Siri 6 : FALSAFAH ASAS ITTIBA’ AL-MAZHAB (MENGIKUT MAZHAB)


Kepengikutan mazhab merupakan suatu yang daruri dalam erti kata semua manusia akan merujuk kepada pandangan ahli ilmu dalam pelbagai persoalan terutamanya hal ehwal agama. Majoriti ulama berpandangan orang awam wajar bertaqlid dalam hukum furuk kepada para mujtahidin manakala bagi orang yang mencapai tahap mujtahid, tidak boleh bertaqlid sama sekali (Al-Hafnawi, 1995). Antara hujah yang dikemukakan, tidak wajar memaksa orang awam berijtihad sendiri kerana ia menyalahi prinsip fas`alu ahla al-zikr dalam al-Quran (Al-Nahl: 43). Masyarakat awam pada zaman sahabat dan tabi’in juga merujuk kepada para fuqaha’ mereka dan tidak pernah terbukti para sahabat dan tabiin menyuruh mereka agar berijtihad sewaktu mengemukakan persoalan (Al-Hafnawi, hlm 211).

Walaupun ijtihad pada dasarnya, suatu kegiatan penyelidikan yang mulia dan dibenarkan, bukanlah semua orang berkelayakan untuk melakukannya. Realiti ini bukan hanya berlaku dalam bidang kajian hukum. Ia juga terjadi dalam pelbagai disiplin ilmu lain. Sekiranya manusia boleh mengikut apa sahaja pandangan atau pelbagai teori sains, undang-undang, ekonomi, pendidikan dan sebagainya yang dirumuskan oleh pakar-pakar bidang berkenaan, kenapa mereka tidak boleh mengamal sikap sama terhadap bidang hukum Islam. Entah  berapa banyak pandangan saintis dan ahli undang-undang telah ditolak atau diperbetulkan semula, tetapi orang ramai termasuk sistem-sistem dalam kerajaan sendiri pun masih mengikut dan melaksanakannya sampai hari ini.

Dalam persidangan Majmak Fiqh Islam kali ke-10 yang berlangsung di Mekah pada tahun 1987, suatu resolusi merumuskan khilaf antara mazhab bukanlah suatu percanggahan dalam Islam dan membenarkan umat Islam mengikut mana-mana mazhab tanpa sekatan dalam pelbagai urusan ibadat, muamalat, kekeluargaan, kehakiman dan jenayah, yang berpandukan sumber hukum syarak. Resolusi tersebut turut menyangkal pihak yang bersikap anti mazhab dan mereka yang sering mencerca mazhab-mazhab fiqh dan para imamnya dengan menganggap perbuatan tersebut sebagai keji dan menyesatkan umat Islam (Al-Qaradhawi, 1991, hlm 81-83).

Berdasarkan huraian di atas, beberapa asas penting tentang mengenai kepengikutan mazhab dapat dirumus seperti berikut :

i.  Mazhab merupakan sebuah institusi fiqh (school of thought) yang mempermudahkan umat Islam untuk memahami syariah dengan lebih jelas dan sempurna.
ii. Bagi masyarakat awam, ittiba’ al-mazahib menyediakan ruang kemudahan untuk mengamalkan rutin hukum Islam seharian tanpa diserabuti persoalan khilaf yang komplikated.
iii. Keharusan mengikut mana-mana mazhab adalah terbuka dan tidak terikat secara rigid dengan suatu mazhab tertentu. Umat Islam boleh bertukar mazhab aka pandangan fuqaha’ kepada fatwa mazhab lain yang lebih kuat, releven dan bermanfaat.
iv.   Ikhtilaf pendapat tidak seharusnya membawa perpecahan dalam masyarakat.


KESIMPULAN

Mazhab fiqh lahir daripada proses perkembangan hukum Islam yang ditekuni oleh para fuqaha’ muktabar dalam usaha memahami tuntutan nas al-Quran dan Sunnah. Jika diperhatikan, setiap mazhab akan berpenghujung kepada pengajaran para sahabat seperti Abu Bakar, Umar, Ali, Zayd ibn Thabit, Ibn Abbas, Ibn Umar, Ibn Mas’ud, dan para ummul mukminin yang menjadi khayrannas (sebaik-baik manusia) pada zaman Rasulullah (H.R Bukhari dan Muslim). Bagi golongan awam, amalan bertaqlid dan juga bertalfiq kepada sebuah mazhab, tanpa dikhususkan kepada mazhab tertentu boleh diibaratkan sebagai suatu cara mudah untuk melaksanakan hukum Islam secara sistematik. Adapun bagi golongan ilmuan, kepelbagaian pandangan mazhab merupakan suatu khazanah fiqh yang bernilai untuk kajian tentang kaedah ijtihad dan proses penelitian hukum yang dijalankan para fuqaha’ silam. Justeru ilmuan hukum Islam masa kini haruslah mengikuti jejak yang sama iaitu menggunakan kepakaran ijtihadi untuk menyediakan solusi terbaik kepada masyarakat, bukannya menambahkan lagi jurang perpecahan antara umat Islam. Para fuqaha’ bukanlah golongan yang mendambakan publisiti murahan ataupun mencari pengaruh dengan fatwa mereka. Konflik perbezaan fatwa dan pandangan hukum antara mereka tidak sesekali memutuskan hubungan silaturrahim kerana ia bergulir dalam semangat keilmuan yang berteraskan akhlak mulia. Dalam budaya ilmu yang saling menghormati ini, masyarakat diberikan kebebasan untuk mengikut mana-mana pandangan ataupun fatwa setiap mazhab. Namun para fuqaha’ menolak sama sekali amalan taqlid dan talfiq mazhab bagi tujuan menyeleweng seperti tatabbu’ al-rukhas (mencari yang mudah) dan al-tashahhiy (sesuai dengan nafsu).

Semoga pencerahan ini dapat memberikan sedikit kefahaman kepada pembaca dan meredakan ketegangan pendapat yang berlaku di beberapa tempat antara pengikut fahaman tajdid dan pengamal mazhab Syafie yang ekstrem.  Para ulama berbeza pandangan untuk menjelaskan maksud dan kaedah terbaik melaksanakan tuntutan syariah. Semua ini memberikan ruang yang fleksibel kepada umum untuk mempastikan penghayatan Islam secara secara menyeluruh. Amat menyedihkan apabila tujuan asal ikhtilaf ini tidak ditanggapi dengan betul sehingga menyebabkan perpecahan dan pergaduhan dalam masyarakat beragama. Ulama' silam berkhilaf tetapi mereka dan jemaah mereka mengimarahkan masjid, tetapi sesetengah ulama sekarang berkhilaf, mengajak  pengikutnya meninggalkan masjid dan surau kerana terlalu banyak menganggap orang lain salah, sesat, khawarij, bid'ah dan sebagainya.

(Diskusi ini pada asalnya merupakan kertas kerja yang penulis bentangkan dalam Seminar Talfiq Mazhab, 22 November 2012, anjuran CITU UiTM PPinang dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang. Sasaran penulisan ini ialah masyarakat awam yang terkeliru dengan persoalan di atas. Justeru gaya penulisan ini tidak terlalu akademik seperti penulisan ilmiah lain yang sarat dengan rujukan/nota kaki/catatan bawah yang ditil).

No comments:

Post a Comment