Thursday, April 25, 2013

SIKAP 3 GOLONGAN TERHADAP KEFASADAN FIR'AUN

Menarik jika menelaah kisah kezaliman regim Firaun dalam al-Quran. Nabi Musa dan Nabi Harun diperintahkan oleh Allah SWT untuk menegur pelbagai kefasadan yang dilakukan Firaun di bumi Mesir. Beliau mengamalkan corak pemerintahan tirani, menghambakan Bani Israel, pembunuhan etnik Yahudi (anak2 lelaki), persundalan kaum wanita (anak2 perempuan), dan paling klimaks mengakui dirinya superior (rabbukumul a'laa) yang merasakan diri dan kerajaannya sahaja sahaja dapat menjamin keharmonian negara Mesir dan melaksanakan agenda pembangunan nasional bagi umat Qibti pada waktu itu. Maka kedua-dua utusan Allah itu diutus untuk membuat perubahan pada dasar dan polisi gila Firaun. 

Seperti kebiasaan mana-mana pemerintah yang angkuh, merasakan dirinya terlalu agung, dihormati semua lawan dan kawan, Firaun menolak mentah-mentah seruan dan tawaran Musa dan Harun. Dia mencabar bukan setakat kredibiliti Musa yang dituduhnya tidak bersyukur sama sekali kerana dahulu pernah dibesarkan di istana Firaun, diberikan pendidikan, dibentangkan pelbagai kemewahan dan disogok kekayaan tidak terhingga.. Malah Firaun mencabar Allah, Tuhan Musa dan juga Tuhannya. Dalam hati, memang Firaun mengaku ia bukanlah tuhan tetapi kerana lama dia berkuasa dan tiada siapa yang berani mencabarnya, menyebabkan dia berasa dirinya seperti tuhan. 

Firaun meminta Musa membawakan bukti kebenaran seruannya. Semua bukti ditunjukkan dan Firaun tidak mampu menghadapinya secara rasional. Apa yang berlaku?... Firaun terpaksa menggunakan segala sokongan daripada pelbagai pihak yang berautoriti dalam masyarakat. Sokongan mereka diperlukan untuk menjayakan proses pembodohan intelektual rakyat bagi menolak seruan Musa dan Harun. Firaun menggunakan 3 (TIGA) golongan berpengaruh dalam usahanya itu, sebagaimana dicatatkan dalam al-Quran :

i.     Haman mewakili pihak birokrasi dan kuasa politik
ii.    Qarun mewakili pihak korporat dan para borjouis perniagaan
iii.   Saharah yakni ahli sihir yang mewakili golongan agama dan ilmuan

Pengaruh Haman termasuk kakitangan pentadbiran dan kuasa politik diekploitasi sepenuhnya oleh Firaun untuk menekan pengaruh  Musa dan menyulitkan keadaan rakyat marhaen (Bani Israel) yang bersimpati serta menunjukkan sokongan kepada beliau. Bani Israel yang sekian laman menderita akibat dasar sosial dan tekanan politik Firaun hilang sabar, walaupun lama diperbodohkan tanpa henti tetap berjanji setia untuk berhijrah secara besar-besaran dengan Musa. Hanya Musa yang disokong oleh Allah sahaja dapat menyelamatkan mereka daripada ditindas Firaun. Al-Quran melaknat Haman kerana bersekongkol dengan Firaun menentang kebenaran dakwah Musa.

Firaun berjaya menggunakan Qarun, manusia kaya yang sedarah daging dengan Musa tetapi matanya digelapkan projek kekayaan yang dilambakkan Firaun kepadanya. Qarun menggunakan kekayaan melimpah ruahnya menyekat seruan Musa di setiap tempat yang beliau jejaki. Si laknat itu merancang sesuatu yang lebih dahsyat tidak terfikir oleh Firaun yang mana ia menjadi sunnah sayyi'ah kepada orang politik hari ini. Dia mengupah seorang pelacur yang diarah pergi ke pusat Nabi Musa mengajar lalu mengaku Musa telah berzina dengannya dan kini dia sedang mengandung. Pengakuan tersebut menyebabkan Musa sendiri terkejut dan para pengikut yang selama ini mengagumi Musa hampir hilang kepercayaan. Antara mereka ada yang mencerca Musa, menghina dan mempertikaikan keteguhan moral Musa. Utusan Allah apa ini yang mengajak kita meninggalkan kejahatan tetapi rupa-rupanya manusia bertopengkan syaitan. Beratnya ujian ini kerana Musa sendiri tidak berupaya menjawabnya lalu memohon Allah menurunkan penghakimanNya yg maha adil. Wanita itu mengaku dia diupah oleh Qarun untuk menjatuhkan Musa. Nah, strategi pembunuhan karekter melalui skandal seks sememangnya teknik berkesan untuk menjatuhkan kredibiliti seseorang pemimpin. Usaha Qarun merupakan pemula kepada kelahiran video seks dan gambar lucah untuk menyerang seseorang musuh politik Firaun. Bukan Firaun yang rancang semua itu tetapi Firaun bersetuju dengan taktik begitu.

Terakhir, Firaun menggunakan para ahli sihir untuk melawan mukjizat Musa. Mereka dijanjikan pelbagai jawatan tinggi, pelbagai gelaran kebesaran (minal muqarrabin). Namun selepas beradu kekuatan sihir dengan tongkat mukjizat Musa, mereka tersedar bahawa ini bukan lagi tahap keupayaan ilmu sihir manusia. Tidak mungkin Musa berguru dengan ahli sihir negara asing sehingga menjadi begitu hebat. Hanya mereka sahaja pada waktu itu yang menguasai ilmu sihir peringkat tertinggi. Mesir merupakan pusat pengajian sihir terhebat waktu itu. Orang lain menjadi ahli sihir kerana berguru dengan mereka. Siapa yang mengajar Musa??. Ini bukan lagi sihir.Ini suatu yang lebih hebat daripada sihir. Apa yang berlaku selepas itu? ... Berbeza dengan Haman dan Qarun yang tidak berprinsip, para ahli sihir Firaun terpaksa mengakui kebenaran dakwaan Musa. Tewas di tangan mukjizat, mereka semua sujud menyembah bumi lalu mengaku beriman kepada Allah dan ajaran Musa. Kenapa mereka berpaling sedangkan mereka boleh berbohong dan mencipta seribu alasan untuk menolak mukjizat Musa demi mendapat dokongan Fir'aun?... Ini kerana ahli ilmu (baca ahli sihir pada waktu itu) merupakan golongan yang berpegang kepada prinsip kebenaran, Kerana prinsip ilmu, walaupun ilmu mereka itu sihir, mereka bersatu dengan Musa. Ini menunjukkan kebenaran ajaran Nabi Allah Musa berjaya mendapat 1/3 sokongan masyarakat Mesir yang diwakili oleh ahli sihir. Begitulah sunnah Ilahi, kebenaran hanya akan disokong oleh mereka yang berprinsip sahaja. Mereka yang berprinsip akan sanggup menghadapi ujian dan penderitaan kerana itulah harga untuk mendapat syurga di sisi Allah. Itulah yang dihadapi ahli sihir Firaun yang mati dibunuh secara kejam kerana menyokong dakwah Musa!!!! Watak ahli sihir Firaun ini tidak akan terpadam dalam siri penentangan terhadap kefasadan pemerintah dulu..kini...dan selama-lamanya..Amin!!

Justeru itu, jika ada mana-mana ahli ilmu, ulama' dan para cendikiawan yang masih mendokongi dasar dan polisi kejahatan kerana takutkan pemerintah, hendakkan pangkat, gelaran, dan sebagainya sudah tentu LEBIH TERUK daripada ahli sihir pada zaman Firaun dahulu.

Sekian bacaan kali ini .....

Sunday, April 21, 2013

SIRI 3 : MASALAH MENGUNDI CALON BUKAN ISLAM DALAM PRU


Pendapat Yang Rājih

Pada padangan penulis pendapat golongan pertama lebih releven untuk dipraktikkan di Malaysia berbanding dengan pendapat kedua kerana beberapa faktor seperti berikut;

Pertama
Huraian nas-nas Al-Quran dan Sunnah membezakan Antara Kafir Dhimmī dan Harbī

Syariat Islam  membahagikan orang bukan Islam  kepada dua kategori iaitu kafir harbī dan dhimmī. Jika kafir harbī yang dimaksudkan di dalam beberapa nas yang dihujahkan oleh pendapat kedua, maka ia bukanlah suatu hujah yang kukuh kerana ijmak ulama telah mengharamkan sebarang perhubungan politik dengan orang-orang yang memusuhi Islam. Jika mereka ini dilantik juga menjadi pemimpin sudah tentu perlantikan tersebut menyalahi ijmak ulama. Namun di sebalik itu, jika nas-nas di atas mengharamkan penglibatan golongan dhimmī secara mutlak, andaian ini dengan sendirinya telah dinafikan oleh beberapa nas lain yang menggambarkan keadaan sebaliknya berdasarkan sebab penurunan ayat (asbāb al-nuzūl).

Catatan :Sebab turunnya ayat 38 surah Al Imrān seperti yang dinyatakan oleh al-Tabarī, mengisahkan tentang hubungan yang terjalin antara umat Islam dengan kaum Yahudi telah melebihi batasan yang sewajarnya sehingga orang Yahudi mengambil kesempatan untuk menaburkan fitnah di dalam masyarakat Islam sendiri.

Pada pandangan penulis, asas sebenar larangan tersebut ialah wujudnya permusuhan (al-cAdāwah) terhadap umat Islam.Sikap ini membentuk suatu imej kepada orang bukan Islam yang menyebabkan sifat amanah dan kejujuran yang boleh dipercayai ada pada mereka, dengan sendirinya hilang.Apabila kepercayaan kepada mereka sudah tiada, keadaan ini menimbulkan keraguan yang boleh menjejaskan kedudukan mereka sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dalam negara Islam.

Catatan :Al-Quran melarang umat Islam melakukan tahaluf dengan golongan yang menentang Islam secara jelas. Selain merugikan agama Islam, tindakan ini menyalahi tuntutan Islam supaya memerangi golongan yang memusuhi Islam.Kesimpulannya, ayat-ayat ini ingin menggariskan suatu prinsip dalam undang-undang perhubungan antarabangsa Islam.Perlu diingatkan bahawa hanya kafir harbi sahaja bermusuh dengan umat Islam bukannya kafir dhimmī.Dalam negara Islam, kafir dhimmī adalah sebahagian daripada rakyat negara Islam. Beberapa ayat Al-Quran seperti ayat 141 surah al-Nisā’, ayat 1 dan 9 surah al-Mumtahanah, ayat 118 surah Al Imrān, dan ayat 37 surah al-Mujādilah telah menggariskan beberapa sifat orang kafir yang menjadi ciri-ciri kepada larangan melantik mereka sebagai pemimpin. Melantik golongan harbi yang bermusuhan dengan umat Islam bertentangan dengan objektif syariat Islam. Jika diperhatikan kepada kafir dhimmī , mereka berbeza daripada kafir harbi. Justeru itu golongan ini dikecualikan dari konteks larangan tersebut.Maka bolehlah difahami daripada nas-nas tersebut, bahawa walīy atau kuasa wilāyah yang difokuskan ialah wilāyah nusrah iaitu mengadakan ikatan dengan golongan anti Islam (harbī) di luar masyarakat Islam.

Al-Quran sendiri menegaskan tidak semua orang bukan Islam sentiasa memusuhi Islam. Malah di kalangan mereka ada yang mempunyai sifat amanah dan boleh dipercayai oleh umat Islam. Misalnya Firman Allah dalam ayat 75 surah Al cImran yang berbunyi ;

ومن أهل الكتاب من ان تأمنه بقنطار يؤده اليك و منهم من ان تأمنه بدينار لا يؤده اليك الا ما دمت عليه قائما

Bermaksud,“Dan di antara Ahli Kitab ada orang yang jika kamu amanahkan kepadanya harta yang banyak, akan dikembalikan kepadamu; dan ada di antara mereka orang yang jika kamu amanahkan kepadanya satu dinar, tidak akan dikembalikannya kepadamu kecuali kamu selalu menagihnya …”

Jika diperhatikan, terdapat ikatan saling kait mengait antara keseluruhan ayat yang menyentuh tema perhubungan dengan orang bukan Islam.Terdapat juga ayat-ayat yang menditilkan lagi konsep jalinan itu seperti perlunya pihak kerajaan berlaku adil, bersikap toleransi dalam memberikan layan kepada semua rakyat, dan mengambil kira tentang kejujuran dan nilai-nilai baik yang dimiliki oleh mereka.

Aspek ini ingin menyimpulkan bahawa Allah menghendaki seluruh pemimpin umat Islam berwaspada dalam berhubung dengan golongan bukan Islam supaya umat Islam sentiasa di dalam keadaan yang terjamin dan selamat daripada ansir-anasir yang mengancam mereka.

Kedua
Tindakan Rasulullah s.a.w. Mempunyai Kaitan Dengan Maslahah Umat Islam

Sungguh pun terdapat beberapa hadith yang memberikan dua bentuk amalan yang bercanggah daripada Rasulullah s.a.w. namun percanggahan tersebut bukanlah berlaku secara hakiki jika kedua-duanya disesuaikan ke dalam posisi masing-masing mengikut situasi dan keperluan sewaktu itu.Di dalam menemukan perselisihan antara kehendak hadith-hadith itu, pemakaian maslahah merupakan asas yang kuat dalam mentafsirkan tindakan Rasulullah s.a.w. yang pernah menerima atau menolak khidmat orang bukan Islam.

Bagi mempastikan sebarang bantuan itu merupakan suatu maslahah kepada kerajaan, sebahagian fuqaha seperti Al-Ramlī (1984) dan al-Shīrāzī (1995) telah menggariskan beberapa syarat kepada khalifah untuk membuat keputusan berhubung dengan keadaan ini. Pertama, Ia hendaklah menjadi maslahah yang sangat diperlukan oleh kerajaan. Keduanya, sikap positif yang ditunjukkan oleh mereka dan yang ketiga, dapat dijamin bahawa penyertaan mereka tidak mengancam kekuatan pasukan Islam. Ibn Qudāmah juga meletakkan syarat yang sama malah khalifah juga boleh memberikan ganjaran kepada dhimmi yang berperang dengan peruntukan 1/5 daripada khumus rampasan perang. Kesimpulannya menurut pendapat ini, tawaran bantuan tidak diterima jika kerajaan tidak memerlukannya ataupun penyertaan itu boleh menyebabkan kelemahan pada kekuatan kerajaan Islam.

Berdasarkan kemaslahatan juga kita melihat Rasulullah s.a.w. menolak tawaran orang kafir kerana Baginda s.a.w. berpendapat tawaran tersebut bukan suatu maslahah bagi tentera Islam sedangkan dalam beberapa hadith lain yang meriwayatkan Baginda s.a.w. pernah memohon bantuan daripada Yahudi sewaktu perang Khaibar sehingga turut menerima saham ghanimah dan Safwān bin Umayyah juga keluar berperang dengan Baginda s.a.w. sewaktu perang tersebut. Ini bermakna tindakan Baginda s.a.w. merujuk kepada kepentingan yang wujud sewaktu itu.

Ketiga
Analisis Terhadap Pengertian Awliya’

Awliya’ ialah kata jamak bagi perkataan walīy yang membawa kepada makna wilāyah dan beberapa pengertian yang lain. Al-Bāqilānī menyebut terdapat lima belas makna bagi perkataan al-Wilāyah. Namun penulis melihat adalah memadai kita mengikut Imam al-Rāzī (t.th) memberikan tiga bentuk tafsiran al-wilayah;

i-        Bermaksud meredai kekufuran mereka dan menerimanya sebagai asas perlantikan mereka. Tindakan ini jelas ditegah oleh syarak.
ii-        Bermaksud mewujudkan hubungan atau komunikasi yang baik secara zahir sahaja. Amalan ini dibenarkan oleh Syarak.
iii-            Bermaksud cenderung ke arah mereka untuk meminta bantuan dan menjadikannya sebagai pemangkin kemenangan samada ianya terbina atas ikatan kekeluargaan ataupun kasih sayang.Pada masa sama, kita tetap beriktikad agama mereka itu salah. Pendekatan ini tidaklah menjadikan seseorang itu murtad daripada Islam tetapi dilarang kerana faktor muwālah dalam pengertian ini menjadikan kita bagaikan menyokong cara mereka dan meredai agama mereka.

Sementara itu Rashīd Ridā membahagikan kepada dua jenis wilayah iaitu wilāyah yang bertujuan mencapai kemenangan (nusrah) dan wilāyah kasih sayang (mawaddah). Wilayah yang dilarang oleh al-Quran ialah yang pertama di mana mereka yang terlibat tergamak meminggirkan kepentingan umat Islam sama sekali demi mencapai tujuan jahat musuh-musuh Islam (jil. III, hlm. 278).

Kesimpulannya jelas sekali bahawa perlantikan kafir dhimmi sebagai Wazīr al-Tanfīz tidak memenuhi ciri-ciri yang dilarang oleh ulamak. Bahkan apabila semua kepentingan umat Islam terjamin dan maslahah Islam dipelihara dengan baik maka sudah tentu perlantikan tersebut dibolehkan.

Keempat
Hakikat Kuasa dan Bidang Tugas Wazīr al-Tanfīz

Penulis mendapati perbezaan hukum lantik orang bukan Islam ini didorong oleh perbezaan faham tentang konsep wazīr al-Tanfīz.Golongan pertama berpendapat wazīr al-Tanfīz tidak memiliki kuasa Wilāyah cAmmah seperti khalifah dan Wazīr al-Tafwīd.Hal ini merujuk pada bidang tugasnya yang hanya mengikut ijtihad dan arahan khalifah seperti mewartakan perintah.Wazīr ini tidak mempunyai kuasa bertindak (sultah mustaqillah) sebab perlantikannya tidak berlaku secara rasmi (al-niyābah).  Imam al-Mawardi juga telah menggariskan empat perbezaan asas (sila rujuk siri 1) antara Wazīr al-Tanfīz dan Wazīr al-Tafwīd bagi menyatakan tidak akan ada kemungkinan bagi orang bukan Islam peluang untuk menguasai umat Islam jika sekiranya mereka dilantik.

Sementara itu golongan kedua menganggap bidang tugas dan jawatan wazīr ini sebagai satu bentuk wilāyah yang menyamai kedudukan Wilāyah cAmmah.Penulis melihat variasi kefahaman ulamak aliran kedua ini banyak dipengaruhi oleh tafsiran nas secara literal dan hanya tertumpu pada zahir kenyataan hadith yang melarang memohon bantuan orang bukan Islam.

Oleh itu pada pandangan penulis, kefahaman golongan pertama telah disalahertikan oleh golongan kedua kerana mereka (pendapat kedua) menganggap Wazīr al-Tanfīz adalah jawatan yang bersifat Wilāyah cAmmah seperti khilāfah, imāmah sedangkan di dalam jawatan-jawatan tersebut para ulamak telah berijmak orang bukan Islam tidak boleh menjawat post-post tersebut.

Dua persoalan yang ingin saya ajukan kepada pihak tertentu yang masih melarang umat Islam mengundi calon bukan Islam ialah :

i.   Adakah calon bukan Islam daripada parti DAP itu kafir harbi? Apa kriteria yang mengharbikan mereka berbanding kafir dalam MCA, Gerakan, MIC dll? Adakah penglibatan mereka dalam PRU ini sama seperti memerangi umat Islam dalam perang bersenjata?

ii.  Adakah mereka menyertai PRU sebagai calon bebas seperti ISMA@Berjasa atau mereka berkerjasama dengan parti umat Islam lain untuk menegakkan sebuah kerajaan yang baik dan adil?

Jawapan : Tepuk dada tanyalah suara hati ....

Pasca Penamaan Calon PRU13 : Kita, Rakyat Adalah TUAN

Selepas proses penamaan calon semalam (20 April 2013, Sabtu) selesai menyaksikan semua parti samada BN, Pakatan Rakyat dan juga bebas berjaya meletakkan calon masing-masing. 

Penyertaan ramai calon bebas kali ini disifatkan sebagai peristiwa bersejarah dlm pru yg pernah diadakan sebelum ini. Apa yang dikatakan oleh pihak BN atau PR berkenaan bekas ahli mereka yg mencabar calon parti dlm pru nanti, bukanlah suatu kesalahan dlm sistem demokrasi. Selagi demokrasi benarkan, selagi itu sesiapa pun boleh bertanding sebagai calon. Islam pun tak pernah larang sesiapa nak bertanding untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Hukumnya adalah harus. Cuma dlm konteks kepartian, memang tindakan seperti ini merencatkan strategi untuk mencatatkan undi yg banyak drpd rakyat. Masing2 takut berlaku apa yg dikatakan cubaan pecah undi. Namun pada hakikatnya, sebelum 5 Mei nanti, sesiapa pun tidak boleh mendakwa mereka sahaja yg layak mewakili rakyat. Layak mewakili tidak sama dengan keputusan 'layak dipilih' secara rasmi. Tunggu la siapa yg menang. 

Kepada semua calon, selamat berkempen dengan baik..tunjukkan prestasi perkhidmatan atau rekod anda sebelum ini untuk kami nilai  adakah anda dan parti anda patut kami pilih. Cukup2 lah video lucah, berita palsu, penipuan, sogokan duit, kain pelikat, tudung, telekung dll untuk pengaruhi kami...

Kami, rakyat Malaysia sudah cerdik, sudah muak dengan kerja2 pembodohan intelektual yg dipaparkan dimedia2 cetak elektronik perdana mahupun sesetengah media alternatif yg memaparkan kebaikan sendiri dan memperburukkan calon parti lawan. 

Sebagai rakyat, kami sememangnya yg berkuasa. Cuma biasanya selepas saja pru, kami dilupakan, kuasa kami dicuri menjadi hak milik wakil2 rakyat di parlimen dan dun. Mereka buat macam2, mereka angkuh, mereka lupa yg mereka sebenarnya wakil kami... kini sekarang, mereka kembali merayu kepada kita untuk memilih mereka semula. Mereka sedar sebenarnya dalam masa 14 hari ini kita sebagai rakyat yg berkuasa. Namun yg paling memualkan saya ialah ramai lagi dlm kalangan kita sebagai rakyat, masih terlupa yg kita adalah tuan punya kuasa. Ramai lagi yg tidak gheti (dialek Kedah) nak gunakan kuasa mereka untuk pilih 2 jenis kerajaan iaitu kerajaan di peringkat federal dan satu lagi di peringkat negeri. Mereka masih ingat dua kerajaan itu perkara yang sama. Kalaulah mereka tahu, satu undi untuk satu kerajaan dan tahu pula macamana nak mengatur  penubuhan kerajaan...mereka akan terasa nikmat berpilihanraya...di sebalik itu, juak2 yg menang pru pun akan takut kepada rakyat sampai bila2...

Saya cuma mengandaikan, rakyat boleh pilih untuk mencipta kelainan (andaian saja, jangan ambil serius) dengan memberikan kuasa menubuhkan kerajaan seperti berikut :

1.   Semua kerajaan negeri diberikan kepada PR manakala kerajaan persekutuan pula BN..

2.    Semua kerajaan negeri kepada BN manakala kerajaan persekutuan kepada PR

3.    Semua kerajaan persekutuan dan negeri kepada BN

4.   Semua kerajaan kepada PR

5.    Lain2 citarasa ..

Walaupun begitu, kelainan memilih daripada kebiasaan yg dibuat, saya percaya rakyat Malaysia masih tidak bersedia melakukannya. Level pemikiran pemilih kita belum setaraf rakyat Jepun, AS dan negara maju yg sudah biasa memilih atau bertukar2 kerajaan pada setiap kali pilihanraya. Malah dalam sistem demokrasi hari ini, rakyat negara maju akan pelik melihat rakyat negara lain masih mengekalkan kerajaan yg sedia ada bagi satu tempoh yg sangat panjang. Memang tidak salah sekali sekali kita mengubah citarasa. Malah saya berfikir, sebelum ini pelbagai tuduhan dilemparkan kepada beberapa kerajaan negeri yg berbeza aliran politik drpd kerajaan pusat. Antaranya lemah pentadbiran, pendapatan kerajaan menurun, rakyat semakin susah dll. Semua itu memberikan gambaran yg lebih jelas kepada rakyat untuk memilih atau menukar kerajaan negeri tersebut. Kerana sudah ada bukti, adakah benar kerajaan negeri tertentu lemah ataupun sebaliknya. Akan tetapi untuk menghukum tidak layak diperingkat pusat, rakyat tidak sepatutnya terpengaruh dengan dakyah pembodohan intelektual yg sedang dijalankan. Sepatutnya rakyat memberi peluang kepada gabungan parti tertentu mentadbir kerajaan pusat dan setelah habis mandat, maka serahkan semula kepada rakyat untuk menilai. Penilaian hanya boleh dibuat apabila ada dua sampel kerajaan yang pernah berkhidmat. Jika hanya satu sahaja yg ada, bagaimana kita hendak menilai mana yg lebih baik.

Seperkara lagi, pertukaran kerajaan dlm mana2 negara demokratik, bukan menjadi kiamat kepada bangsa atau rakyat negara tersebut. Malah akan menjadi lebih maju dan dahsyat. Hatta, di Israel pun bertukar kerajaan tapi Yahudi di sana tetap jahat sokmo dan dasar negara tersebut masih tidak berubah. Malahan negara regim Zionis termasuk dlm kategori negara maju (ranking 22 lagi) walhal bukanlah sebuah negara bersumberkan petroleum seperti jiran2 sekelilingnya, negara Arab yg kaya minyak tapi masih mundur. Analogi pertukaran kerajaan ini ibarat selepas makan pelbagai masakan orang lain, baru kita tahu apa yg kurang atau terlebihndalam makanan kita. Jika tidak, kita cuma berasa syok sendiri dengan makanan kita. Dahulu sebelum berkahwin, masakan mak kita paling sedap. Selepas berkahwin, masakan isteri pula kita makan walaupun sekali sekala menikmati masakan ibu apabila pulang ke kampung. Kedua dua masakan ibu dan isteri sama2 sedap dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Orang yg tidak berkahwin, tidak merasai nikmat perbezaan masakan orang perempuan. Ia sama seperti pengundi yang takut mencuba kelainan. Cuma satu sahaja nak pesan, kena la pandai pilih isteri yg pandai memasak dan kalau dia tak pandai memasak, kena suruh dia belajar memasak. Kalau tidak....Jahannam hidup..

Kembali kepada perbincangan, seperti yg saya tegaskan sebelum ini, proses pembodohan intelektual pasca penamaan calon terlalu kuat sehingga rakyat di kebanyakan negara membangun apatah lagi negara mundur, membuat indoktrinisasi ke dalam otak rakyat bahawa pertukaran kerajaan akan menghancurkan negara. Tetapi rakyat semakin cerdik apabila menyedari, kerajaan tidak pernah ditukar. Yg ditukar hanyalah parti sahaja. Penukaran kerajaan hanya berlaku melalui revolusi dan rampasan kuasa yg mengubah sesebuah negara beraja menjadi republik. Setakat ini tidak pernah berlaku semua itu sejak merdeka dulu..Hairan jugak kalau ianya berlaku...lagi hairan apabila ada orang boleh terfikir ia akan berlaku selepas pru nanti..

Kini, kita sebagai pengundi mengharapkan agar semua calon PRU13 nanti agar berkempen elok2 dengan cara yg berhemah. Tunjukkan kehebatan dan ketrampilan andadengan diri anda sendiri, bukan anda jadi hebat dengan mendedahkan keburukan orang lain melalui video seks, fitnah palsu dan lain2 hebahan yg cuba memperbodohkan minda kami semua. 

Ketahuilah, KAMI SUDAH CERDIK DAN TIDAK AKAN DIPERBODOHKAN OLEH SESIAPA....BIARKAN KAMI MEMILIH SIAPA CALON KAMI!!!

Saturday, April 20, 2013

Aplikasi Ijtihad Mestilah Meraikan Nilai-nilai Setempat

Saya perhatikan dalam pelbagai wacana ilmiah terutamanya melibatkan isu fiqh dan politik di Malaysia semakin berkualiti terutama metod penghujahannya. Mungkin disebabkan tahap intelektual masyarakat makin meningkat di mana setiap pandangan tidak akan diterima melainkan dengan hujah yg bernas.mungkin juga kerana ramai sudah para lepasan pengajian islam yang berkelulusan master berbanding zaman 80an..Para asatizah ini khususnya dlm bidang syariah, telah didedahkan kaedah penyelidikan dan metod analisis hukum secara kritis, berjaya mengalami anjakan paradigma dlm wacana hukum Islam. Mungkin juga disebabkan kesan metod penyelidikan bidang sains yg mementingkan logik, rasional dan saintifik (boleh dibuktikan) mendorong golongan profesional ini mahukan mekanisme yg sama dilakukan oleh para ilmuan syariah. Secara umumnya, perkembangan ini suatu yg positif.

Apa yg saya perhatikan, dlm kita menghujah beberapa nas al-Quran dan sunnah, dan mengaplikasikan suatu rumusan hukum, selalunya kebanyakan kita akan mengabaikan nilai, uruf yg baik, kondisi sosial, ekonomi dan politik setempat yg menjadi culture masyarakat Malaysia. Contohnya, konsep masyarakat majmuk, demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, kerajaan negeri, kerajaan pusat, pengasingan kuasa, adanya pentadbiran undang2 Islam di bawah negeri, majoriti industri perniagaan dikuasai kaum bukan melayu, dsb. Semua itu perlu diambilkira untuk merumus sesuatu keputusan ijtihad.

Apa yang berlaku, sesetengah ilmuan seperti team ulamak muda UMNO, lebih suka menggunakan fatwa dan pandangan hukum drpd Arab Saudi yg nature politik dan fiqhnya teramat berbeza drpd keadaan di Malaysia. Dlm keadaan, dunia politik sudah menerima kritikan secara terbuka, protes dan demonstrasi aman terhadap beberapa dasar kerajaan sebagai satu medium politik yg sah, tiba2 mereka mengharamkan cara tersebut kononnya bertentangan dgn Islam...tidak boleh kritik pemimpin secara terbukan, hanya boleh berbisik-bisik sahaja. Ini menyebabkan masyarakat demokratik melihat fatwa atas label Islam sebegini suatu yg memualkan, mundur dan memperbodohkan nilai2 demokrasi. Ini satu contoh drpd banyak contoh ijtihad politik pada hari ini.

Kita seharusnya mengkaji kenapa Madrasah al-Hadith di tanah hijaz dan Madrasah al-ra'y di kufah muncul pada zaman tabiin. Perbezaan paling nyata ialah bentuk metodologi kedua dua aliran tersebut berbeza disebabkan perbezaan culture di kedua dua tempat. Begitu juga kita di Malaysia, amat tidak adil apabila sesetangah sarjana kita memaksa masyarakat Islam di sini mengikut ijtihad hukum yg dibina berasaskan nilai dan budaya orang Islam Timur Tengah. Makan, minum, pakaian, cara hidup mereka dahulu dan kini berbeza drpd kita. Saya mendapati Ibnu Taymiyyah memberikan komentar yg tepat dlm Majmuk Fatawanya dlm bab hukum makanan. Ujar tokoh itu, hukum asal banyak sumber makanan adalah harus dan makanan yang dipandang jijik oleh orang Arab tidak semestinya haram untuk bangsa lain yg mungkin menganggapnya baik. Ia merupakan respon terhadap persepsi fuqahak mazhab Syafie khususnya yang menghukumkan beberapa kategori haiwan dan sumber makanan sebagai makruh dan haram disebabkan orang Arab dahulu memandangnya jijik. Kenyataan ini memang disebut oleh imam Syafie dalam kitab al-Umm (bab al-at'imah, jilid 3). Ini satu contoh pentingnya pengambilkiraan nilai dan budaya dlm fatwa. Mungkin budaya Arab dahulu diterima disebabkan teladan baik dlm budaya mereka ataupun disebabkan budaya Arab waktu itu sangat superior dan dihormati seluruh dunia. Namun apabila orang2 Arab sendiri sudah tidak memberikan contoh yg baik, tidak memberikan impak lagi kepada dunia seperti zaman Ibnu Taymiyyah kerana khilafah Islam Arab lemah, sudah tentulah budaya baik dlm masyarakat Islam bukan Arab pun boleh diterima. Pada zaman beliau, yg menaikkan semula maruah Islam ialah kerajaan Islam bukan Arab seperti kerajaan Ayyubiyyin, Mamluk dll.

Pandangan saya ini bukan bermakna merendah2kan fatwa alim ulamak kita dlm muzakarah fatwa, majlis fatwa kebangsaan, fatwa negeri dll. Mereka adalah guru2 yg saya hormati. Cuma saya ingin katakan rumusan hasil ijtihad kita akan lebih tepat jika diambilkira faktor keadaan semasa di malaysia. Walaupun al-Qaradhawi, Ahmad al-Tayyib, al-Shanqitiy, Soleh Fawzan, al-Zuhailiy, al-Uthaymeen, Solah al-Sawiy dll merupakan figura Islam tersohor yg menjadi rujukan umat Islam, kita tetap berhak  berijtihad memberikan suatu fatwa fiqhiy atau amalan siyasiy yg sesuai dgn keadaan domestik kita. Asalkan rumusan kita bersumberkan masadir al-ahkam muktabar.

Para sarjana dan ilmuan Islam junior, wacana ilmiah anda akan lebih bermanfaat untuk ummah jika memahami realiti (makrifatul waaqik) dan keadaan diri manusia  (fiqh al-nafs) sekeliling anda. Jika tidak, banyak lagi perkara yg anda perlu pelajari sebelum berwacana....

Friday, April 19, 2013

Teknologi 'Kuffar' Dimanfaatkan Untuk Kemenangan Orang Islam

Apabila saya merenung kembali zaman pra pru13 dahulu, betapa media maklumat sangat terhad. Para pengundi seluruh Malaysia hanya bergantung kepada sumber info konvensional yg memang tidak neutral sama sekali. Serangan tektikal parti pemerintah terhadap calon parti lawan pada saat akhir cukup berjaya mempengaruhi pengundi seperti isu Tengku Razaliegh pakai tengkolok salib pada pru 1990. Akibat paparan media, seluruh jentera Angkatan Perpaduan Ummah pada waktu itu lumpuh. Hanya Kelantan berjaya ditawan. 

Namun keadaan pada hari ini menyaksikan sumber maklumat alternatif muncul memberikan info daripada perspektif berbeza. Itulah manfaat terbesar teknologi maklumat yg dibangunkan oleh dunia Barat bukan Islam samada bagi tujuan perniagaan, penjajahan, atau permusuhan terhadap tamadun Islam (seperti asumsi Sameul Huttington). Akan tetapi, ia ternyata bermanfaat untuk penyaluran maklumat tentang Islam dan boleh menjadi medium dakwah dan politik Islam. Hasilnya, para pengundi era pru13 ini boleh akses kepada maklumat yg lebih tepat dan cepat daripada sumbernya secara langsung bukan lagi drpd sumber meragukan. Inilah yg dituntut oleh Islam, agar umatnya mendapatkan berita drpd sumber yg siqah atau dipercayai. Bukan drpd sumber yg fasik dan korup kerana hanya memaparkan fitnah, penipuan dan pendedahan aib pihak lawan.

Saya teringat sebuah hadith yg menceritakan seorang musyrik bernama Qazman yg membantu tentera Islam dlm sebuah peperangan di mana dia sendiri berjaya membunuh pemimpin Bani Abdil Dar, pihak yg memegang panji tentera musuh. Nabi Muhammad saw bersabda Innallaha layu'zira haazad din bir rajulil fajir (sesungguhnya Allah memperkuatkan agama ini dgn seorang lelaki yg fajir yakni bukan Islam ). Selain itu, banyak lagi hadith2 yg menceritakan Islam menerima bantuan dan manfaat drpd org bukan Islam. 

Maka sebab itu, bukan semua yg datang bari Barat itu tidak bermanfaat langsung untuk kebangkitan Islam. Contohnya demokrasi, walaupun bukanlah sistem Islam pada falsafahnya tetapi kerangka demokrasi menyediakan peluang kepada Islam untuk berkuasa. Banyak lagi sistem2 dan produk bukan Islam yg bermanfaat untuk kelestarian Islam walaupun ia juga pada kebanyakkan keadaan digunakan untuk menyusahkan umat Islam dan juga orang lain. 

Pru13 kali ini mencatatkan sejarah yang akan diingati oleh generasi akan datang disebabkan :

1.   Banyak video lucah dihasilkan untuk bahan kempen untuk menjatuhkan pihak lawan.

2.     Calon DAP berkemungkinan akan menggunakan logo PAS dan PKR disebabkan pendaftaran parti tersebut dipertikaikan oleh ROS atas masalah teknikal.

3.      Ramai pemimpin yg tidak dicalonkan semula, tidak berpuas hati sehingga mengambil keputusan bertanding calon bebas dan menentang calon parti sendiri.

4.          Pengundi akan memperhatikan kualiti calon, siapakah yg lebih beramanah dan berintegriti. Mereka akan jumpa ada calon Islam yg berwibawa dan ada juga calon bukan Islam yg berintegriti. Pada masa sama, ramai juga calon Islam yg terpalit masalah rasuah, korup, haprak dll.

5.     Pengundi juga terus dikelirukan dgn status calon bukan Islam, adakah boleh mengundi mereka. Ada aliran ilmuan tertentu yg mengharamkan beri undi kepada calon 'kafir' dan calon parti yg berkerjasama dgn 'kafir' itu...tidak kurang pula yg berusaha menyelamatkan undi Melayu Islam dgn mengenengahkan calon2 kononnya 'Berwibawa' di beberapa kawasan parlimen dan dun. 

6.     Kedua2 belah pihak BN dan PR berjaya mengurangkan jumlah calon dalam pertandingan satu lawan satu. Cara ini dapat mengurangkan kerja SPR untuk mengira undi banyak calon dalam satu2 kawasan pilihanraya. Maka tiada sebab lagi SPR lambat umum keputusan nanti.

Saya juga turut melihat demokrasi yg kita amalkan di Malaysia ini membuka ruang kepada rakyat untuk memilih kerajaan pilihan mereka dalam tempoh satu2 penggal. Ini menandakan sesebuah kerajaan tidak akan berakhir kerana yg akan kalah atau menang hanyalah parti2 politik sahaja. Kerajaan tetap ada apabila parti tertentu menang.

Sebelum melabuhkan tirai, saya suka membawa pandangan beberapa orang kawan yang tegar kemelayuannya. Kata mereka, lebih baik kita biarkan orang Islam berkuasa walaupun terdapat salah laku kerana kekurangan itu boleh diperbaiki. Ia lebih baik daripada kehilangan kuasa kepada orang bukan Islam....

Pada dasarnya saya bersetuju dgn pandangan tersebut..tetapi saya fikir balik adakah ini  yang disuruh dalam Islam, kita wajib membiarkan ahli politik yg korup berkuasa kerana yg penting dia Islam...walaupun dia ahli maksiat.? Saya mencari rasional kenapa saya tidak boleh menerima pandangan tersebut walaupun saya bersetuju ada sikit logiknya. Ada beberapa alasan :

a.    Saya lihat majoriti kerusi parlimen dan dun yg bertanding dalam pru13 kali ini ialah orang Islam samada daripada umno, pas atau pkr. Pada saya, semua calon Islam tidak kira sapa yg menang, sudah tentu akan ada favour kepada orang seIslam dengannya. Malah ikatan keIslaman lebih kuat drpd ikatan bangsa apatah lagi terdapat calon yg bertanding kali ini bukan berbangsa Melayu tetapi beragama Islam. Ada mamak, cina muslim, india muslim, jawa dll. Perjuangan berasaskan Islam dapat mengurangkan risiko ketaksuban kaum di samping peratusan undi org Islam mencapai 65% berbanding undi solid melayu sekitar 56% (berdasarkan peratusan penduduk malaysia drpd kaum melayu). Kedudukan Islam dlm perlembagaan konfem akan menjadi lebih kukuh malah jauh drpd dapat dipinda dengan sokongan org Islam drpd kaum2 lain.

b.  Tujuan utama kedatangan Islam ialah untuk menjaga kemaslahatan manusia atau mempastikan 5 perkara daruriyyat itu terpelihara. Maka sebab itu, keadilan, kesaksamaan, amar makruf nahi mungkar, kebebasan, pelaksanaan hudud, qisas dan   ketetapan syariat lain merupakan perkara fundamental dlm agama dan politik. Tidak cukup pemimpin kena Islam sahaja..mereka perlu adil...sistem kena saksama kerana efek polisi dan dasar2 kerajaan itu melibatkan semua rakyat, Islam dan bukan Islam. Adapun manfaat Islam itu hanya berguna kepada diri org itu sendiri. Sebab itu Shaykhul Islam Ibnu Taymiyyah memberikan satu pandangan tepat KERAJAAN KAFIR YG ADIL LEBIH BAIK DARIPADA KERAJAAN ISLAM YG ZALIM. Memang ada kewajarannya kata2 tokoh ini berbanding dgn pendekatan kebanyakan ulamak yg mempertahankan status qou politik pemerintah pada zaman beliau. Walaupun kerajaan itu kafir, polisi dan dasar yg adilnya menyenangkan rakyat manakala kerajaan yg zalim akan sentiasa menyusahkan rakyat walaupun menganut agama Islam. Sebagai manusia, sudah tentu mereka memerlukan jaminan keadilan dan kesenangan hidup kerana jaminan Islam pemimpin belum tentu akan terbukti membahagiakan mereka. Soalnya di Malaysia, adakah benar kuasa politik akan berpindah kepada orang kafir????...suatu yg 'mungkin' akan berlaku tetapi realitinya tidak memungkinkan ianya berlaku!!! Andaian itu sama seperti budak sekolah tak sempat nak baca buku sebab esok nak exam, kerana asyik bermain..Oleh kerana tidak bersedia, dia menganggap exam itu payah..Akhirnya budak itu menyalahkan exam susah sebagai punca kegagalannya tapi sedangkan dia malas baca buku!!!

Apa pun keputusan PRU13 selepas 5 Mei nanti, Islam tetap akan terus kukuh dan bangsa Melayu akan terus berkuasa kerana sejarah membukti sejak kejatuhan empayar Islam Melaka pada 1511, orang Melayu masih kekal sampai ke hari ini. Mereka tidak menjadi Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun atau convert agama para penjajah tadi. Tahu kenapa orang Melayu tidak berubah??? Kata al-marhum Dato' Hassan Ahmad, mantan Pengarah DBP, dalam bukunya Melayu Glokal, kerana orang Melayu berpegang teguh kepada agama dan budayanya....mereka kuat bukan dgn kuasa politik semata2 tetapi dgn kekuatan dalaman. Walaupun memiliki kuasa politik, Melayu mungkin akan hilang jika pudar pegangan agamanya dan hilang identiti dirinya. Tak payah tunggu lepas PRU13....sekarang ini pun Melayu dah mula nak hilang ...kalau tidak dikawal dengan baik...Wallahu a'lam...


Jumaat
Perda Timur

BERKHIDMAT KEPADA MASYARAKAT TIDAK SEMESTINYA MENJADI CALON PRU

Apabila terlalu lama memegang kuasa atau berada dalam istana kuasa, gelaran kebesaran atau jawatan keagungan, menyebabkan golongan ini menyangka kuasa adalah hak mereka. Ramai bekas2 calon demam, termasuk kena histeria apabila nama mereka atau calon proksi mereka tiada dlm senarai sebut calon..maka mulalah gerakan protes dgn pelbagai manifestasinya seperti menentang calon drpd pihak parti sendiri, menutup bilik gerakan, sabotaj bakal calon, paling koman tiba2 berubah menyokong parti lawan...Masha Allah...inilah yg berlaku apabila orang itu terlalu lama berkuasa sehingga menimbulkan fitnah (kesan buruk la, bukan fitnah liwat atau seks bebas) kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling..

Satu persoalan yg kita tanya,kepada mereka..siapa yg serah kuasa politik kepada hampa sampai kiamat?..Dlm sistem demokrasi yg dipakai di Malaysia, kita tak pernah guna term pemilik kuasa tp kita guna wakil rakyat...kamu semua cuma wakil yg rakyat pilih samada dengan kesedaran ilmu atau di bawah pengaruh 'pembodohan pemikiran' akibat berita2 bohong yg memualkan. Hatta dlm politik Islam (jika layak digunakan), kuasa milik Allah yg dijadikan amanah kepada wakil2 terpilih untuk menjalankan tanggungjawab hirasat al-din wa siyasat al-dunya bihi..

Barangkali mereka terlupa, bagaimana kuasa dan kemenangan yg diperolehi secara adil pun jika terlalu lama mungkin menimbulkan fitnah. Khalifah Umat al-Khattab pernah memecat Khalid ibn al-walid jrpd jawatan panglima perang dan menggantikan tempatnya dengan Abu Ubaydah al-Jarrah. Umar bagitau Khalid, sebab pemecatannya bukan kerana dia lemah atau korup tetapi untuk memperbetulkan persepsi umat Islam bahawa selama ini mereka menang dlm setiap peperangan kerana ia dipimpin oleh Khalid. Jika org lain yg pimpin belum tentu, mereka menang. Keyakinan mereka kepada Khalid mengatasi kebergantungan kepada Allah...Khalid menerima pelucutan jawatannya dan menjadi tentera yg berjuang di bawah komander baharu. Akhirnya tentera Islam menang dlm peperangan al-Qadisiyyah (kalau tidak silap saya)..

Pengajaran menarik di sini :

1.   Sebagai khalifah, Umar bukan hanya memikirkan kemenangan tetapi keteguhan iman rakyatnya. Apa makna menang kalau rakyat keimanan mereka rosak, akhlak mereka tempang, tiada integriti dan dipenuhi korupsi.

2.   Khalid tidak membantah apatah lagi isytihar keluar drpd saf tentera atau pandai2 survey pandangan akar umbi tentera Islam sapa yg setuju kekalkan Khalid..Tidak ada kerana perbuatan sebegitu hanya menjatuhkan maruah beliau sebagai seorang yg banyak berjasamkepada Islam.

3.   Tentera Islam menerima calon komander baharu tanpa ada beberapa pihak cuba sabotaj Abu Ubaydah. (zaman itu belum ada lagi video lucah mcm la ni, kalau ada pun depa takkan buat mcm org zaman la ni)

4.   Ini menunjukkan kuasa bukan hak tok nenek moyang kita. Ia hak rakyat yg bersetuju untuk menyerahkannya secara contract social kepada wakil mereka.

Saya ingin menyeru kepada semua ahli politik memahami beberapa hakikat berikut :

1.  Semua pekerjaan ada tempoh expirednya seperti usia pencen. Pencenlah drpd perebutan kuasa dan sekarang cuba la berebut pahala dengan menghadiri kuliah2 agama, memperbanyak amal soleh dll yg tidak sempat dibuat masa bergelumang dgn kuasa dahulu.

2.  Kebaktian kepada masyarakat bukan melalui kuasa atau sewaktu kita jadi pemimpin sahaja. Banyak saluran kebaikan lain lagi yg boleh menjadi sunnah hasanah untuk kita lakukan kepada agama, ummah dan negara. Malah amal kebaikan sewaktu menjadimorg biasa lebih diberkatimdan konfem lebih ikhlas berbanding semasa kita berkuasa dahulu...mana ada ikhlasnya kerana asyik tabur duit untuk dapatkan support drpd pengikut.

3.  Turunkan kemahiran kepemimpinan, skill good governance, komunikasi hampa kepada orang2 muda, tunjukkan contoh kepada mereka nanti mereka juga akan jadi seperti hampa. Bila hampa pun tak mau turun, nanti mereka pun jadi seperti itu juga bila berkuasa.

4.   Jadikanlah umur 63 tahun sebagai had persaraan kita drpd politik. Ni umur dah lebih 80 tahun pun dok sibuk lagi..sepatutnya umur lepas 63 tahun itu dijadikan reserve kepada kematian pulak. Kenapa 63? Kerana Nabi saw, Abu Bakar dan Umar mangkat pada usia tersebut. Walaupun penetapan 63 tahun ini tidak berasaskan nas Quran dan sunnah, ia menunjukkan had usia libat politik ada akhirannya. Yang tidak berakhir hanya pencarian ilmu sahaja. Maka sebab itu, sesetengah mufti yg lama sangat berada di atas tahta fatwa, patut pergi sambung belajar, mendalami kajian, walaupun tidak buat phd. Mengikut pandangan mazhab Hanafi, seseorang hakim hendaklah meletakkan jawatan untuk menuntut ilmu bagi suatu tempoh tertentu. Jika tidak, mufti pun akan mengalami sindrom 'payah nk turun' tahta fatwa sebab dok rasa orang lain jahil belaka..

Sekian, pandangan saya kepada sesiapa yang masih degil untuk berkarier dlm bidang politik sampai dijemput malaikat maut...

Jumaat,
Perda Timur

Tuesday, April 16, 2013

SIRI 2 : MASALAH MENGUNDI CALON PRU BUKAN ISLAM : SUATU ANALISIS HUKUM

ISU KEPEMIMPINAN ORANG BUKAN ISLAM MENURUT PERBINCANGAN FUQAHA



Sekurang-kurangnya terdapat dua pendapat di kalangan fuqaha tentang hukum melantik orang bukan Islam menjadi pemimpin. Sebelum itu, bagi memahami isu ini dengan lebih jelas, amat wajar dikenalpasti terlebih dahulu latarbelakang sebenar pertikaian fuqaha’ yang akan mendedahkan perkara yang mereka sepakati bersama termasuk punca sebenar yang mereka khilafkan.

Kita perlu menentukan skop perbincangan
Imāmah, khilāfah, wizārah dan cImārah merupakan institusi politik terpenting di dalam struktur kepimpinan Islam berdasarkan bidang kuasa dan peranannya yang besar dalam menjaga kedudukan agama dan maslahah politik umat Islam. Autoriti institusi di atas bersifat al-Wilāyah al-cAmmah yang meliputi seluruh hal ehwal masyarakat. Adapun jawatan-jawatan selain daripada itu dianggap sebagai Wilāyah Khassah atau mempunyai bidang kuasa terhad.

Bagi jawatan-jawatan yang bersifat Wilāyah cAmmah, Islam menjadi syarat utama kepada calon yang menjawat portfolio berkenaan. Justeru itu, ahl al-dhimmah tidak boleh dilantik ke jawatan-jawatan seperti al-Imāmah, al-Khilāfah, wizārah al-Tafwīd, perundangan, kehakiman, ketenteraan dan beberapa jawatan-jawatan yang dikategorikan sebagai al-manāsib al-dīniyyah (Al-Juwaynī, 1950 ; Ibn Hazm, t.th.; Al-Baghdādī, 1981; Al-Māwardī, t,th. ; Al-Farrā’, 1924).

Seterusnya jawatan Wazīr al-Tanfīz, iaitu satu-satunya jawatan yang tinggal adakah boleh diduduki oleh orang bukan Islam ataupun sebaliknya. Para fuqaha’ sebenarnya tidak begitu jelas tentang status jawatan tersebut dan juga apakah rasional melantik bukan Islam sebagai pemimpin. Mereka berbeza pendapat mengenai kedudukan wazīr al-Tanfīz sama ada dikategorikan sebagai Wilāyah cAmmah ataupun Wilāyah Khassah.

Ramai di kalangan fuqaha’ menganalogikan hukum orang bukan Islam menjadi pemimpin kepada hukum meminta bantuan daripada orang bukan Islam di dalam Bāb al-Isticānah bi al-Mushrikīn kerana dalam konteks ini, ia sama seperti meminta bantuan daripada mereka.

Selain itu, apakah jawatan-jawatan lain seperti pegawai pengurus cukai (cāmil kharāj), juru tulis/setiausaha kerajaan (kātib) sama kedudukannya dengan jawatan Wazīr al-Tanfīz.


PANDANGAN PERTAMA
Mengikut pendapat ini orang bukan Islam boleh dilantik ke dalam kerajaan sebagai Wazir al-Tanfiz atau sebarang jawatan selain daripada jawatan Wilayah cAmmah. Aliran ini terdiri daripada Imam al-Māwardī (t.th),  Qādī Abū Yaclā (1924), al-Kharqī, dan beberapa tokoh pemikir Islam semasa seperti Yusof al-Qaradāwi (1983),  Diyā al-Dīn al-Rays (1997),  Muhammad Salām Madkūr (1983), Muhammad Farūq al-Nubhānī (1988). Antara ulama yang membenarkan pihak kerajaan menerima bantuan rakyat bukan Islam ialah Imam Ahmad bin Hanbal, al-Kharqī, al-Shāficī, al-Awzacī, Abū Hanīfah dan para sahabatnya serta golongan  cItrah (Al-Nawawi, t.th : Al-Shawkani, 1993). 

Hujah daripada al-Quran dan Sunnah
i-         Firman Allah yang berbunyi ;

يأيها الذين أمنوا لا تتخذوا بطانة من دونكم لا يألونكم خبالا ودوا ما عنتم قد بدت البغضاء من أفواههم و ما تخفي صدورهم أكبر قد بينا لكم الأيات لعلكم تعقلون

Bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang bukan di kalangan kamu sebagai orang yang dipercayai. Mereka tidak akan berhenti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka suka apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian mereka kepada pertuturan mulutnya dan apa yang disembunyikan dalam hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu mahu memahaminya.”
(Al Imran : 118)

Dalam menghuraikan ayat di atas, Rashīd Ridā (1993) menegaskan larangan yang terdapat di dalam ayat ini tidak bersifat mutlak sebaliknya ia ditaqyidkan dengan beberapa ciri yang menjadi sebab kenapa ia dilarang. Al-Quran menggariskan empat ciri sebagai alasan pengharamannya iaitu kerana orang bukan Islam mempunyai hasrat untuk menghancurkan Islam, mereka suka melihat umat Islam derita, di samping sikap benci dan hasad dengki yang mendalam terhadap umat Islam di jiwa mereka. Oleh itu, katanya, jika dipastikan ciri-ciri tersebut tidak ada pada orang bukan Islam yang terbabit, mereka akan dikecualikan dari skop larangan tersebut.

Berdasarkan penjelasan di atas, ternyata bahawa kedudukan Wazīr al-Tanfīz yang dihuraikan oleh al-Mawardi dan Abu Yacla tidak boleh didefinisikan sebagai “bitanah” seperti yang dilarang oleh al-Quran. Orang seperti ini bukanlah pemegang rahsia kerajaan yang mutlak sebaliknya menjadi pelaksana bagi plan tindakan yang tidak dirahsiakan lagi seperti yang dimaksudkan di dalam ayat di atas.

ii-         Imam Bukhārī (1987) meriwayatkan dari Aishah r.a. berkata ;

و استأجر النبي صلى الله عليه و سلم و ابو بكر رجلا من بني الديل وهو على دين كفار قريش هاديا

Bermaksud, “Nabi s.a.w dan Abū Bakr pernah mengupah seorang lelaki dari Banī al-Dayl sebagai juru pandu jalan walhal dia beragama orang kafir Quraysh

Hadith ini merakamkan bahawa kepakaran yang ada di kalangan orang bukan Islam telah diekploitasikan oleh Rasulullah s.a.w. dengan penuh bijaksana sehingga ia menguntungkan pihak Islam.

iii-        Ibn Ishāq pula meriwayatkan dengan sanad yang sahih dan diikuti oleh Ibn Jarīr dan Ibn Sayyid al-Dunyā hadith yang mengisahkan bantuan material yang diterima oleh Rasulullah s.a.w. dari seorang kafir yang bernama Safwān bin Umaiyyah.

 

وقد كان ذكر لرسول الله أن عند صفوان بن أمية ادراعا و أسلحة فأرسل اليه وهو يومئذ مشرك فطلب منه تلك الدروع و الأسلحة فقال أغصب يا محمد ؟ قال بل عارية مضمونة حتى نؤديها اليك فأعطاه مائة درع بما يكفيه من السلاح


Bermaksud, “Rasulullah s.a.w mendapat berita bahawa Safwān bin Umaiyyah mempunyai perisai dan senjata lalu Baginda .s.a.w. menghantar utusannya dan sewaktu itu beliau masih musyrik. Baginda s.a.w. meminta perisai dan senjata yang dimilikinya. Safwān bertanya : Apakah ini rampasan ?. Nabi s.a.w. menjawab : Ia hanyalah pinjaman yang dijamin. Safwān meminjamkan kepada Baginda seratus buah perisai di samping  keperluan senjata yang mencukupi.”
(H.R al-Bayhaqi dan Abu Dawud)

iv-        Al-Kharqī  (dalam al-Farra, 1924) mengemukakan sebuah hadith di mana   Nabi s.a.w. bersabda ;

لا يعطى من الصدقة لكافر و لا عبد الا أن يكونوا من العاملين فيعطوا بحق ما عملوا

Bermaksud ; “Tidak diberikan sedekah kepada orang kafir dan hamba melainkan jika mereka menjadi pekerja, maka mereka akan dibayar mengikut kadar kerja mereka.”

Hadith ini menjelaskan tentang keizinan daripada Rasulullah s.a.w. berhubung dengan perkhidmatan orang bukan Islam dan mereka mempunyai hak mendapatkan gaji atau bayaran di atas kerja yang dilakukan sebagai balasan. Ini bermakna pihak pemerintah boleh melantik mereka menjalankan tugas untuk negara seperti wazīr al-Tanfīz dan mereka juga berhak mendapat gaji di atas kerja yang mereka lakukan.

v-         Sebuah riwayat yang menceritakan seorang mushrik bernama Qazman yang keluar berperang dengan pasukan tentera Islam. Beliau dikatakan berjaya membunuh seramai tiga orang pemimpin tentera musyrikin (Al-Shawkani, 1993). Rasulullah s.a.w. yang menyaksikan kesungguhan beliau telah bersabda ;

ان الله ليؤزر هذا الدين بالرجل الفاجر

Maksudnya, “Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini (Islam) dengan seorang lelaki yang jahat (fājir)

vi         Sebuah hadith mursal yang diriwayatkan oleh Imam al-Zuhrī yang menceritakan Nabi s.a.w. meminta pertolongan orang Yahudi Khaybar dalam suatu peperangan dan Baginda s.a.w. telah memberikan saham kepada mereka (al-Shawkani, 1993).

Kedua-dua hadith ini menjelaskan terdapat bukti yang menyatakan Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menerima dan meminta bantuan orang bukan Islam. Apa yang pastinya penglibatan mereka bersama-sama dengan pasukan Islam dilihat sebagai suatu tindakan yang positif oleh pemimpin umat Islam sewaktu itu iaitu Rasulullah s.a.w. sendiri kerana dapat menjaga maslahah agama, keselamatan nyawa dan harta umat Islam serta masyarakat Madinah daripada ancaman musuh.


PANDANGAN KEDUA
Pandangan ini menegaskan orang bukan Islam tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam kepimpinan kerajaan Islam. Antara ulama yang menolak pandangan pertama ialah Imam al-Haramayn (1979), Imam Ahmad bin Hanbal menurut satu riwayat dan Ibn al-Qayyim. Di antara sarjana Islam semasa yang menyokong aliran ini ialah Dr. cAbd. Al-Qādir Abū Fāris (1986). Mereka menganggap tindakan ini sebagai suatu usaha mendapatkan bantuan orang bukan Islam dan membiarkan umat Islam dikuasai oleh mereka. Kalangan ulama lain ialah Ibn al-Munzīr, al-Jūjazānī termasuk beberapa orang ulama lagi (Ibn Qudamah, 1972), Imam Mālik dalam satu riwayat dan satu pendapat daripada al-Shāficī (Al-Shawkani, 1993).

Hujah daripada al-Quran dan Hadith

i-          Firman Allah dalam al-Quran ;

يأيها الذين أمنوا لا تتخذوا بطانة من دونكم لا يألونكم خبالا ودوا ما عنتم قد بدت البغضاء من أفواههم و ما تخفي صدورهم أكبر قد بينا لكم الأيات لعلكم تعقلون

Bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang bukan di kalangan kamu sebagai orang yang dipercayai. Mereka tidak akan berhenti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka suka apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian mereka kepada pertuturan mulutnya dan apa yang disembunyikan dalam hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu mahu memahaminya.” (Al Imran : 118)                                                                                                                           

ii-         Firman Allah yang berbunyi ;
لا يتخذ المؤمنون الكافرين أولياء من دون المؤمنين

Bermaksud, “Janganlah orang mukmin menjadikan orang kafir sebagai pemimpin selain dari kalangan mereka (orang Islam)” (Al Imran : 28).

iii-        Hadith-hadith yang meriwayatkan Rasulullah s.a.w. enggan menerima bantuan dan kerjasama orang musyrikin terutamanya di dalam peperangan. Antaranya ialah riwayat Ibn Mājah daripada cAishah r.a. berkata :

قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : انا لا نستعين بمشرك
Bermaksud, “Rasulullah s.a.w. bersabda sesungguhnya kami tidak akan meminta bantuan orang Mushrik

Ibn Kathīr (1996) menegaskan hadith dan ayat al-Quran tersebut sebagai bukti pengharaman perlantikan ahl al-dhimmah ke jabatan kitābah kerana jawatan tersebut mempunyai makna al-Istitālah (memegang rahsia) orang Islam. Ini akan menyebabkan segala urusan rahsia mereka (umat Islam) diperolehi oleh ahl al-dhimmah kerana kemungkinan rahsia-rahsia tersebut akan terlepas ke tangan musuh melalui mereka.

iv-        Sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi :

لا تأمنوهم اذ خونهم الله

Bermaksud, “Janganlah kamu mempercayai mereka kerana Allah menyifatkan mereka sebagai pengkhianat.”
(dinukilkan dalam al-Farra’, 1924)

Jika orang kafir tidak diterima oleh Baginda s.a.w. menjadi tentera yang berjuang di bawah pimpinan orang Islam, sudah tentu mereka tidak boleh dilantik sebagai menteri yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran dan mengetahui segala rahsia umat Islam (Abu Faris, 1986).

v-         Abū Hayyān al-Taymī meriwayatkan sebuah athar dari Farqad bin Sālih dari Abū al-Dahqānah, berkata : diceritakan kepada cUmar bin al-Khattāb terdapat seorang lelaki dari kaum al-Hīrah mempunyai ingatan yang kuat dan memiliki kemahiran sebagai penulis (kātib), kenapakah kamu tidak melantiknya menjadi juru tulis?. Beliau menjawab : Jika demikian (kalau aku melantiknya), bermakna aku telah melantik seorang bitānah (orang dalam) yang bukan kalangan orang Islam (Al-Jassas, t.th).

vi-        Imam Ahmad (al-Farra’, 1924) meriwayatkan cAli bin Abi Tālib ketika beliau disoal adakah boleh dilantik orang-orang Yahudi dan Kristian menjalankan tugas umat Islam seperti mengutip kharāj ?. Beliau menegaskan :

لا يستعان بهم في شيئ

Maksudnya, “Bantuan mereka tidak diperlukan dalam setiap apa juga urusan

Beberapa riwayat seperti di atas ternyata menjelaskan para sahabat r.a. telah menolak untuk berkerjasama dengan orang-orang Yahudi dan Kristian di dalam mengendalikan urusan pemerintahan kerajaan.

PENDAPAT MANAKAH YANG RAJIH??? ...

Sambungan Siri 3

SIRI 1 : MASALAH MENGUNDI CALON PRU BUKAN ISLAM : SUATU ANALISIS HUKUM


Penulis membahagikan perbincangan tajuk ini kepada 2 siri untuk mempermudahkan para pembaca mengikuti huraian lanjut. Mohon maaf sekiranya perbincangan ini agak berat disebabkan kondisi wacananya bersifat akademik. Ini kerana terdapat sesetengah pembaca tidak dapat menerima jika ianya tidak disertakan dalil yang kukuh. Sebab itu mereka akan menolak walaupun penulisan tertentu sangat baik dan hujahnya bermutu.

Penulisan ini pada asalnya merupakan bidang kajian penulis semasa menyiapkan disertasi sarjana syariah di Jabatan Siasah Syar’iyyah, Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya antara tahun 1998-2000. Kajian ini diselia oleh Ustaz Shukeri Mohamad (sekarang Prof. Madya Dr), bekas Ketua Jabatan dan sekarang bertugas di API Nilaipuri, Kelantan.

Penulis memilih kajian ini untuk menganalisa tsunami politik pada tahun 1999 yang melahirkan Barisan Alternatif atau lebih dikenali dengan akronim BA (sekarang Pakatan Rakyat-PR). Gabungan BA terdiri daripada PAS, PKN (sekarang PKR) dan DAP diwujudkan untuk menghadapi Barisan Nasional dalam PRU10 pada tahun 1999. Timbul persoalan, bolehkah mengundi calon bukan Islam daripada DAP, MCA, MCI atau PPP jika lawannya nanti calon Islam daripada UMNO (BN) dan PAS?...Apa makna gabungan politik jika tidak boleh mengundi calon yang mewakilinya walaupun dia bukan Islam!!...Itulah antara persoalan yang ingin diselesaikan oleh kajian ini.

Perbincangan ini agak komplikated disebabkan isu pengundian merupakan perkara baharu dan penulis perlu mengaitkannya dengan pelbagai sub perbincangan politik Islam bagi membuat satu rumusan hukum yang lebih jelas.

PENDAHULUAN

Kerajaan Islam merupakan yang pertama membuka ruang kepada orang bukan Islam untuk menjadi menteri, pegawai atasan dan juga  kakitangan awam kerajaan. Perkara ini telah dibahas secara ditil oleh beberapa sarjana hukum Islam seperti Imam al-Mawardi di dalam bukunya al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah. Selain membincangkan konsep kepimpinan Islam, Al-Mawardi turut membahaskan isu perlantikan orang bukan Islam (ahl al-dhimmah) sebagai wazir al-tanfiz dan pada pandangan beliau, polisi ini dibolehkan. Namun terdapat beberapa pandangan yang tidak membenarkan orang bukan Islam dilantik menjadi pemimpin seperti Imam al-Haramayn di dalam kitabnya Giyath al-Umam Fi Iltiyath al-Zolam.

Sememangnya isu orang bukan Islam menjadi pemimpin merupakan perkara khilaf di kalangan para fuqaha’. Khilaf tersebut disebabkan :

1.  kepemimpinan ataupun al-Imamah merupakan mekanisme Islam terpenting dalam sesebuah negara yang bertindak sebagai badan pentadbiran, perancangan dasar dan polisi, penguatkuasaan undang-undang, dan kawalan keselamatan. 

2.    Selain itu, terdapat nas-nas al-Quran jelas melarang umat Islam untuk berada di bawah kepemimpinan (wilayah) orang kafir. 

Justeru itu, penglibatan orang bukan Islam dalam sesebuah potfolio kerajaan mengundangkan persoalan adakah dasar ini akan menjejaskan autoriti kepemimpinan umat Islam dan meletakkan mereka di bawah telunjuk orang kafir. Adakah benar polisi membenarkan atau melarang orang bukan Islam menjadi pemimpin telah dijelaskan kedudukannya oleh nas syarak yang qat'iy ataupun ianya tertakluk kepada penilaian maslahah kepada negara yang ditentukan oleh pihak pemerintah?

FOKUS PERBINCANGAN

Masih ramai di kalangan masyarakat Islam terkeliru dengan masalah di atas. Ada pandangan yang membolehkan orang bukan Islam dilantik menjadi menteri dan ada yang tidak bersetuju. Berdasarkan perbezaan premis tersebut, pada setiap kali pilihanraya diadakan, ada yang akan mengundi calon wakil rakyat yang bukan Islam daripada parti atau gabungan parti tertentu dan ada sebahagian lagi yang tidak membuang undi untuknya.

Beberapa perkara perlu kita perhatikan di sini. Pertama, keadaan dan realiti politik hari ini sudah banyak berbeza daripada masa dahulu yang telah merubah keadaan geopolitik negara-negara dunia sekarang. Terutama pada era pasca kolonialisme, kelahiran sesebuah negara termasuk Malaysia adalah berasaskan konsep nation-state (negara bangsa) yang membawa bersamanya unsur Demokrasi, Liberalisasi, Kapitalisasi dan sebagainya. Justeru itu, perjalanan sistem politik di Malaysia perlukan difahami dan diambilkira dalam penentuan hukum pada isu yang kita bahaskan ini.

Kedua, dalam konteks Demokrasi di Malaysia, untuk menjadi menteri, seseorang itu (sesiapa sahaja termasuk bukan Islam) mesti terlebih dahulu dilantik sebagai anggota Dewan Rakyat (Member of Parliament). Kebiasaannya, mereka adalah calon yang mewakili parti atau gabungan parti tertentu yang memenangi pilihanraya umum berdasarkan sokongan majoriti para pengundi. Di Malaysia, antara parti-parti bukan Islam ialah seperti MCA, MIC dan DAP (sekadar contoh). Ini bermakna untuk melantik orang bukan Islam, para pengundi Islam mestilah memberikan undi kepada calon-calon tersebut.

Ketiga, kajian ini tidak akan menyentuh tentang status parti atau gabungan parti yang bertanding untuk membentuk kerajaan adakah ianya Islamik ataupun sebaliknya. Satu persoalan yang berkaitan ialah apakah hukum mengundi calon pakatan yang bukan Islam terutama sewaktu berhadapan dengan calon Islam dari pakatan parti lawan. Untuk itu, terserah kepada pengundi untuk membuat keputusan berdasarkan ijtihad politik masing-masing

Keempat, penulisan ini akan menghuraikan segala pendapat ulamak dan hujah mereka serta mencari suatu pendekatan yang menemu-jalinkan pertikaian pendapat tersebut dengan meletakkannya pada posisi masing-masing. Pendekatan ini amat penting sekali kerana hujah kedua-dua pihak berdasarkan hadith-hadith Rasulullah s.a.w, kerana tidak mungkin Baginda mempunyai dua sikap yang bertentangan di dalam suatu tindakan.

Seterusnya pemaknaan terkini terhadap beberapa istilah Fiqh klasik seperti ahl al-dhimmah atau rakyat bukan Islam merujuk masyarakat bukan Islam yang menjadi rakyat negara Islam manakala lawannya ahl al-harb, penduduk negara yang memusuhi Islam.

Di dalam penulisan ini, Siyasah Shar­ciyyah akan dimaksudkan sebagai suatu kaedah pemerintahan yang digunakan oleh pihak berautoriti bagi mengendalikan hal ehwal masyarakat dan mentadbir urusan kerajaan.

Untuk mengetahui huraian lanjut tentang konsep Siasah Shar­ciyyah, pembaca boleh merujuk kepada beberapa rujukan berikut :

i.        cAbd. al-Wahhāb Khallāf, al-Sisah al-Sharciyyah, Dār al-Qalam, Kuwayt, 1988 M./1408 H., hlm. 6
ii.      cAbd. Al-Rahman Tāj, al-Siyāsah al-Sharciyyah wa al-Fiqh al-Islamī, cAlī Ahmad al-Khatīb edit., al-Azhar, 1995 M/1415 H, hlm. 12
iii.    Muhammad Nacim Yāsīn, Muzakirah Fi al-Siyāsah al-Sharciyyah, dalam Shukeri Mohammad (1994), al-Siyāsah al-Sharciyyah wa Qawāciduhā Fil cIqāb al-Taczirī, Tesis M.A, Universiti  of Jordan, hlm. 13
iv.    Fathī al-Duraynī, Khasāis al-Tashrīc al-Islāmī Fi al-Hukm wa al-Siyāsah, Mu’assasah al-Risālah : Bayrut, 1986 M/1402.H, hlm. 189-190
v.      Ibn al-Qayyim, al-Turuq al-Hukmiyyah, Bashīr Muhammad cUyūn thq., Maktabah Dār al-Bayān, t.tp, 1989 M/1410 H, hlm. 16.
vi.    Lihat juga Iclām al-Muwaqqicīn cAn Rabb al- cAlamīn, Muhammad Muhy al-Dīn Abd. Al-Hamīd t.hq., Dār al-Fikr : Bayrūt, t.t,., jil. III, hlm. 373.


KONSEP KEPEMIMPINAN ISLAM

Kepimpinan berasal dari kalimah Pimpin. Kamus Dewan (2011) memberikan makna istilah Pimpin” sebagai mengepalai atau mengetuai serta mengendalikan (badan, pertubuhan, pergerakan, negara, dll) dan kepimpinan ialah keupayaan memimpin. Di dalam bahasa Inggeris disebut Leadership dan di dalam bahasa Arab pula, terdapat banyak istilah seperti al-Imāmah, al-Khilāfah, al-Ri’āsah, al-Zicāmah dan al-Imārah. Kalimah al-Imāmah dan al-Khilāfah lebih popular digunakan oleh ulama (seperti al-Mawardi, Ibn Khaldun dan al-Tafzani) bagi makna kepimpinan Islam.

Para sarjana Islam mentakrifkan kepemimpinan Islam sebagai salah satu daripada tanggungjawab yang terbesar di sisi Islam dalam memartabatkan syiar-syiar Islam di atas bumi ini. Al-Māwardī (t.th) mendefinisikan al-Imāmah sebagai tanggungjawab menggantikan Nabi s.a.w. bagi menjaga urusan agama dan mentadbir dunia. Pengertian yang sama turut diberikan oleh al-Taftāzānī iaitu kepimpinan utama (Ri’āsah cAmmah) dalam urusan agama dan dunia sebagai menggantikan tugas-tugas kenabian (Al-Zuhayli, 1989).

Ibn Khaldūn (1993) mentakrifkan kepimpinan sebagai menundukkan manusia kepada kehendak Syarak di dalam kepentingan yang berkaitan dengan soal akhirat dan keduaniaan mereka, kerana keadaan dunia pada pandangan Syarak berasaskan kepada kepentingan akhirat. Ia merupakan pengganti Nabi s.a.w. untuk melindungi agama dan politik dunia.

Takrif-takrif tersebut menjelaskan bahawa kepimpinan Islam merupakan institusi politik tertinggi dalam negara yang menjadikan Islam sebagai ideologi politiknya dan setiap tindakannya mengikut landasan yang ditetapkan oleh Islam. Dengan tugas-tugas yang disebutkan tadi ternyata adanya hubungan erat antara Islam dengan kepimpinan kerajaan dan sekaligus membuktikan pelaksanaan Islam tidak akan tercapai tanpanya.

Para fuqaha’ bersepakat bahawa hukum melantik pemimpin adalah Fardhu Kifayah di mana dengan adanya pemimpin akan terlaksana segala kewajipan syarie yang berkaitan dengan kemaslahatan umum. Justeru itu kewajipan melantik kepimpinan menyamai segala kewajipan lain yang disyariatkan oleh Islam (al-Mawardi. T.th ; Ibn Khaldun, 1993).

Pada dasarnya, kepemimpinan Islam diperlukan untuk mempastikan usaha Hirāsat al-Dīn iaitu merealisasikan seluruh syiar Islam dan menghapuskan gejala kefasadan agar seluruh rakyat mentaati Allah. Keduanya, siyāsah al-dunyā iaitu mentadbir dan mengendalikan hal ehwal masyarakat berlandaskan prinsip-prinsip Islam.

Seorang sarjana Islam, Muhammad Yūsof Mūsā (t.th) menegaskan antara objektif  utama kepimpinan ialah untuk menyatukan umat Islam di atas satu wawasan di samping menyediakan infrastruktur kehidupan yang sempurna kepada mereka. Ini termasuk menjaga keselamatan negara dari setiap ancaman pihak musuh, dan segala anasir kejahatan seterusnya memberi jaminan persamaan hak dan tanggungjawab di kalangan rakyat. Selain itu, tegas beliau, melalui kerajaan akan adanya penerangan yang jelas tentang Islam kepada rakyat dan syariat Islam akan dipertahankan bagi mengekang gejala-gejala yang merosakkan kestabilan Islam serta menghalang pengaruh golongan sesat (mulhid) dan ekstrimis.

Syarat-syarat Kepimpinan Kerajaan
Imām al-Māwardī (t.th) di dalam al-Ahkām al-Sultāniyyah telah membincangkan syarat-syarat kepimpinan kerajaan Islam. Syarat-syarat tersebut adalah berdasarkan struktur kepimpinan kerajaan yang wujud pada zamannya. Muhammad al-Sādiq cAfīfī (1980) menyatakan di dalam sistem pemerintahan Islam, al-Khilāfah merupakan jawatan tertinggi kerajaan dan disusuli dengan al-Wizārah dan jawatan-jawatan lain.

Syarat-syarat khalifah menurut al-Māwardī ialah adil, mempunyai kemampuan berijtihad, sempurna pencaindera dan anggota dari kecacatan, bijak dalam pengurusan rakyat dan pentadbiran, memiliki keberanian dan kekuatan untuk melindungi negara dan berjihad, dan yang terakhirnya berketurunan Quraysh. Selain beliau, terdapat beberapa orang ulama lain seperti al-Baghdādī, Imām al-Haramayn (1950), Ibn Hazm (t.th) dan Qādī Abū Yāclā (1924) turut mengemukakan sejumlah syarat yang hampir sama.

Wazir al-Tafwid menurut al-Māwardī (t.th) ialah menteri yang diserahkan kepadanya tugas menjalankan segala urusan pentadbiran kerajaan oleh khalifah, mengikut budi bicara dan ijtihad sendiri. Seperti yang dijelaskan di atas, khalifah tidak mampu menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat dengan seorang diri dan terpaksa melantik pembantu beliau. Al-Māwardī menegaskan wazir ini diperlukan bagi melicinkan pentadbiran kerajaan.

Seperti yang dinyatakan, Wazir al-Tafwīd adalah orang yang dilantik untuk menjalankan segala pentadbiran hal ehwal negara Islam bersama dengan khalifah. Dari segi kuasa politik, wazir ini bebas (مستقل) menjalankan pemerintahan di mana dengan kuasa tersebut beliau layak membentuk jamaah menteri eksekutifnya sendiri dan melucutkan jawatan mereka tanpa perlu merujuk terlebih dahulu kepada khalifah. Dalam konteks hari ini ia boleh samakan dengan jawatan Perdana Menteri (Al-Rays, 1997). Oleh itu al-Māwardī meletakkan syarat-syarat wazir ini seperti khalifah kecuali syarat berbangsa Quraysh. Wazir ini dimestikan pula memiliki pengalaman, kemampuan dan mempunyai kemahiran dalam jawatan yang disandang olehnya (Al-Mawardi, t.th ; Abu Ya’la, 1924).

Berdasarkan ikhtisas dan syarat-syaratnya, Wazir al-Tafwid dianggap pemimpin yang berkuasa penuh (Wilāyah cAmmah) dalam kerajaan yang menjalankan pentadbirannya mengikut budi bicara dan ijtihad serta memiliki segala kuasa yang dimiliki oleh khalifah kecuali di dalam beberapa perkara. Seterusnya Wazir al-Tafwid bertanggungjawab sepenuhnya di hadapan khalifah di atas setiap tindakannya. Meskipun begitu, khalifah masih berkuasa penuh ke atas kerajaan kerana pada asalnya rakyat menyerahkan kuasa tersebut kepada khalifah. Pemantauan khalifah ke atas setiap tindakan Wazir al-Tafwid adalah untuk mengelakkan polarisasi kuasa.

Kedudukan wazir ini lebih rendah berbanding dengan Wazir al-Tafwid. Mengenai kuasa dan tugasnya menurut al-Māwardī (t.th), wazir ini hanyalah melaksanakan segala arahan khalifah dan kerajaan sahaja. Beliau tidak memiliki sebarang kuasa pentadbiran yang boleh mentadbir berdasarkan budi bicara sendiri seperti Wazir al-Tafwid. Jika dilihat dari sudut ini, wazir ini hanya berperanan sebagai orang perantaraan di antara khalifah dan rakyat yang mewartakan perintah kerajaan kepada rakyat dan menyampaikan pula kehendak rakyat kepada kerajaan. Berdasarkan kedudukan seperti ini, maka syarat-syarat Wazir al-Tanfiz tidak terlalu ketat.

Wazir al-Tanfiz mestilah memiliki syarat-syarat seperti amanah, bercakap benar, tidak tamak haloba, peribadi yang baik dengan masyarakat, ingatan yang kuat, pintar, tidak mempunyai kepentingan peribadi. Jika ia diminta oleh khalifah untuk memberikan pandangan maka disyaratkan pula mesti mempunyai pengalaman dan kepakaran.

Menurut al-Māwardī (t.th) dan Abū Yaclā (1924) terdapat kelonggaran dari segi syarat Wazir al-Tanfiz di antaranya ialah jawatan ini boleh dijawat oleh individu bukan beragama Islam, golongan hamba dan tidak juga disyaratkan sebagai mempunyai tahap keilmuan yang tinggi seperti Wazīr al-Tafwīd.

Daripada perbincangan di atas dapat ditegaskan bahawa jika dilihat dari segi kedudukan politiknya, kedua-dua jawatan tersebut merupakan jentera pembantu kepada khalifah bagi menguruskan pentadbiran kerajaan. Namun begitu jika ditinjau pula dari segi ikhtisas dan bidangkuasa pula, Wazir al-Tafwid merupakan menteri berkuasa penuh sementara Wazir al-Tanfiz tidak memiliki sebarang kuasa untuk mengeluarkan perintah apatah lagi terlibat dalam pembuatan keputusan dan penggubalan polisi kerajaan bersama dengan khalifah. Kuasa yang beliau miliki hanya Wilāyah Khassah..Wilayah Khassah ialah kuasa yang terhad kepada sesuah bidang tugas sahaja dan kuasa tersebut tidak membolehkannya bertindak di luar bidang tugasnya seperti Wilayah cAmmah. Berdasarkan huraian al-Mawardi dan Abu Yacla, Ahmad al-Mubārak (t.th) berkata pengertian sebenar wazir atau menteri mengikut ertikata yang sebenar tidak terdapat pada Wazir al-Tanfiz.

Berdasarkan syarat-syarat kepimpinan di atas, dapatlah dinyatakan bahawa syarat Islam merupakan pra syarat utama bagi setiap jawatan kerajaan. Ulama bersepakat bahawa pemegang jawatan Wilāyah cAmmah seperti khalīfah dan wazir al-tafwīd mestilah beragama Islam begitu juga dengan wazir al-tanfīz. Namun begitu al-Mawardi dan Abu Yacla memberikan kelonggaran kepada syarat wazir al-tanz dengan membolehkan orang bukan Islam menjawat jawatan tersebut. Sebagai kesimpulannya ruang penglibatan bukan Islam hanya berlaku di dalam jawatan Wazīr al-Tanfīz bukannya khalīfah dan Wazir al-Tafwīd.


Bersambung Siri 2 ..........