sistem pemerintahan Islam dan melaksanakan segala
hukum Islam, gerakan Islam perlu menangani isu ini dengan realistik dan yang
lebih pentingnya lagi ialah mendapat sokongan masyarakat termasuk bukan Islam.
Kerana gerakan Islam sekarang berinteraksi dalam suasana dan persekitaran yang
didominasi oleh kuasa sekular. Seorang tokoh gerakan Islam terkenal di Tunisia,
Abdul Rahman Ghannoushi memberikan pandangan beliau mengenai strategi terkini gerakan
Islam dalam usaha memartabatkan Islam dalam konteks semasa. Ia adalah untuk
mengimbangi antara tuntutan pelaksanaan Islam sebagai antara objektif
perjuangannya dan juga kepercayaan umum sebagai sokongan kepada gerakan untuk
kemenangannya.
Kesan Perbezaan Pendekatan Gerakan Islam Terhadap
Masyarakat
Pertubuhan NGO Islam dan semua gerakan Islam di Malaysia seperti ABIM, Tabligh, Ikram, Isma, JATI, PAS, BERJASA dan sebaginya hendaklah sedar tentang petunjuk Rasulullah yang
menekankan secara tersirat setiap gerakan Islam yang berjuang di pelbagai
lokasi hendaklah bercirikan tempatan dan bukannya duplicated kepada gerakan Islam lain. Antara masalah yang dihadapi
oleh pendokong gerakan Islam pada hari ini ialah :
i- terikat secara rigid dengan gaya kepemimpinan dan strategi gerakan luar
tertentu seperti Ikhwan al-Muslimin (Al-Banna), Jami'ah Islamiyyah (al-Maududi)
dan sebagainya ;
ii- terikut dengan pendekatan dakwah tertentu seperti gerakan Tabligh,
tasawwuf dan tarikat ;
iii- terikut dengan pendekatan akidah tertentu seperti gerakan
al-Wahhabiyyah, salafi dsb ;
Kita melihat pada hari ini, banyak gerakan dakwah tumbuh dengan watak
dan karektor yang beragam. Walaupun kemunculan gerakan Islam boleh dianggap
sebagai suatu hasil positif dalam pemerkasaan Islam, akan tetapi di antara
gerakan itu, ada yang tidak realistik dan 'concern'
terhadap nilai-nilai setempat dan realiti masyarakat lalu meninggalkan kesan
negatif kepada banyak pihak. Contohnya, jika di kalangan pendokong gerakan yang
mengunakan pendekatan yang rigid sehingga mengenepikan fakta-fakta setempat (realiti
sosial, politik, ekonomi dan seumpamanya) dalam masyarakat mereka, seperti menuduh
gerakan tertentu tidak Islamik, memulau pilihanraya, menumpukan persoalan
aqidah dan ibadat semata-mata, menggunakan label bid'ah dan haram secara ekstrim,
mengamal sunnah Nabi secara harfiyah dan
sebagainya. Mereka hanya memburukkan lagi keadaan seperti berikut :
i- menimbulkan kekeliruan dalam kalangan awam terhadap fahaman Islam yang
manakah sepatutnya diikuti,
ii- mewujudkan perpecahan antara gerakan Islam melalui pendekatan yang
berbeza,
iii- memberikan kredit kuasa kepada gerakan sekular untuk menghancurkan
gerakan Islam yang 'sedang' berkonflik,
iv- menyukarkan berlakunya 'fleksibeliti' dalam kebijaksanaan politik gerakan
Islam sewaktu menghadapi perubahan keadaan yang perlu ditangani segera demi
kepentingan Islam, dan
v- gerakan Islam dipandang 'out of
date', expired, anti establishment, tidak realistik,
tidak memasyarakat, terlalu elitis, atau tidak konsisten.
Apa yang penting kepada semua anggota gerakan
Islam, ialah meminimumkan jurang perbezaan pendapat dalam soal pendekatan dan
strategi dakwah, politik dan pendidikan yang cuba dibawa ke dalam masyarakat.
Pada masa sama, mereka hendaklah saling mendokong antara satu dengan lain untuk
mengisi kekuatan gerakan Islam yang bergabung untuk menghadapi musuh-musuh
politik dan pemikiran Islam mereka. Perpecahan antara umat Islam seperti di
Palestin antara pejuang Fatah, Hamas, Jihad Islam dan puak-puak lain sentiasa
menguntungkan kerajaan Israel dan golongan Zionis kerana bukan mereka menjadi
punca utama sebuah negara Palestin merdeka gagal ditubuhkan. Sebaliknya
pergaduhan antara rakyat Palestin sendiri menjadi penyebabnya.
Kesimpulan Mudah
Adakah keadaan seperti yang dijelaskan di atas berlaku dalam konteks dakwah dan politik di Malaysia?... Apa yang pelik, pelbagai gerakan sekular boleh bersatu dalam perjuangan mereka tanpa memerlukan dalil dan hujah seperti mana para Islamis berhujah dengan al-Quran dan Sunnah ... mereka boleh bersatu atas satu matlamat iaitu : MENOLAK PELAKSANAAN SYARIAT ISLAM... sedangkan ngo dan gerakan Islam masih berpecah disebabkan hasil ijtihad yang berbeza-beza ... Justeru, keadaan ini sangat memualkan!!
No comments:
Post a Comment